Jumaat, 30 September 2016

Bapaku P.Ramlee Bab 15 Pernikahan Di Rumah Mak Cik Onggek (Musalmah)


PERNIKAHAN DI RUMAH MAK CIK ONGGEK (MUSALMAH)


Musalmah atau lebih dikenali dengan panggilan "Onggek" atau mak cik Onggek, pernah berlakon bersama bapa saya di dalam filem Antara Senyum Dan Tangis. Beliau tinggal di Tembeling Road, jalan yang sama dengan rumah bekas kekasih bapa, Hamidah. Cuma mak cik Onggek di hujung East Coast Road, sementara rumah Hamidah di hujung Koon Seng Road. Mak cik Onggek juga pernah bersama-sama dengan bapa saya semasa mereka bergerak di dalam Persatuan Artis Malaya atau Persama. Setahu saya, bapa saya menganggap mak cik Onggek sebagai penasihat tidak rasmi kepadanya, malah kerana beliaulah maka bapa saya berpindah ke Kuala Lumpur. Boleh dikatakan Musalmah adalah orang yang memainkan peranan penting untuk membawa bapa saya ke Kuala Lumpur.

Pada suatu petang saya telah dibawa ke rumah mak cik Onggek, setibanya saya di sana kami semua bersama anak-anak mak cik Onggek disuruh naik ke bilik atas. Di bawah kelihatan beberapa orang kawan-kawan bapa. Antaranya S.Sudarmadji, Kassim Masdor, Yusof B dan ada beberapa orang lagi yang saya tak kenal. Kami diberi arahan jangan turun, sehingga dipanggil nanti. Saya tak berani hendak bergerak, kerana saya memang takut dengan mak cik Onggek.

Tiba-tiba saya terdengar suara ramai dan kecoh di bawah, ada yang ketawa, ada yang bersembang serta terdengar juga suara seorang Cina sedang mengambil gambar. Terkadang-kadang terdengar juga suara seolah-olah orang sedang membaca Al Quran, barangkali orang membaca doa agaknya. Kemudian barulah saya sedar, rupa-rupanya satu majlis pernikahan di antara bapa saya dengan mama Saloma baru sahaja selesai, dan kami semua dibenarkan turun.

Pada mulanya saya merasa sedih, tetapi oleh kerana bapa memandang kepada saya dengan senyum simpul, maka akhinya saya juga turut tersenyum dan bersalam dengannya. Akhirnya saya mempunyai ibu tiri yang baru iaitu Mama Saloma. Suasana agak meriah dan kami disajikan dengan makanan murtabak. Jurugambar yang mengambil gambar pernikahan itu telah diberi amaran oleh bapa saya supaya merahsiakan gambar-gambar tersebut dan tidak menghebohkannya kepada sesiapapun. Maka pada malam itu bermulalah secara rasminya satu penghidupan baru kami sekeluarga dengan ikatan kasih sayang yang baru dimakbulkan di antara bapa saya P.Ramlee dengan ibu tiri baru saya Mama Saloma.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 14 Perkahwinan Bapa Yang Ketiga


PERKAHWINAN BAPA YANG KETIGA

Mak Cik Saloma sering datang ke rumah dan saya selalu saja dibawanya berjalan ke sana sini. Kadang-kadang saya agak rimas, kerana terpaksa mengikut kemahuannya, kalau tidak, saya khuatir dia akan memberitahu bapa. Saya sering dibelikan baju, pelbagai jenis mainan dan begitu juga dengan adik beradik saya yang lainnya. Saya tahu ini semua bertujuan untuk mengambil hati. Tetapi saya masih dengan pendirian saya, tidak mahu bapa berkahwin lagi. Apabila dia menceritakan tentang mak cik Saloma dan bercakap berkenaan rancangan beliau untuk berkahwin lagi, saya akan berasa sedih dan kadang-kadang menangis.

Walaubagaimanapun, sebaga seorang anak yang masih kecil dan tidak faham dengan perjalanan hidup, saya tidak dapat berbuat apa-apa, hanya berdoa agar bapa saya tidak melangsungkan rancangannya untuk berkahwin. Namun takdir Allah sudah menentukannya dan lagi pun saya tidak berhak menahan bapa daripada berkahwin lagi. Apa yang menjadi tanda tanya ialah bilakah agaknya bapa akan berkahwin dengan mak cik yang sering membawa saya bersiar-siar tersebut.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee 

Bapaku P.Ramlee Bab 13 Tetamu Yang Tidak Diundang


TETAMU YANG TIDAK DIUNDANG


Setelah bapa saya bercerai dengan Nooizan, dia semakin ligat dengan kerja-kerjanya dan sering pulang lewat malam. Setelah 'shooting', dia masih boleh bersembang dan berseronok-seronok dengan krew unitnya dan kadang-kadang berlatih dengan kumpulannya, Panca Sitara. Kami di rumah juga menjadi semakin bebas, seperti kata peribahasa "Kucing tiada, tikus bermaharajalela." Saya pernah juga terdengar kononnya bapa saya sering bersama Saloma, tetapi saya tidak kenal betul dengan Saloma, cuma kadang-kadang apabila kami diajak menonton 'preview' di studio, ternampak Saloma. Dia hanya senyum biasa kepada saya.

Pada suatu hari sedang saya bermain-main di ruang tamu, pembantu rumah Abang Ngah memanggi saya, kerana ada seseorang yang ingin bertemu dengan saya. Saya terus keluar dan ternampak sebuah kereta "Sport" berhenti di hadapan pintu pagar rumah. Seorang wanita keluar dan terus melambai memanggil saya. Saya agak hairan dan tidak terfikir wanita itu adalah Saloma. Saya terus menuju ke keretanya dan dia menyebut nama saya,"Ini Nasirkah?" dan saya menganggukkan kepala. Wanita itu menyuruh saya menukar pakaian dan mengikutnya. Saya agak 'panik' kerana saya tidak kenal betul dengannya. Bapa saya tidak ada di rumah, dan saya harus meminta izinnya dahulu.

Saya memberitahunya, "Maaf makcik, saya tak boleh pergi kerana bapa tak ada rumah, nanti dia marah," Saloma menjawab," Jangan takut, mak cik dah beritahu bapa kamu tadi." Abang Ngah pula menyuruh saya agar segera menukar pakaian dan mengikut saja mak cik tersebut. Abang Ngah memberitahu bahawa mak cik itu adalah Saloma yang selalu menyanyi bersama bapa saya. Sebenarnya saya sudah dapat mengagak bahawa mak cik itu adalah Saloma, cuma saya berpura-pura tidak mengenalinya. Saya juga faham dengan tujuan sebenar mak cik Saloma yang kini mula berusaha mendekati saya dan memancing hati saya agar dapat menerimanya sebagai bakal ibu tiri saya yang kedua kelak. Namun akhirnya saya pun bersetuju untuk mengikut Saloma keluar. 

Saloma membawa saya bersiar-siar ke lapangan terbang Paya Lebar. Dia meneruskan perjalanannya ke tepi pantai Changi, dan terus ke kawasan Bedok. Kemudian, entah ke mana lagi saya dah lupa. Di dalam kereta dia sering bertanya bagaimana perasaan saya sekarang hidup tanpa emak tiri sambil memuji-muji bapa saya. Dalam hati saya berkata,"makcik i ada udang di sebalik batu." Saya hanya ketawa dan mengiakan saja kata-katanya. Kira-kira hampir sejam setengah kami bersiar-siar, akhirnya dia menghantar saya pulang ke rumah di MacPherson Road.

Pada malam itu saya menceritakan kepada bapa segala-galanya yang terjadi dan bagaimana makcik Saloma datang membawa saya bersiar-siar. Bapa saya hanya tersenyum dan bertanya kepada saya,"Kau suka mak cik tu?" Saya tidak menjawab dan hanya berdiam diri sahaja. Dalam hati kecil saya berkata, "Tentu ada apa-apa, kalau tidak takkan bapa bertanya demikian". Saya berdoa pada malam itu supaya bapa saya tidak berkahwin dengan mak cik itu demi kebaikan kami sekeluarga. Saya takut untuk beribu tiri sekali lagi dan saya juga sayangkan bapa dan benar-benar bimbang sekiranya ia satu keputusan yang kurang wajar dan kelak akan menyebabkan bapa saya kecewa lagi.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 12 Perceraian Berlaku Di MacPherson Road


PERCERAIAN BERLAKU DI MACPHERSON ROAD

Noorizan berkahwin dengan bapa saya keana cintanya yang tidak dapat disembunyikan, sementara bapa saya pula menerimanya kerana beliau sedang kehausan cinta, dan beranggapan perkahwinan ini akan berkekalan. Noorizan adalah bekas wanita yang terlatih dengan adat sopan keluarga diraja, mungkin kerana ini bapa saya menganggap yang Noorizan adalah wanita yang akan setia kepadanya untuk selama-lamanya.

Kami berpindah dari Yarrow Garden Siglap, ke rumah yang baru di MacPherson Road. Di rumah ini, bapa saya semakin terasa yang dirinya seolah-olah terkongkong. Noorizan bertindak di luar keselesaan bapa saya. Mungkin niatnya baik untuk menjaga "status" bapa saya sebagai seorang seniman agung hingga dia lupa yang seniman juga perlukan kebebasan. Seniman perlu idea yang bebas dan seniman juga tidak boleh dikongkong hingga merosakkan daya pemikiran.

Jodoh dan maut adalah di tangan Tuhan, tiada siapa yang dapat menghalangnya. Begitulah apa yang berlaku di antara bapa saya dan Noorizan. Keretakan rumah tangga bapa saya sedikit demi sedikit menjadi bertambah besar sejak dia pulang dari satu festival filem yang berlangsung di luar negeri. Suasana dan keadaan rumah kami sudah tidak terurus, berbagai-bagai tuduhan berlaku. Kami anak-anak tidak turut campur, dan saya dapat melihat bagaimana bapa saya mula tidur bersendirian, kadang-kadang di bawah dan kadang-kadang di atas. Mereka tidak bercakap semesra dahulu. Harapan bapa saya akhirnya hancur berkecai setelah berlaku perkara-perkara yang di luar dugaan. Bapa saya masih bertenang dan menjalankan tugas hariannya dengan tersenyum walaupun jiwanya menangis.   

Saya pernah mendengar kononnya Noorizan cemburukan P.Ramlee dengan Saloma kerana Saloma sering berganding suara dengan bapa saya ketika rakaman. Saya tidak tahu setakat mana kebenarannya atau adakah ia sengaja diaada-adakan. Saya dapat mengagak, mungkin bapa saya menanti kata-kata akhir dari Noorizan, "Ceraikanlah I". Saat itu akhirnya berlaku juga apabila Noorizan melafazkan kata-kata itu di hadapan bapa saya, dan bapa saya terus mengambil keputusan menceraikan Noorizan dengan rela hati. Walaupun sudah bercerai, namun mereka masih bercakap menerusi telefon, malah setelah kami berpindah ke Kuala Lumpur, bapa sanggup memberi peranan kepada Noorizan berlakon sebagai permaisuri Pasir Berdengong di dalam filem Laksamana Do Re Mi, arahannya yang terakhir sebelum dia meninggal dunia. Itu juga mungkin merupakan satu pertemuan yang terakhir di antara mereka.

Rumah di MacPherson Road itu telah menjadi agak tidak tenteram, dan tidak terurus seperti dahulu. Saya juga kini agak bebas dan tidak lagi perlu membuat kerja seperti dahulu. Apa sahaja yang saya pinta dari bapa, saya akan dapat, lebih-lebih lagi wang saku sekolah. Pembantu kami Abang Ngah masih bertugas sepenuhnya, dan bapa saya meletakkan sepenuh kepercayaan kepadanya untuk menguruskan rumah dan anak-anak.



SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 11 Timbul Rasa Bosan Dan Kecewa


TIMBUL RASA BOSAN DAN KECEWA


Hari demi hari saya mula berasa bosan, dan saya menganggap seolah-olah ibu tiri saya cuba bertindak sebagai ibu tiri yang sebenar kerana dia mungkin merasakan yang saya adalah anak tiri yang tidak harus diberi muka atau dimanja. Hati saya bertambah gundah, sesekali terasa juga ingin menceritakan perkara ini kepada bapa, tetapi rasa takut menebal di hati. Di saat-saat akhir sebelum ibu tiri bercerai dengan bapa saya, barulah saya sedar yang perbuatan ibu tiri saya itu bukanlah satu penyeksaan, tetapi itu adalah melatih disiplin diri. Mungkin kerana dia sudah terlatih dan biasa dengan keadaan hidupnya bersama Tuanku Raja Perak.  Jadi tidak patutlah saya merasa tertekan ataupun teraniaya, kerana dengan cara disiplin yang dilatihnya itu, maka kami sekurang-kurangnya menjadi anak yang taat dan berdisiplin. Ini adalah satu pengajaran yang baik yang belum pernah saya lalui sebelumnya. Tetapi segala yang indah nampaknya tidak berkekalan. Inilah lumrah alam dan kehendak Allah, tiada siapa yang dapat menentang kalau takdir sudah menentukannya.


SUMBER:  Allahyarham Nasir P.Ramlee 

Bapaku P.Ramlee Bab 10 Keseronokan Di Hari Minggu


KESERONOKAN DI HARI MINGGU


Satu perkara yang paling saya gemari ialah pada hari minggu, kerana pada hari itulah kami semua akan berkumpul sekeluarga, dan dibenarkan membuat aduan apa sahaja kepada bapa saya mengenai ibu tiri saya. Pernah saya memberitahu kepada bapa tentang sikap ibu tiri saya yang terlalu garang, tetapi bapa hanya memandang ke arah saya dengan tersenyum," Senyum ada makna tu cik." Bapa saya hanya memberitahu kepada ibu tiri saya, You boleh pukul, asalkan jangan berberkas sudah, kalau dia orang ini tak dengar cakap you, bantai saja!" Kdang-kadang bapa saya juga naik angin. Apabila angin dia datang, dia akan memarahi ibu tiri saya. Akibatnya apabila keesokan harinya, sayalah yang akan menerima padahnya, saya akan dibelasah Noorizan, kerana saya mengadu kepada bapa saya.

Satu lagi perkara yang tidak dapat saya lupakan mengenai hari minggu ialah, kedatangan seorang benggali yang berlakon di dalam banyak filem arahan bapa, seperti Pendekar Bujang Lapok (orang yang dihumban ke dalam laut) dan di dalam filem Seniman Bujang Lapok (yang menjadi jaga di pintu masuk studio). Dia datang setiap hari minggu untuk mengurut badan bapa. Saya sangat gembira apabila Mr Singh datang, kerana dia selalu membawa buah tangan, buah-buahan dan kadang-kadang coklat. Mr Singh ini kemudiannya menjadi antara teman rapat bapa. Di antara dialog yang pernah diucapkan dalam filem-filem bapa saya yang tidak dapat saya lupakan ialah "Apa kita batukah, kayukah, sikit hormat pun tak ada, panggil orang "Oi! Oi!" dan, "Lu nasib lu makan, Dia nasib dia makan, apa salah makan sama-sama."

Ada juga kadang-kadang Pak Cik Kassim Masdor datang menulis nota muzik bersama bapa saya, dan bila ada kesempatan saya bertanya-tanya secara rambang tentang nota muzik daripada Pak Cik Kassim Masdor. Dan jika tidak ada apa-apa kerja lain, kami akan keluar menonton wayang gambar di panggung Sky ataupun Rex. Hari minggu juga biasanya saya dan bapa akan menimbang berat badan kami. Kadang-kadang tukang jahit bapa saya bernama Mr Kwong Hung Meng akan datang ke rumah. Kedainya terletak di Tanjung Katong Road berhadapan Sekolah Perempuan Tanjung Katong. mr Kwong akan membawa berbagai-bagai jenis kain untuk baju dan seluar. Dia akan mengambil ukuran badan bapa saya. Kain-kain yang dibawanya adalah dari jenis kain yang terbaru. Saya juga pernah diberi peluang oleh ibu tiri, ketika "moodnya" baik, untuk menempah baju dan seluar.

Mr.Kwong ini memang "business minded" orangnya, kerana dia tahu populariti dan kehebatan bapa saya. Dia tahu orang Melayu dan bukan Melayu meminati P.Ramlee. Kerana itulah dia mengambil kesempatan menggunakan gambar bapa saya yang berpakaian satu sut untuk dipamerkan di dalam cermin di hadapan kedainya. Dia juga turut mencetak gambar itu di luar "bag" (bag cover) untuk kedai jahitnya. Bapa saya tidak dibayar apa-apa. Dia rela membenarkan Mr Kwong menggunakan gambarnya. Begitu juga dengan syarikat rokok "Lucky Strike". Pihak pengedar hanya memberi sekatun dua secara percuma, kerana bapa saya sentiasa mengisap rokok kegemarannya (Lucky Strike) sama ada di luar atau di dalam filem arahannya. Saya percaya kalau semuanya ini berlaku pada hari ini, tentu bapa saya akan menjadi kaya dengan wang iklan atau "Advertisment Fees" tapi apakan daya "lain hulu, lain parang, lain dahulu, lain pula sekarang".


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 9 Hidup Baru Bersama Bapa Dan Ibu Tiri Di Singapura


HIDUP BARU BERSAMA BAPA DAN IBU TIRI DI SINGAPURA


Setelah saya dibawa pulang ke Singapura, dan setelah peristiwa bersama ibu di studio Jalan Ampas berlalu, kami tinggal di sebuah rumah kepunyaan Shaw Brothers di Yarrow Garden berdekatan dengan Jalan Singlap. Ketika itu hidup kami agak istimewa, kerana ibu tiri saya Noorizan adalah seorang yang kuat disiplinnya. Ini mungkin kerana beliau sudah terlatih ketika di dalam istana. Kami dimanja, tetapi manja yang bertempat. Bapa saya dilayan seperti seorang raja. Hidupnya diberi perhatian secukupnya, mungkin inilah pertama kali bapa saya merasakan kebahagiaan sebenar hidup sebagai suami isteri.

Saya masih ingat sebuah kereta Holden yang dipandu oleh orang tua bernama Wak Kimin. Kalau tak salah saya Wak Kimin adalah bapa mertua pelakon veteran Omar Suwita. Wak Kimin setiap pagi akan menghantar bapa saya ke studio, dan jika bapa tidak membuat pemggambaran di sebelah malam, maka Wak Kimin akan membawanya pulang. Boleh dikatakan waktu bekerja untuk bapa sentiasa terjaga dan ibu tiri saya tidak akan membiarkan bapa saya bersembang-sembang kosong di studio. Kadang-kadang saya dapat merasakan apa yang bapa rasakan. Dia mungkin merasakan seoalah-olah terkongkong. Sebenarnya itu adalah satu disiplin yang baik, kerana ibu tiri saya meletakkan bapa saya setaraf dengan kemasyhuran namanya.

Saya adalah anak kandung P.Ramlee, dan saya tidak mempunyai adik beradik, walaupun ada cerita mengatakan yang saya ada seorang abang atau adik (saya tak pasti) yang berada bersama ibu di Jakarta. Bapa sendiri tidak pernah menceritakan perkara ini semua kepada saya. Saya beranggapan, kalau sekiranya perkara itu benar tentu perkara ini akan diketahui sebelum bapa saya meninggal dunia. Walau bagaimanapun, hanya Allah sahajalah yang maha mengetahui. Kami tinggal sekeluarga dengan aman dan ceria, kami ditemani oleh seorang pembantu rumah yang berasal dari Terengganu, kami memanggilnya dengan panggilan "Ngah". Beliaulah yang menjaga kami, menolong memasak, pergi pasar dan mengemas rumah.   

Satu perkara yang tidak menyeronokkan saya di rumah itu ialah saya dilayan seperti seolah-olah hidup di dalam istana. Semuanya mengikut peraturan dan undang-undang (sepertimana dalam filem bapa saya Tiga Abdul). Pertama kali saya tidak boleh berbuat sesuka hati, semuanya mesti meminta izin dripada ibu tiri Noorizan. Setelah pulang dari sekolah saya dan adik-adik tidak dibenarkan keluar berkeliaran di jalan raya. Saya dan adik-beradik yang lain juga tidak dibenarkan menganggu bapa ketika makan, semasa dia membaca surat khabar, dan lebih-lebih lagi ketika dia sedang berehat dengan isterinya. Apabila sampai waktu makan, saya ditugaskan menyusun garpu dan sudu di atas meja. Setelah selesai, saya dan yang lain akan duduk di bilik sehingga bapa dan ibu tiri saya selesai makan barulah kami dipanggil keluar untuk makan.

Setiap hari minggu, kerja saya akan bertambah, semua pokok-pokok bunga yang ditanam harus disiram, dan najis-najis kucing juga terpaksa saya membersihkannya. Perhiasan rumah terutama yang diperbuat daripada tembaga, akan disuruh gosok atau gilap sehingga berkilat. Setelah semua kerja-kerja telah beres, maka barulah saya diajak oleh Noorizan mengikutnya ke pasar. Sekembali dari pasar, ada lagi kerja yang akan saya buat. Jika dibeli taugeh dan petai, maka tugas sayalah yang memetik taugeh dan mengupek petai. Begitulah kerja-kerja rutin atau kerja seharian yang diberikan kepada saya. 

Saya mempunyai lima pasang baju sekolah (uniform), lima pasang seluar, lima pasang stokin dan lima pasang kasut sekolah. Saya pun tidak tahu mengapa saya mempunyai hanya lima pasang bagi setiap item itu. Semua pakaian itu saya sendiri yang akan membasuh dan menggosoknya, walau pun kami mempunyai orang gaji. Selepas pulang dari sekolah, saya akan makan tengahari, kemudian berehat sebentar dan terus tidur. Saya akan dikejutkan tepat jam empat petang, untuk minum petang da kemudian saya dibenarkan ke padang untuk bermain sebentar bersama kawan-kawan di sekeliling.

Kira-kira jam lima petang, harus pulang ke rumah untuk menyiram pokok bunga. Selepas maghrib seorang ustaz akan datang mengajar kami mengaji, dan sebelah malam pula saya terpaksa mengulang kaji pelajaran sekolah. Tepat jam sembilam malam kami harus masuk tidur dan lampu bilik pun dipadamkan. Begitulah kehidupan saya seharian bersama ibu tiri saya Noorizan.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee  

Bapaku P.Ramlee Bab 8 Ibuku Junaidah Membawa Peguam Ke Jalan Ampas


IBUKU JUNAIDAH MEMBAWA PEGUAM KE JALAN AMPAS


Pada suatu hari di sebelah tengah hari, bapa pulang dari studio. Pada kali ini kepulangannya agak ganjil. Kebetulan nenek dan saya berada di Singapura. Bapa berdiam diri dan nampak air mukanya kelihatan muram. Memang ada sesuatu yang difikirkannya. Nenek terus bertanya kerana ingin tahu apakah yang menyebabkan ayah kelihatan runsing. Dengan tegas bapa menjawab,"Jun berada di studio bersama seorang peguam untuk mengambil Nasir," Nenek berdiam diri dan turut bersimpati dengan bapa. Pak Cik saya Sheikh Ali dan ibu tiri saya juga diam penuh simpati. Saya hanya menangis, kerana tidak mahu berpisah dengan ayah dan ibu tiri saya. Saya bertambah takut kerana saya tidak begitu mesra dan rapat dengan ibu kandung saya Junaidah. Keadaan itu tidak dapat dielakkan kerana perpisahan antara ibu dan bapa terjadi semasa saya terlalu kecil dan ngsung tidak berkesempatan mengenali ibu. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana kalau saya dibawa ke Indonesia. Saya tidak mempunyai sesiapa di sana dan tentu sekali suasananya agak berlainan. Hati saya semakin sedih bercampur takut. Saya memeluk nenek saya, dan nenek cuba mententeramkan saya, sambil memeluk saya, sempat dia memujuk agar jangan takut dan jangan menangis, semuanya adalah takdir, katanya.

Ayah saya berdiri di hadapan ibunya dan berkata," Kalau ini semua adalah takdir, maka dengan rela hati Ram lepaskan Nasir, Ram tidak akan melawan takdir," Walaupun ketika itu saya masih kecil, tetapi saya masih ingat dan terbayang suasana sedih bercampur takut. Akhirnya saya dibawa oleh ayah ke Jalan Amoas. Dengan menaiki keretanya yang dipandunya sendiri, kami terus ke studio. Di dalam keretabapa bertanya saya,"Kalau orang itu tanya, Nasir nak ikut Jun atau bapa, Nasir nak jawap apa?" Saya jawab,"Tak tahu, tapi saya tak mahu ikut Jun." Bapa tersenyum puas. Apabila kereta sampai di persimpangan Jalan Ampas di Balestier Road, bapa memberhentikan keretanya. Kami keluar dan bapa memimpin tangan sayamembawa ke studio Jalan Ampas. Kata-kata bapa itu diulang berkali-kali sehingga sampai di sebuah kedai kopi berhadapan dengan studio No 8, (Mungkin kedai kopi Lam atau kedai kopi Siput saya tak ingat).

Setibanya di kedai itu, ayah terus masuk ke pintu stusio. Saya ditinggalkan di kedai kopi itu. Dengan tidak disangka-sangka rupanya ibu saya Junaidah memang sudah menanti kedatangan saya. Dengan pantas dia memeluk dan terus menangis, sambil dia memperkenalkan dirinya dengan berkata, "Ini emak, emak kandung kau sendiri Junaidah. Emak sangat rindu pada kau," Hati saya tidak dapat menerima keadaan itu, kerana saya tidak pernah berpeluang, mengenali dan mendampinginya.

Saya lihat seorang berbangsa India ada bersama, dan saya diajukan soalan yang sama dengan apa yang ayah sebutkan sebelumnya. Saya tetap dengan jawapan yang saya berikan kepada ayah. Saya tidak mahu mengikut ibu. Setelah berkali-kali dipujuk ibu dan peguam India itu, saya tetap dengan pendirian saya. Akhirnya mereka gagal untuk mendapatkan persetujuan saya. Ramai yang menyaksikan kejadian itu.

Akhirnya saya meminta diri untuk pergi bertemu ayah di dalam studio. Ibu dan peguam serta beberapa orang di studio hanya memandang ke arah saya. Airmata ibu kelihatan berlinang dan dia tidak dapat menahan sebak hatinya. Saya dibawa oleh seorang Benggali penjaga studio menuju ke bilik ayah. Dia sedang menanti kedatangan saya. Bermula dari saat itulah, ibu saya Junaidah tidak lagi datang untuk bertemu atau mahu mengambil saya, dan saya berasa lega dapat hidup seperti biasa dan kembali ke Pulau Pinang. Tidak lama selepas itu, saya berpindah balik ke Singapura dan hidup bersama ayah dan ibu tiri saya. Saya sedikitpun tidak merasa kesal atau terkilan, kerana usia saya masih muda dan belum kenal erti hidup sebenarnya.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 7 Ibu Dan Bapa Saya Kahwin Lagi


IBU DAN BAPA SAYA KAHWIN LAGI


Apa yang saya ketahui, ibu saya telah pun berkahwin dengan seorang yang juga berkecimpung di dalam industri muzik dan filem. Suaminya yang baru itu bernama Harris seorang pengarah dan pencipta lagu. Kalau tidak silap satu daripada lagu ciptaannya ialah "Kudaku Lari" sementara ayah saya pula setelah sekian lama membujang, akhirnya berkahwin dengan seorang bekas kerabat diraja Perak ibu Noorizan. Setelah berpindah semula ke Singapura, saya tinggal bersama bapa dan ibu tiri saya, Noorizan.

Ketika saya berusia enam tahun, barulah saya sedar dan mengerti dengan hakikat bahawa ayah saya adalah seorang artis besar yang diminati ramai. Saya mula merasa beruntung dan bertuah kerana menjadi anak tunggal P.Ramlee.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 6 Peristiwa Di Stesen Keretapi


PERISTIWA DI STESEN KERETAPI


Kami sampai di stesen keretapi Tanjung Pagar pada waktu malam. Alangkah terkejutnya kami apabila kami dapati ibu saya Junaidah sudah lebih dahulu sampai ke situ. Ayah saya semakin panik, dan saya terpaksa disembunyikan. 

Akhirnya dengan tidak membuang masa, pak cik saya Sheikh Ali menyembunyikan saya di bahagian tempat meletak beg. Tempat ini hampir menyentuh bumbung keretapi. Saya terdengar suara pertengkaran antara ibu dan bapa. Ibu saya tergesa-gesa menaiki keretapi yang belum bertolak itu, mencari saya.

Agak lama juga ibu mencari-cari saya tetapi tidak bertemu. Saya berasa semakin takut. Akhirnya isyarat berbunyi menandakan keretapi akan bertolak. Dari saat itulah saya terpisah dengan ibu kandung saya. Setelah saya dewasa, saya dapat tahu yang ibu pernah berjanji akan berusaha dan tidaka kan berputus asa untuk mencari saya. Akhirnya saya tinggal di Pulau Pinang bersama nenek saya (Cik Mah) dan Pak Cik Sheikh Ali. Saya tidak lama tinggal di Pulau Pinang, dan boleh dikatakan setiap bulan nenek, Pak Cik dan saya ke Singapura menemui bapa. Ibu saya sudah terpisah jauh membawa diri ke Jakarta. Kelakuan saya semasa bersekolah di Pulau Pinang tidaklah begitu baik. Saya gagal dalam peperiksaan. Nenek saya bertambah khuatir. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk menghantar saya pulang ke Singapura.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 5 Saya Diculik


SAYA DICULIK


Sebagaimana yang diketahui umum, bapa saya telah terpikat dengan seorang gadis berketurunan Arab. Saya hanya mengetahuinya melalui cerita dari kawan-kawan bapa saya. Namanya Hamidah, dan saya sendiri tidak mengambil tahu tentang kisah cintanya dengan Hamidah dan tidak pernah sekalipun menemui Hamidah.

Setelah beberapa bulan perceraian berlaku di antara bapa dan ibu, akhirnya pada suatu waktu ibu saya datang dari Jakarta ke Boon Teck Road untut menuntut saya dari bapa. Dia hendak membawa saya pulang bersamanya ke Jakarta, atas alasan anak lelaki adalah menjadi hak kepada ibu kandung.

Ketika itu bapa saya bertambah gelisah dan kebingungan. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya, mujurlah dengan pertolongan sahabatnya Pak Cik Salleh Kamil, maka bapa saya terus mengirim telegram ke Pulau Pinang meminta abang tirinya Pak Shek (Nama sebenarnya Sheikh Ali) supaya datang ke Singapura. Keesokan harinya Pak Cik saya Sheikh Ali tiba dari Pulau Pinang. Kedatangannya memang dinantikan oleh bapa saya. Dia merasa lega sedikit. Setelah mereka berbincang akhirnya, dengan secara senyap-senyap dan tidak diketahui oleh sesiapa, kecuali Pak Cik Salleh Kamil, mereka membuat keputusan menculik saya untuk terus dibawa ke Pulau Pinang. Entah bagaimana ibu saya mendapat tahu mengenai perkara itu dan keadaan menjadi semakin cemas dan runcing.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 4 Gara-gara P.Ramlee Bersiul


GARA-GARA P.RAMLEE BERSIUL


Ada satu peristiwa yang tidak dapat saya lupakan semasa bapa saya pulang dari studio untuk makan tengahari. Ketika beliau masuk ke rumah wajahnya riang sambil bersiul-siul. Bila ibu saya Junaidah terdengar siulan dan melihat keriangan bapa, dengan serta merta ibu saya menjadi sangsi dan mula menyindir bapa saya dengan berkata "Ah! Ini tentu dah jumpa girlfriends!" Bapa tidak menjawab hanya memandang dengan serius. Di sinilah bermulanya rasa cemburu ibu saya. Sebaliknya jika bapa saya pulang dengan wajah yang sedih, ibu saya masih lagi menyakat dengan katanya,"Ah, hari ini tak dapat jumpa girlfriends agaknya." Beginilah yang sering berlaku, bapa saya sentiasa berada di dalam keadaan yang serba salah.

Sifat cemburu ibu saya memang diketahui oleh ramai teman-teman yang tinggal di Boon Teck Road. Menurut cerita Pak Cik Kassim Masdor yang begitu rapat dengan bapa, apabila semua yang tinggal di Boon Teck Road dipindahkan ke sebuah rumah banglo di Katong, bapa saya sering keluar bersiar-siar di tepi laut. Ketika itulah ibu saya akan meminta Pak Cik Kassim yang masih muda ketika itu mengekori bapa saya dan Pak Cik Kassim terpaksa membuat laporan kepada ibu saya samaada suaminya di tepi laut bersendirian atau dengan teman wanita. Sifat cemburunya sampai ke tahap yang agak keterlaluan.

Oleh kerana itulah maka berlaku perpisahan sementara, dan kalau boleh dijadikan bukti, terdapat sebuah lagu ciptaan bapa saya berjudul "Hujan Di Tengah Hari" yang senikatanya ditulis oleh H.M.Rohaizad. Lagu ini kalau diteliti liriknya, jelas menunjukkan bagaimana perasaan bapa saya dan harapannya agar rumah tangganya tidak runtuh. Lagu ini dimuatkan di dalam filem Perjodohan. Cuba teliti senikatanya yang saya perturunkan di sini:


Hujan Di Tengah Hari

Sedih rasanya hati di dalam
Mengenangkan peristiwa masa yang telah silam
Di mana aku hidup bersama si dia
Tak pernah rasa aman bahagia

Perselisihan sering terjadi
Walaupun jauh dari nyata dan juga bukti
Namun begitu dia selalu terburu
Tegak melulu menurut nafsu
Andainya dia dapat mengubah
Tetapku terima
Mendirikan mahligai ria
Tapi tak berdaya
Ku sangka panas hingga ke petang
Rupanya hujan di tengah hari

Itulah lagu yang besar kemungkinan dicipta setelah berlakunya perpisahan antara ibu dan bapa saya. Perceraian yang begitu pahit telah dirasakan oleh bapa saya, dan oleh kerana saya adalah anak tunggalnya, maka berlaku pula pergeseran mengenai hak perjagaan saya. Oleh kerana bapa saya berpegang kuat kepada prinsipnya, maka dia berjaya mendapatkan anaknya nasir untuk bersamanya.

Setelah bercerai, ibu saya mengikut rombongan bangsawan menjelajah ke seluruh Tanah Melayu, sedangkan bapa saya sibuk dengan kerjanya, maka kadang-kadang saya terpaksa dibawa ke lokasi penggambaran. Antara mereka yang sering bergilir-gilir menjaga saya ialah Ahmad C, Kassim Masdor dan Aziz Sattar, juga beberapa orang artis lain yang sentiasa memberi perhatian kepada saya.

Sementara ibu saya pula, setelah tamat bekerja dengan rombongan bangsawan, beliau pulang ke Jakarta mengikut bapanya yang juga datuk saya D.Harris. Bapa saya menjadi duda dan namanya semakin meningkat dan popularitinya juga semakin terserlah. Bapa saya telah mencipta lagu serta berlakon dalam banyak filem. Pendek kata pengarah-pengarah India ketika itu berebut-rebut mengambil bapa saya berlakon, kerana setiap filem yang dilakonkannya akan mendapat pungutan box office.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 3 Kerana Cemburu



KERANA CEMBURU


Hidup saya bersama bapa dan ibu tidaklah sentiasa aman, sering sahaja terjadi pergaduhan antara mereka. Pergaduhan ini kerap berlaku kerana sifat cemburu ibu saya Junaidah. Mungkin kerana ayah saya semakin popular dan mempunyai ramai peminat dan sering diburu oleh gadis-gadis yang tergila-gilakannya, membuatkan ibu saya merasa terpencil dan khuatir dengan populariti ayah saya. Maklumlah ibu saya hanyalah pelakon tambahan dan seorang penari di studio Jalan Ampas sahaja. Apabila kami bersiar-siar, bapa saya sering mendapat perhatian daripada ramai peminat, sedangkan ibu pula terasa yang beliau tersisih. Sayalah yang sering menjadi mangsa di dalam pergaduhan itu. Bapa saya mempunyai satu tabiat yang luar biasa, apabila bergaduh dengan ibu, dia akan meninggalkan rumah dan bersiar-siar untuk melepaskan kesedihannya. Jadi ibu saya akan melepaskan kesedihannya. Jadi ibu saya akan melepaskan geramnya terhadap saya. Ibu akan mengurung dan memukul saya di dalam tandas. Saya hanya dilepaskan setelah bapa pulang dan membuka pintu tandas. Beliau kemudian akan membawa saya ke rumah Ahmad C, seorang pelakon komedi dan penyanyi asal kumpulan Panca Sitara. Kemudian bapa saya akan pulang dan menyambung semula pertengkarannya.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 2 Kehidupan Di Boon Teck Road



Kehidupan Di Boon Teck Road


Semasa kecil saya bersama ibu dan ayah tinggal di Boon Teck Road. Ia adalah satu kawasan perumahan bintang-bintang filem yang disediakan oleh majikan. Ketika itu saya masih kecil dan tidak tahu apa yang berlaku di sekeliling saya dan tidak ambil pusing langsung mengenai siapa yang tinggal di situ. Kemudian saya difahamkan antara bintang-bintang filem ternama yang tinggal di situ ialah S.Roomai Noor, Siput Sarawak dan Kasmah Booty.

Saya dapat menceritakan kisah-kisah yang berlaku kisah-kisah yang berlaku semasa kecil di Boon Teck Road, hanya dengan mendengar cerita-cerita daripada teman-teman bapa saya setelah saya dewasa. Jadi kesahihan ceritanya adalah bersandarkan kepada penceritaan mereka, kerana ada diantara mereka yang pernah menjaga dan memelihara saya semasa kecil.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 1 Filem Pertama P.Ramlee



FILEM PERTAMA P.RAMLEE



Filem Bakti arahan Dato L.Krishnan adalah merupakan filem pertama bapa saya diberi peranan 'hero' bersama S.Roomai Noor dan Kasmah Booty. 

Dalam filem ini bapa saya diberi nama Nasir. Mengikut apa yang diceritakan, nama saya Nasir adalah bersempena dengan namanya di dalam filem Bakti. Perkara ini kemudiannya menjadi satu amalan kepadanya. Beliau memberi nama kepada anak-anaknya dengan nama-nama yang terdapat di dalam filem sama ada filem arahannya ataupun filem yang dilakonkannya. Antaranya nama kedua-dua adik angkat saya. Seorang bernama Sazali, bersempena dengan filem lakonannya Anakku Sazali. Sementara seorang lagi adik angkat saya ialah Sabaruddin bersempena dengan filemnya Sabaruddin Tukang Kasut. Dalam filem Anakku Sazali, beliau telah dianugerahkan Pelakon Lelaki Terbaik di dalam Pesta Filem Asia Tenggara (Best Actor South East Asia Filem Festival). 


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Sinopsis Dan Pengajaran Filem Nasib Si Labu Labi


MALAY FILM PRODUCTION LTD.
Menghidangkan MOHAMAD ZAIN P.RAMLEE A.M.N NASIB SI LABU LABI
UDO OMAR MARIANI IBRAHIM PENDEK S.SHAMSUDDIN MURNI SARAWAK HABSAH BUANG S.SUDARMAJI ASMAON MOHD.HAMID JAMALUDDIN SARBAN SINGH HASSIM SALLEH MUNSIE SALLEH
Biintang Undangan SALOMA SARIMAH ROSNANI DAYANG SOFIA AZIZ SATTAR AHMAD MAHMOOD OMAR ROJIK AHMAD NISFU
Cerita MAJI LEE
Jalan Cerita MAJI LEE
Jalan Bahasa P.RAMLEE A.M.N
Lagu-Lagu Dikarang Disusun dan Dipimpin Oleh P.RAMLEE
Tarian HABSAH BUANG
Fashion Kebaya RAJA ZAII DRESS MAKER
Senikata Lagu S.SUDARMAJI
Teknik Fotografi CHOU CHAN KOK
Art Director A.V.BAPAT
Editor H.R.NARAYANA
Rekaman Suara YAP POH KAI
Rekaman Akhir KAM SIM BOON
Pencetak Filem WONG HONG PENG
Studio Manager KWEK CHIP JIAN
Pembantu Teraju S.SUDARMAJI RAHMAN JAIS
Rekaman CHUA SOH THONG
Rekaman YEO KEE JOK
Editing HAYAT HARRIS P.HARIDAS LEE THIAM YIAK K.K.RAM
Continuity TAN QUEE SIM
Penerbitan SHAW VEE MENG
Teraju Utama P.RAMLEE A.M.N


Tahun Diedarkan: 1963 (April)
Masa Tayangan: 1 Jam 55 Minit

RINGKASAN CERITA

Isteri Haji Bakhil meninggal dunia, Manisah, Haji Bakhil, Labu dan Labi semuanya berdukacita. Haji Bakhil tidak lalu makan kerana asyik mengenangkan isterinya. Begitu juga dengan Manisah. Tetapi bagi Labu dan Labi walaupun bersedih pasal makan mereka tidak menolak. Segala habuan Haji Bakhil habis mereka sapu hinggakan dia kelaparan. Selepas 40 hari isterinya meninggal dunia, Haji Bakhil sakit kerana dia tinggal keseorangan. Manisah pula susah nak tidur. Sementara itu, Labu dan Labi terus bergaduh kerana merebutkan Manisah hingga sampai ke suatu peringkat mereka terpaksa beradu kekuatan (boksing) di gelanggang kelab boxsing. Labu menggunakan nama Rocky Labu manakala Labi pula pakai nama Joe Labi. Sesiapa saja yang menang dalam pertarungan boksing itu, dialah yang layak memiliki Manisah.

Pertarungan antara Rocky Labu dan Joe Labi melarat sampai ke pusingan yang ke - 127 yang mana akhirnya bukan sahaja Rocky Labu dan Joe Labi yang K.0. tetapi juga pengadilnya. Selepas 100 hari pemergian isteri Haji Bakhil, Haji Bakhil mula bertukar kulit, lagaknya macam orang muda dia tak mahu pakai serban. Di pejabat Haji Bakhil & Co.Ltd, Haji Bakhil telah didatangi Cikgu Murni (guru sekolah anak-anak yatim) untuk membeli kain putih untuk kegunaan anak-anak yatim. Oleh kerana Cikgu Murni punya pasal dan sebab kesanggupan memberi gambar, Haji Bakhil menghadiahkan Cikgu Murni dengan 10 kayu kain putih. Dalam pada itu, Persatuan Anak-Anak Yatim masih kekurangan wang tabung dan keputusan telah dibuat dalam mesyuarat iaitu memunggut derma dari rumah ke rumah.

Dalam pada itu, Haji Bakhil terlalu rindukan Cikgu Murni dan sering memuja gambarnya. Kerana kebakhilannya Haji Bakhil hanya sanggup memberi seringgit sahaja kepada dua orang guru yang datang ke rumahnya untuk memunggut derma bagi Persatuan Anak-Anak Yatim, tetapi apabila Cikgu Murni yang datang menemuinya Haji Bakhil sanggup berhabisan hingga 1000 ringgit. Setelah serban sudah tak dipakai lagi dan setelah bertemu dengan Cikgu Murni, Haji Bakhil bertukar corak sama sekali. Dia memakai seluar pendek, bercermin mata hitam dan sanggup pula menukar kereta baru yang mana semuanya itu membuatkan Manisah curiga.

Sewaktu berkelah di pantai secara kebetulan pula Haji Bakhil bertemu dengan Cikgu Murni yang sedang membawa anak-anak yatim berkelah. Haji Bakhil kemudian diperkenalkan dengan Guru Besar, Cikgu Habsah. Dan dalam pertemuan di pantai itu, barulah Haji Bakhil tahu yang Cikgu Murni itu seorang janda beranak satu yang sangat melegakannya. Haji Bakhil kemudian telah diundang ke majlis perjumpaan Persatuan Anak-Anak Yatim dan kerana jasanya selama ini dia telah dihadiahkan dengan sekalung bunga dan dikalungkan pula oleh Cikgu Murni disamping diiringi dengan nyanyian lagu Allah Selamatkan Tuan Haji Bakhil begitu juga Cikgu Murni yang telah banyak membuat jasa terhadap kemajuan persatuan amal itu.

Di Malam Anekaragam, tidak disangka-sangka oleh Haji Bakhil turut diundang menjayakan malam tersebut ialah Labu dan Labi yang mana mereka telah mempersembahkan lagu dan tarian Aci-Aci Buka Pintu. Dalam peraduan Ratu Kebaya Cikgu Murni telah menang dan orang yang mengalungkan selepang ratu ialah Haji Bakhil dan dia jatuh pengsan apabila Cikgu Murni memintanya masuk meminang. Haji Bakhil mewakilkan Labu dan Labi pergi meminang Cikgu Murni dan dengan itu mereka terpaksa pergi bertemu dengan Pak Haji Kemetot. Bagaimanapun, Pak Haji Kemetot tidak bersetuju dengan peminangan tersebut. Labu dan Labi lari lintang pukang apabila dikejar oleh Pak Haji Kemetot dengan penyapu kontot.

Oleh kerana terpengaruh dengan tipu helah Labu dan Labi mengenai pergi meminang kali kedua, Haji Bakhil menyuruh mereka melarikan Cikgu Murni terus dibawa ke rumah Tok Kadi untuk dinikahkan dengannya. Di rumah Pak Haji Kemetot, Pak Haji Kemetot rasa tak sedap hati, berdebak gedebuk sedang tidur dan kerana kepanasan dia menyuruh Cikgu Murni tidur di biliknya manakala dia tidur di bilik Cikgu Murni.

Ketika Pak Haji Kemetot dan Cikgu Murni sedang tidur lena, Labu dan Labi datang lalu menculik Pak Haji Kemetot (pada sangkaan mereka Cikgu Murni) yang mana apabila sampai di rumah Tok Kadi keadaan menjadi kelam kabut apabila dibuka kain bungkusan yang muncul ialah Pak Haji Kemetot bukannya Cikgu Murni. Berikutan dengan itu, Haji Bakhil, Labu dan Labi telah didakwa di mahkamah. Mereka didapati bersalah dan didenda 500 ringgit setiap seorang atau dipenjara tiga bulan. Haji Bakhil membayar dendanya tetapi enggan membayar denda untuk Labu dan Labi. Oleh yang demikian terpaksalah Labu dan Labi merengkok dalam penjara.

ULASAN & KRITIKAN

Sungguhpun "Labu Dan Labi" memperlihatkan kemerosotan P.Ramlee dalam pengarahan filem tetapi filem yang menggunakan watak Labu dan Labi ini dan merupakan sambungan dar filem pertamanya itu, lebih baik dan lebih sempurna. Ceritanya sudah pijak ke bumi nyata tidak seperti "Labu Dan Labi" yang berada di alam khayalan. Ceritanya agak menarik dan para pelakonnya telah membawa peranan masing-masing dengan baik dan memuaskan. Murni Sarawak (anak Siput Sarawak) yang diambil berlakon dalam filem ini buat pertama kalinya oleh P.Ramlee telah membawa peranannya sebagai Cikgu Murni tidak mengecewakan.

Pada keseluruhannya filem ini tidaklah seburuk "Labu Dan Labi" dan tetap menghibur dan menyeronokkan

IRAMA & LAGU

Hanya 4 lagu sahaja terdapat dalam filem ini:

  1. Barang Yang Lepas Jangan Dikenang (P.Ramlee)
  2. Aci-Aci Buka Pintu (P.Ramlee & Saloma)
  3. Sayu Pilu Kalbu Merana (Saloma)
  4. Tarian Silat Melayu (Saloma)
          Ciptaan & Gubahan: P.Ramlee
          Lirik: S.Sudarmaji
  • Aci-Aci Buka Pintu yang terdapat dalam filem ini, iramanya turut digunakan oleh P.Ramlee dalam "Ali Baba Bujang Lapok" ketika 40 Penyamun sedang bersukaria dalam gua.


FAKTA & ANGKA


  • Inilah siri kedua dan terakhir Labu dan Labi setelah "Labu dan Labi" yang diarahkan oleh P.Ramlee.
  • Filem pertama P.Ramlee menggunakan A.M.N. di hujung namanya.
  • Filem pertama dan terakhir Murni Sarawak berlakon dalam filem arahan P.Ramlee. Sebelum ini Murni Sarawak membintangi filem "Norlela" bersama Aziz Jaafar dan Sarimah yang diarahkan Dhiresh Ghosh.
  • Murni Sarawak (anak Siput Sarawak) boleh dikatakan heroine filem ini tetapi P.Ramlee tidak boleh dikatakan hero. Oleh yang demikian ia tidak boleh disamakan dengan Neng Yatimah dan Rose Yatimah di mana P.Ramlee menjadi hero kepada dua anak beranak. 
  • Perlawanan boksing (boxing) ditirunya dari filem Charlie Chaplin - "City Light". Bagaimanapun, ia tidak seteruk filem ini hingga menyebabkan pertarungan antara Rocky Labu dan Joe Labi sampai ke pusingan yang ke-127 manakala Eddie Baker sebagai pengadil (refree) tidaklah seteruk S.Shamsuddin sebagai pengadil yang terpaksa tumbang bersama Rocky Labu dan Joe Labi.

Sinopsis Dan Pengajaran Filem Labu Labi

(SB) MALAY FILM PRODUCTION LTD.
Mempersembahkan MOHD.ZAIN DAN P.RAMLEE Sebagai LABU DAN LABI
Bintang Utama MARIANI UDO OMAR RAHMAH ALIAS
Bintang Pembantu SHARIFF DOL NYONG ISMAIL BABJAN SUPA'AT
Pelakon Undangan SALOMA SARIMAH AZIZ SATTAR ORKEST PANCHA SITARA ORKEST PUSPA RAYA
Cerita Asli S.KANDARISMAN
Screen Play S.SUDARMAJI
Dialog P.RAMLEE
Lagu-Lagu Ciptaan Dan Gubahan P.RAMLEE
Senikata S.SUDARMAJI
Orkestra P.RAMLEE ORKESTRA
Teknik Fotografi ABU BAKAR ALI
Director A.V.BAPAT
Rakaman Suara MUSTAFFA KAMAL
Rakaman Akhir KAM SIM BOON
Editor H.R.NARAYANA
Laboratory CHOU CHAN KOK
Processing WONG HONG PENG
Studio Manager KWEK CHIP JIAN
Pembantu-Pembantu Teraju S.SUDARMAJI
Fotografi YA'ACOB MAHMOOD
Suara YEO KEE JOK
Editing LEE THIAM YIAK K.K.RAM P.HARIDAS KASSIM MASDOR
Dikeluarkan Oleh VEE MENG SHAW
Teraju Utama P.RAMLEE A.M.N


Tahun Diedarkan: 1962 (Ogos)
Masa Tayangan: 1 Jam 40 Minit

RINGKASAN CERITA

Haji Bakhil adalah orang kaya yang mempunya rumah besar, kereta cantik, seorang isteri, seorang anak perempuan yang jelita serta dua orang gaji - Labu dan Labi. Walaupun teruk bekerja dan selalu kena marah dan dimaki hamun oleh Haji Bakhil namun Labu dan Labi tetap mahu bekerja d situ kerana mereka terpikat dengan anak perempuan Haji Bakhil - Manisah. Labu bekerja sebagai tukang masak dan kerja-kerja lain. Bagi Manisah, dia terpaksa bekerja sebagai tukang jahit disebabkan Haji Bakhil begitu kedekut. Duit lima sen macam roda kereta lembu. Walaupun Labu dan Labi tergila-gilakan Manisah tetapi gadis tersebut tidak ada hati terhadap mereka.

Perebutan antara Labu dan Labi terhadap Manisah berterusan yang mana ada ketikanya mereka bermusuhan dsebabkan cemburu. Sebagai orang gaji Labu dan Labi pada kebiasaannya tidur di serambi rumah dan sudah menjadi kebiasaan pula sebelum tidur mereka berangan-angan. Kali ini dalam khayalan mereka, Labi menjadi majestrik dan bertemu dengan Dr.Labu di restoran. Mereka berlagak dan cakap pun pelat Inggeris. Semasa memesan minuman mereka terperanjat kerana pelayan yang datang ialah Haji Bakhil - majikan mereka. Dr.Labu sudah terpikat dengan Sarimah yang telah memperagakan fesyen pakaian di restoran tersebut dan telah pergi bertemu dengannya di bilik. Kemudian datang pula majestrik Labu untuk bertemu dengan Sarimah bagi menyatakan perasaan hatinya. Dalam mereka merebut-rebutkan Sarimah itu, Labu dan Labi kembali ke alam nyata. Mereka bergaduh dan ini membuat Haji Bakhil nak angin dan memarahi mereka.

Labu dan Labi tidak serik-serik. Selepas itu mereka berkhayal lagi dan kali ini, Labu kata jadi orang kaya tidak berguna dia lebih suka tinggal dalam hutan. Tambahnya, dalam hutan hidup bebas boleh makan apa sahaja, boleh berkawan dengan binatang seperti monyet dan menjadi Tarzan. Dalam angan-angan mereka, Labu jadi Tarzan dan Haji Bakhil jadi monyet. Labu jadi Tarzan Malaya pakai keris. Tarzan 'fed-up' makan buah-buahan dan dia menyuruh monyetnya masak nasi dan buat sambal belacan. Labi pula jadi Harimau dan dia mahu makan Tarzan dan dengan itu terjadi pergaduhan. Pada realitinya, Labu dan Labi bergaduh sekali lagi yang mana menyebabkan Haji Bakhil marah dan mahu 'dilesengnya'. Jam sudah menunjukkan pukul 12.00 tengah malan, tetapi mata Labu dan Labi tidak juga mahu tidur dan pada kali ini terkeluar cerita dari Labi yang dia jadi koboi (gembala kuda) dan Labu pula jadi sheriff (penjaga keamanan). Dalam khayalan, mereka berada di sebuah 'saloon' di mana Labi menjadi koboi meminta air susu daripada pelayan bar (Haji Bakhil) dan kemudian Labu datang sebagai sheriff untuk menangkap Labi yang telah melakukan pembunuhan.

Labi menentang dan terjadilah tembak menembak yang mana di alam nyata mereka bertembak-tembak menggunakan tangan dan jari macam budak-budak. Sekali lagi Haji Bakhil mengamuk. Akhirnya Labu dan Labi tertidur. Dalam tidurnya Labu bermimpi menjadi kaya raya apabila mendapat harta rompakan yang tersembunyi dalam tempat rahsia di bawah tanah di dalam hutan. Dengan harta rompakan yang dicurinya Labu mewujudkan syarikat perniagaan yang diberi nama Haji Labu & Co Ltd. dan Labu kemudian menyuruh pembantunya pergi meminang anak gadis Haji Bakhil Bin Kedekut -  Manisah.

Bila Haji Bakhil mendapat tahu yang datang meminang itu ialah untuk Labu, dia menolak. Dengan penolakan tersebut menyebabkan Labu marah lantas pergi menemui dukun untuk mengilmukan Manisah dengan mengasap dan menggantung gambar Manisah yang mana ini menjadikan Manisah pengsan. Dalam pada itu, Labi pergi ke gua bertemu dengan seorang pendita dan dia diberikan sebutir geliga hikmat yang banyak khasiatnya. Sementara itu, penyakit Manisah tidak juga sembuh-sembuh walaupun ramai dukun dan doktor datang mengubatinya. Tetapi dengan menggunakan geliga hikmat Labi berjaya menyembuhkan Manisah.

Kerana berhasrat menyembuhkan penyakit Manisah, Haji Bakhil pun mengahwinkan Manisah dengan Labi, tetapi Labu menghantar surat terbang menyatakan hasratnya untuk merampas Manisah darpada Labi. Dengan itu, Labi dan orang-orangnya membuat kawalan ketat dengan Labi menggunakan kapak, Haji Bakhil dengan senapang dan Labu pula menggunakan pengetuk. Labu menggunakan pengetuk tetapi da gagal digunakan kepada Labi dan Manisah disebabkan Labi ada batu geliga hikmat. Pertarungan berlaku antara Labu dan Labi dan sekali lagi pada realitinya mereka bergaduh di serambi hingga habis jahanam bantal-bantal yang mana pada kali ini Haji Bakhil menyiram air kepada mereka. Kemudian barulah mereka sedar yang perstiwa tadi sebenarnya adalah mimpi Labu.

ULASAN & KRITIKAN

Setelah berjaya dengan filem-filem arahannya di MFP, dengan lahirnya filem ini menampakkan kemerosotan P.Ramlee sebagai pengarah filem. Ternyata dengan pengarahannya ini P.Ramlee sudah kekeringan idea. Jika tidak ada lagu (terutamanya Bila Larut Malam) filem ini boleh dikategorikan sebagai yang terburuk pernah diarahkan P.Ramlee. Labu dan Labi bolehlah dianggap sebagai Laurel And Herdy (Si Gemuk dan Si Kurus) yang begitu popular bukan sahaja di Hollywood malah diseluruh dunia termasuk negara kita sendiri.

Walaupun pada zahirnya menampakkan kekeringan ilham dalam menghasilkan filem ini, tetapi pada hakikatnya tidak begitu. Ini disebabkan pada masa itu, keadaan di MFP sudah bercelaru kerana adanya perselisihan antara kesatuan pekerja filem dengan pihak majikan. Oleh kerana sesuatu yang sudah mengikut peraturan (kerja lebih masa tidak boleh. Itu tidak boleh ini tidak boleh. Ini telah diluahkannya dalam "Alii Baba Bujang Lapok") menyebabkan P.Ramlee kehilangan semangat untuk berkarya. Oleh kerana kontraknya dengan MFP masih ada maka terpaksalah P.Ramlee membuat filem mengikut keadaan dan suasana di MFP ketika itu. Hasilnya lahirlah filem iini yang boleh dianggap kemerosotan kreativitinya.

Begitupun juga apa yang dilaksanakan oleh P.Ramlee terhadap filem ini masih boleh mentertawakan. Lakonan P.Ramlee, M. Zain dan Udo Umar (kemudian terkenal sebagai Haji Bakhil). tetapi berjaya membuat penonton ketawa tidak kering gusi. Filem ini diilhamkan P.Ramlee daripada watak Laurel And Hardy (Si Gemuk dan Si Kurus). Perwatakan P.Ramlee bersesuaian dengan Si Gemuk tetapi M.Zain tidak menepati perwatakan Si Kurus. Kalau ditanya pada saya siapa yang layak. Jawab saya: "Mat Sentol".

IRAMA & LAGU

Hanya 2 lagu terdapat dalam flem ini:

  1. Yang Mana Satu Idaman Kalbu (P.Ramlee & Saloma)
  2. Bila Larut Malam (P.Ramlee, Saloma & Pancha Sitara)
          Ciptaan & gubahan: P.Ramlee
          Lirik: S.Sudarmaji
          Muzik iringan: P.Ramlee Orchestra.



FAKTA & ANGKA


  • Filem pertama P.Ramlee berpasangan dengan Mohd Zain (M.Zain)
  • Filem pertama P.Ramlee mengambil Mariani sebagai heroine dalam filem arahannya.
  • Filem ini kali kedua P.Ramlee berpasangan dengan adik beradik sebagai heroine selepas Mariam dan Sa'adiah. Saloma menjadi heroine P.Ramlee dalam "Seniman Bujang Lapok".
  • M.Zain atau nama sebenarnya Mohd Zain Sharif lahir di Pulau Pinang tahun 1921 dan meninggal dunia pada 31 Januari 1967 semasa umurnya 46 tahun.   




Sinopsis Dan Pengajaran Filem Ali Baba Bujang Lapok

MALAY FILM PRODUCTION LTD. MEMPELAWAKAN BUJANG LAPOK SHAM RAM ZIZ DI DALAM CERITA JENAKA ALI BABA BUJANG LAPOK 
TURUT BERLAKON: NORMADIAH K. FATIMAH LENG HUSAIN 
DIBANTU: IBRAHIM PENDEK A.RAHIM SHARIF DOL KEMAT HASSAN M.RAFEE H.M.BOSRA MD.ZAIN NYONG ISMAIL ALI FIJI HASHIM SALLEH IBRAHIM HASSAN
PELAKON UNDANGAN: ZAITON S. KADARISMAN MUSTARJO
MEMPERKENALKAN: SARIMAH SEBAGAI MARJINA
TERAJU FOTOGRAFI: A.BAKAR.ALI
TERAJU RAKAMAN SUARA: KAMAL MUSTAFFA
TERAJU RAKAMAN AKHIR: KAM SIM BOON
SENI SUNTINGAN: H.R.NARAYANA
SENI OLAHAN: WONG HONG PENG
PENGURUS LABORATORY: CHOW CHENG KOK
MANAGER: KWEK CHIP JIAN
PENOLONG-PENOLONG FOTOGRAFI: YA'AKOB MAHMOOD
RAKAMAN SUARA: AHMAD SURADI
SENI SUNTINGAN: K.K.RAM HAYAT HARRIS LEE THIAM YIAK
PEGAWAI SAMBONGAN DAN TERAJU SENI: KASSIM MASDOR
TERAJU MUDA: S.SUDARMAJI
TERAJU SOLEK HIAS & PANORAMA: MUSTAFA YASSIN
TERAJU TARI: NORMADIAH S.SUDARMAJI
SUARA GHAIB: NORMADIAH RAHMAH RAHMAT AHMAD C. AZIZ SATTAR P.RAMLEE & MFP CHORUS
DIIRINGI OLEH: P.RAMLEE ORKESTRA
JALAN CERITA & BAHASA DISUSUN SEMULA: P.RAMLEE
DIPETIK DARI CERITA: ALI BABA DENGAN 4O PENYAMUN
TERAJU SENI LAGU: P.RAMLEE
TERAJU UTAMA: P.RAMLEE


Tahun Diedarkan : 1961 (Januari)
Masa Tayangan: 1 Jam 45 Minit

RINGKASAN CERITA

Di Pekan Persada Marjina telah dilelong dan dia telah dibeli oleh Kassim Baba dengan harga 1001 darham. Tujuan dibelinya Marjina itu ialah untuk membantu isterinya - Aloyah, yang terlalu banyak kerja rumah terpaksa dibuatnya. Kedatangan Marjina itu telah disambut baik oleh Aloyah. Ali Baba (adik Kassim Baba) kerana dasar pemalasnya hidup dalam kemiskinan. Dia sentiasa saja datang ke rumah Kassim Baba meminjam gandum dan pada kebiasaannya kalau pinjam satu gantang kena bayar balik dua gantang. Mahu tidak mahu terpasa Ali Baba menyetujuinya.

Sepulangnya dari meminjam gandum dan setelah dimarahi Kassim Baba, Ali Baba pula dimarahi isterinya - Norsiah, kerana pemalas dan tidak mahu mencari kerja. Bagaimanapun, Ali Baba memberi alasan bukan pemalas tetapi tulangnya reput. Oleh kerana tidak tertahan dengan leteran Norsiah (kerana dimarahi) oleh Kassim Baba ketika pergi meminjam gandum dan mengugut pula yang dia akan pergi mencari rezeki, barulah Ali Baba beralah. Dia pergi ke hutan mencari kayu.



Ketika sedang memotong kayu tiba-tiba Ali Baba dikejutkan dengan kedatangan 40 orang penyamun yang sedang menuju ke gua dengan membawa barangan yang mereka samun. Apabila penyamun-penyamun tersebut keluar pergi menyamun Ali Baba masuk ke gua apabila Chief Penyamun memberi kepadanya cara-cara membuka dan menutup pintu gua setelah Ali Baba menyatakan dirinya 'reporter'. Dengan mengambil hanya sedikit saja harta-harta penyamun itu, Ali Baba berubah dari miskin menjadi kaya.

Kemurahan hati Ali Baba menabur wang emas kepada orang ramai disertai pula menghadiahkan wang tersebut kepada Kassim Baba, pengintip (Sarjan Penyamun) memberitahu Chif Penyamun dan dia pun membuat rancangan menyamun rumah Ali Baba. Kassim Baba mendesak Ali Baba supaya memberitahunya bagaimana dia memperolehi wang emas yang banyak itu dan kerana kejujurannya dan tidak tamak, Ali Baba pun memberitahu tempatnya iaitu di Bukit Koma - tempat 40 penyamun menyimpan barang-barang yang mereka rompak.

Ali Baba mengajar cara-cara masuk ke dalam gua iaitu membuka pintunya, 'niat nyinson mata kaji, semar nyisen," kepada Kassim baba, tetapi belum sempat Ali Baba mengajar cara-cara menutup pintu gua, "lampong isen, semar tilem" kerana ketamakannya Kassim Baba terus pergi ke gua membawa lori besar dengan niat untuk menyapu bersih segala harta yang terdapat di dalam gua tersebut. Bagaimanapun, belum sempat Kassim Baba membawa pulang harta-harta tersebut, Chif Penyamun dengan penyamun-penyamunnya pulang setelah berpesta merayakan 'public holiday', Kassim Baba terperangkap dan ditangkap.Disebabkan Kassim Baba menyamun harta penyamun dia telah diadili, dan kemudian didapati bersalah dan dihukum kepalanya dipancung.

Bila Kassim Baba tidak pulang-pulang (atas desakan Aloyah), Ali Baba pergi ke gua di mana dia telah bertemu dengan mayat Kassim Baba dengan anggota badannya bercerai dan kemudian dibawanya pulang, Ali Baba menyuruh Apek Tukang Kasut menjahitnya sebelum dikebumikan. Oleh kerana mayat Kassim Baba sudah hilang dari gua, Chif Penyamun telah mengarahkan Sarjan Penyamun pergi ke Baghdad mencari rumah Kassim Baba dan bila berjumpa hendaklah dibuat tanda pangkah. Melalui Apek Tukang Kasut, Sarjan Penyamun berjaya menemui rumah Kassim Baba lalu ditandanya pangkah di pintu rumah tersebut.

Tanda pangkah tersebut disedari oleh Marjina dan kerana meraguinya Marjina memadamkan pangkah tersebut dan dipangkahnya pula pintu tandas Apek Tukang Kasut.Bila serbuan dibuat bukan rumah Kassim Baba yang diserang tetapi tandas Apek Tukang Kasut yang menjadi mangsa dan akibatnya kesemua penyamun-penyamun terpalit dengan najis. Kegagalan Sarjan Penyamun menyebabkan dia dihukum dan untuk tugas selanjutnya Chif Penyamun mengarahkan pula Tarosan pergi membuat intipan dan membuat pangkah jika bertemu dengan rumah Kassim Baba.Tarosan berjaya menemui rumah Kassim Baba lalu dipangkah di pintunya.

Bagaimanapun, bila didapati ada tanda pangkah di pintu rumah Kassim Baba, dengan kebijaksanaannya Marjina memangkah pula setiap pintu rumah yang ada di lorong Kota Baghdad itu. Apabila serbuan dibuat, Chif Penyamun dan orang -orangnya terkeliru dan sekali lagi penyamun-penyamun itu tertipu dan gagal. Disebabkan dua kegagalan itu Chif Penyamun mengambil keputusan menyiasat sendiri dengan menyamar sebagai Saudagar Bermacam Minyak manakala penyamun-penyamun lain bersembunyi dalam takar minyak yang dibawa bersamanya. Mereka merancang merompak rumah Ali Baba tepat jam 12.00 tengah malam.

Kerana ketulusan hatinya, Ali Baba membenarkan Chif Penyamun bermalam serta membenarkan Chif Penyamun bermalam serta membenarkan takar-takar minyak diletrakkan di belakang rumahnya. Bagaimanapun Marjina, Aloyah dan Norsiah mendapat tahu orang yang bersama Ali Baba itu bukanlah Saudagar Bermacam Minyak tetapi Chif Penyamun yang bertujuan merompak dan seterusnya membunuh Ali Baba. Kerana menyedari yang takar-takar minyak itu sebenarnya disisi dengan penyamun-penyamun Marjina, Aloyah dan Norsiah pun memasak minyak dan apabila panas lalu mereka siram ke dalam takar-takar tersebut yang mana menyebabkan kesemuanya terbunuh.

Apabila selesai tugas menyiram minyak panas itu, Marjina pula meluru ke arah Chif Penyamun lalu menikamnya dengan pisau iaitu sebelum dia sempat membunuh Ali Baba. Ali Baba marah kerana perbuatan Marjinan itu, tetapi apabila dibuktikannya yang Chif Penyamun dan penyamun-penyamun yang lain berniat merompak dan membunuhnya barulah Ali Baba mengetahui keadaan sebenarnya. Disebabkan Marjina sudah menyelamatkannya, Ali Baba pun membebaskan Marjina tidak lagi menjadi hamba. Kata Marjina selepas pembebasan itu; "Alhamdulillah syukur nikmat."

ULASAN & KRITIKAN

Setelah "Pendekar Bujang Lapok" membawa penonton ke masyarakat kampung, dalam filem ini P.Ramlee membawa kita ke alam fantasi cerita yang diceritakan oleh Shehanezed dalam "Arabian Nights" iaitu "Ali Baba Dengan 40 Penyamun". Kisah Ali Baba ini begitu popular bukan sahaja telah difilemkan di Barat (Hollywood terutamanya) tetapi juga oleh filem Tamil dan juga Hindustan. Kalau pada tahun 1949 "Nasib" dibuat secara serius tetapi dalam filem ini P.Ramlee mengkomedikan dan hasilnya cukup berjaya. Walaupun dibuat secara beranekaragam (tidak seperti kisah Ali Baba yang sebenarnya) tetapi asal ceritanya tetap sama. Filem ini berjaya menggeletekkan hati terutama yang dilakonkan oleh Aziz Sattar sebagai Ali Baba dan S.Shamsuddin sebagai Kassim Baba yang mana telatahnya menggunakan bahasa Cina sangat melucukan.

Dari segi arahan, cara-cara P.Ramlee mengolah cerita yang serius menjadi komedi sangat berjaya. Dari segi lakonan tetap baik, Sarimah yang diperkenalkan dalam filem ini masih banyak kelemahannya tetapi berjaya sebagai pendatang baru. Lakonan Leng Hussain (ketika disuruh menjahit badan Kassim Baba) dan K.Fatimah (pertama kali membawa watak berat) telah berhasil membawa peranan masing-masing dengan sempurna. Pada keseluruhannya filem ini dikira sederhana saja baiknya tetapi tetap memberikan hiburan. 


IRAMA & LAGU

Terdapat 7 lagu dalam filem ini berbagai irama dan rentak terutama Arab dan Cina:
  1. Beginilah Nasib (Aziz Sattar)
  2. Indahnya Di Waktu Pagi (Normadiah)
  3. Hoi Hoi Ya Hoi (Beramai)
  4. Apek Dan Marjina (Aya Cik Siti) - Ahmad C. & Normadiah
  5. Ali Baba Rock (Beramai)
  6. Alhamdulilah Syukur Nikmat (Normadiah)
  7. Ya Habibi Ali Baba (P.Ramlee) Ciptaan & Gubahan: P.Ramlee Lirik: S.Sudarmaji Muzik Iringan: P.Ramlee Orkestra.
  • Beginilah Nasib adalah lagu klasik barat yang menjadi kesukaan Raj Kapoor. Dia menggunakan sepenuhnya lagu tersebut dalam "Barsaat" dan sedikit saja dalam "Sangam", "Bobby" dan "Mere Naam Joker". Di piring hitam P.Ramlee menyanyikannya.
  • Indahnya Di Waktu Pagi ialah lagu Lebanon - Banat Iskendaria (Gadis Iskandaria). Bagaimanapun, banyak negara mengakui lagu tersebut kepunyaan mereka termasuk Turki, Greece, Macedonia, Albania, Serbia, Bulgaria, Bosnia, Sarejevo dan juga Sepanyol. Yang mana satu betul? Entahlah. Tajuk Inggerisnya A Clear Moon Is On Rise (Bulan Mengambang) dan pernah juga dinyanyikan oleh penyanyi tersohor Lebanon - Fairuz.
  • Apek Dan Marjina (Aya Cik Siti) merupakan lagu saduran Apek Tua Dan Nyonya Manis yang pernah dipopularkan Dollah Sarawak dan Tarminah. Dipiring hitam P.Ramlee dan Normadiah menyanyikannya.
FAKTA DAN ANGKA

  • Siri ketiga Bujang Lapok yang melibatkan P.Ramlee, Aziz Sattar dan S.Shamsuddin yang diarahkan P.Ramlee selepas "Bujang Lapok" dan "Pendekar Bujang Lapok".
  • Filem pertama dilakonkan Sarimah (usianya ketika itu 17 tahun) baik di bawah arahan P.Ramlee mahupun di MFP> Peranannya sebagai Marjina.
  • A.Rahim adalah bekas adik ipar P.Ramlee (kerana dia berkahwin denan Junainah - adik Junaidah). Dia meninggal dunia di Kuala Lumpur pada 20 April 1992 kemudian di bawa ke Sinapura untuk dikebumikan.
  • Filem kedua disadur dari filem "Ali Baba And Forty Thieves". Pertama "Nasib" arahan B.S.Rajhans. P.Ramlee turut berlakon memegang peranan pelakon pembantu (sebagai Baki berlawak bergandingan dengan D.Harris.)
  • Aziz Sattar hero filem ini dan P.Ramlee sebagai crook, ertinya pelakon pembantu. 
  • Nama sebenar Chif Penyamun (P.Ramlee) dalam filem ini Abu Hassan.
  • Pada peringkat awal S.Shamsuddin sepatutnya memegang peranan Ali Baba. Tetapi kemudian P.Ramlee menukar fikirannya dan diberikannya kepada Aziz Sattar. 
APEK TUA DAN NYONYA MANIS (DAYUNG SAMPAN)

Dayung Sampan adalah lagu Cina dan tidak diketahui pula siapa penciptanya. Ia memang cukup popular dan sudah dianggap klasik. Dollah Sarawak dan Tarmina pernah merakamkan lagu ini ke piring hitam dengan jodohnya Apek Tua Dan Nyonya Manis. Tarminah pernah membintangi "Menantu Durhaka" keluaran Tan Wong Filem Company dari Indonesia yang diusahakan pada 1942 tetapi hanya dapat ditayangkan selepas Perang Dunia Kedua tamat (1942). Turut berlakon S.Kadarisman, D.Harris, Yusof Banjar dan Mochtar Wijaya. Dollah Sarawak (ayah Siput Sarawak) memang sudah tidak asing lagi kerana sering membintangi filem-filem keluaran Cathay Keris terutama yang bercorak seram seperti "Pontianak", "Dendam Pontianak" dan "Sumpah Pontianak". Noraniza Idris juga pernah menyanyikan lagu ini dengan iringan Erhu (biola Cina) gesekan He Yun. Hetty Koes Endang turut merakamkan lagu ini dalam albumnya "Hetty Koes Endang" (Pop Keroncong Vol. 2) 
PENGAJARAN FILEM

Ali Baba Bujang Lapok (1961) boleh dikatakan sebagai filem komedi terbaik P.Ramlee. Keistimewaan filem ini terletak kepada jenakanya yang bersahaja dan mengandungi kritikan sosial yang tajam, ini membuatkan filem ini lain daripada filem jenaka yang lain. P.Ramlee memilih mod rekonstruksi, dengan membikin semula kisah Ali Baba Dan 40 Penyamun. Di tangan P.Ramlee filem ini keluar dengan lmrah kisah asalnya. Suntikan elemen semasa dan penggunaan set dan prop yang bercampur membuat kita tertanya-tanya apakah zaman kisah ini sebenarnya., Ada telefon, kipas angin, skuter, kalendar bercetak dan sebagainya. Ini sebenarnya sebuah parodi kehidupan dan semuanya disatukan P.Ramlee di dalam filem ini.

Dipaparkan satu kehidupan di sebuah negeri yang diberi nama Baghdad (sudah tentu nama ibu negara Iraq). Wajah penduduknya seiras penduduk Malaya, tetapi berpakaian dan mengamalkan gaya hidup seperti orang Arab. Mereka juga bertutur dalam Bahasa Melayu dengan pelat Arab. Kota Baghdad di dalam filem ini digambarkan mengalami masalah yang rumit. Pelbagai perkara negatif diamalkan secara terbuka di kota ini. Misalnya perjualan hamba dan pemerdagangan orang. Masyarakatnya juga gemar mempercayai tilikan nasib daripada seorang tabib yang menipu dan bertujuan mengaut keuntungan semata-mata. Kota yang pentadbirnya misteri dan tidak didedahkan di dalam filem ini. Undang-undang dan peraturan-peraturan di kota ini semuanya pelik-pelik belaka. Sindiran tajam P.Ramlee ialah apabila candu dan ganja boleh dijual secara terbuka, tetapi belacan terpaksa dijual secara senyap-senyap kerana bimbang dirampas pihak berkuasa. Ini kita dapat lihat semasa babak di antara Marjina dan Penjual Belacan.

"Jual candu ada lesen, jual ganja ada lesen tetapi jual belacan tak ada lesen. Saya smuggle dari Malaya."

Ini satu kritikan tajam yang ditujukan kepada penguatkuasa undang-undang pada ketika ini yang mungkin dilihat P.Ramlee berdepan masalah. Segala macam perkara-perkara salah boleh dibuat secara terang-terangan, tetapi perkara baik-baik terpaksa dilakukan secara sembunyi-sembunyi. Ini jelas menunjukkan bahawa melakukan kebaikan ialah satu jenayah di kota ini. Filem ini juga langsung tidak melibatkan sebarang sosok anggota keselamatan atau pengkuatkuasaan seperti polis, walaupun pelbagai jenayah dan penipuan berlaku secara berleluasa. Ini selanjutnya menimbulkan persoalan besar mengenai siapa sebenarnya yang menerajui, mentadbir dan menjaga keselamatan kota yang penuh muslihat ini. Lebih menghairankan, penduduk kota ini membuka jalan untuk segala penipuan berlangsung secara berterusan kerana mereka sering mengambil jalan mudah untuk cepat kaya dan melanggar segala hukum termasuk berjudi dan mempercayai skim cepat kaya seperti tikam nombor ekor yang dianjurkan oleh Sarjan.

Parodi kehidupan yang disebut sebelum ini dapat dikesan pada beberapa babak penting di dalam filem ini. Misalnya ketika Ali Baba datang ke rumah Kassim Baba dan dia mahu meminjam satu gantang gandum, Kassim Baba bersetuju memberi pinjam, tetapi perlu dipulangkan semula sebanyak dua gaantang. Kassim Baba seolah-olah seperti bank yang memberi pinjam dengan kadar bayaran balik lebih tinggi lengkap dengan riba. Selain itu, Kassim Baba juga meminta Ali Baba untuk menandatangani dokumen perjanjian.

Kassim Baba walaupun dilihat sebagai seorang kaya yang kedekut dan gilakan harta dan wang, namun dia masih memiliki perikemanusiaan dengan menjaga hambanya, Marjina dengan baik. namun, sikap kedekut Kassim Baba begitu ketara apabila isterinya Aloya menyebut Kassim Baba tidak membayar bil air dan menyebabkan perkhidmatan air terpaksa dipotong. Selain itu, Kassim Baba juga memiliki rekod di pajak gadai yang memberi maksud dia mungkin seorang kaya, tetapi hidupnya tidak selalu senang. Pintu bilik Kassim Baba juga menampakkan motif ukiran seperti zaman Firaun dan ini menjadi petanda sikap negatif yang ada pada Kassim Baba. Kasim Baba juga seperti suka menunjuk-nunjuk kelebihan sendiri walaupun sebenarnya ada perkara yang dlakukannya hanya sia-sia misalnya mengupah pekerja untuk mengangkat bebanan yang sebenarnya bukan besi tetap kayu itu.

Berbeza dengan Kasim Baba, Ali Baba pula hidup bersama-sama isterinya Norsiah di rumah usang yang kelihatan terpencil. Ali Baba merupakan cerminan kemiskinan yang berlaku dalam masyarakat. P.Ramlee cuba menjelaskan bahawa tidak semua kemiskinan itu berlaku kerana kurang nasib baik, tetapi ada juga kemiskinan yang berlaku atas dasar malas. Seperti Ali Baba, dia merupakan seorang miskin yang malas. Hidupnya hanya berharap kepada peminjaman gandum dengan Kasim Baba. Ali Baba tidak mahu berusaha, bekerja atau membantu isterinya. Segala kerja rumah dilaksanakan oleh isterinya seorang diri. Sikap Ali Baba yang malas ini diterjemahkan oleh P.Ramlee sebagai di antara punca utama kemiskinan dalam kalangan masyarakat. Apa yang Ali Baba tahu hanyalah mencipta alasan, tetapi gagal dan tetap tidak mahu berusaha. Misalnya dia ada menyebut kepada isterinya yang dia bukan tidak mahu bekerja tetapi tulang-tulangnya telah reput. Selepas isterinya merajuk Ali Baba bergerak ke dalam hutan dan mencari kayu-kayu yang boleh dipotongnya. Namun, kita dapat melihat betapa pemalasnya Ali Baba apabila dia memotong pokok yang terlalu besar dengan kapak yang kecil. Selepas dengan hanya beberapa kali percubaan, dia putus asa dan terus berbaring. Di dalam filem ini, P.Ramlee bukan sahaja menyindir orang kaya yang kedekut dan gilakan wang, tetapi juga orang miskin yang malas dan gagal berusaha gigih untuk mengubah nasib diri. Ali Baba hanya bergantung kepada nasib semata-mata dan kebetulan dia bertemu dengan gua tempat 40 penyamun tinggal dan dari situasi itu, nasibnya berubah menjadi kaya.

Kini kita ke bahagian yang paling menarik untuk dikupas sepanjang filem Ali Baba Bujang Lapok ini. Bahagian berkenaan ialah tentang 40 penyamun yang diketuai oleh P.Ramlee yang hanya dikenali sebagai Chief atau ketua. Bentuk organisasi dan cara bekerja kumpulan 40 penyamun ini menyamai organisasi asas sesebuah kerajaan di mana-mana negara di dunia. Misalnya memiliki ketua untuk menguruskan organisasi mereka. Ketua ini akan memberi arahan dari semasa ke semasa dan semua 40 penyamun ini akan melaksanakana arahan berkenaan dengan baik dan teliti. Jika mereka tidak melakukan kerja dengan baik, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib seperti yang berlaku kepada Sarjan dan Momotaro San. Mereka didapati bersalah kerana disangka meletakkan tanda pangkah yang salah dan akibatnya mereka telah dihukum duduk didalam penjara yang ada di gua yang menjadi markas 40 penyamun.

Kumpulan ini juga memiliki pakaian seragam dan akan berbaris sebelum melaksanakan apa-apa tugasan. Mereka dipuji sebagai memiliki disiplin yang tinggi. Mereka akan diberikan bonos dan dalam kes Momotaro San dia diberi bonos setengah bulan gaji kerana berjaya merompak banyak wang emas, manakala seorang perompak yang lain pula dipotong gaji setengah bulan kerana merompak kasut buruk. Di sini Chief sebenarnya perlu memotong gaji penyamun berkenaan untuk menampung kos memberi bonos kepada Momotaro San. Selain itu, terdapat juga pelbagai kemudahan untuk semua penyamun berkenaan dan di antara yang paling mudah dilihat di dalam filem ini ialah perubatan percuma. H.M.Busra memainkan perana sebagai doktor yang merawat penyamun yang sakit. Namun, doktor ini kelihatan agak garang dan mahu dilayan dengan baik.

Kumpulan 40 penyamun ini juga dibenarkan melaksanakan kerja lebih masa dengan arahan dan persetujuan daripada Chief. Mereka tidak dibenarkan untuk melakukan kerja lebih masa sesuka hati. Apa yang lebih menarik sistem pembayaran gaji mereka juga mengikut waktu yang telah ditetapkan dan setiap daripada penyamun ini akan menerima gaji selepas menandatangani pernyata yang diberikan oleh Chief. Ternyata urusan kewangan berjalan dengan teratur dan cukup berperaturan. Penyamun dibenarkan untuk membuat pinjaman, namun potongan gaji akan dikenakan setiap bulan seperti yang terjadi kepada Sarjan yang hanya menerima gaji berjumlah 30 Dirham walaupun penyamun lain menerima 150 Dirham. Ini kerana Sarjan telah membuat pinjaman dan potongan gaji telah dilaksanakan terhadap gajinya.

Lebih menggelikan hati dan membuatkan kita terfikir adakah P.Ramlee sedang menyentuh perihal sebuah Kerajaan ialah apabila Chief menerangkan mengenai peraturan waktu bekerja yang baru kepada Sarjan.

"Sekarang kita sudah pakai undang-undang baru. Satu hari lapan jam kerja. Hari Sabtu setengah hari, hari minggu holiday. Faham?"

Lebih menarik, semasa hari gaji yang jatuh pada hujung minggu, 40 penyamun akan keluar bersuka ria dan semasa ini kita dapat melhat mereka memakai pelbagai jenis pakaian yang melambangkan pelbagai jenis latar belakang masyarakat. Ini menunjukkan kepelbagaian dalam keanggotaan 40 penyamun itu. Kumpulan 40 penyamun ini pula sering dihubungi oleh orang-orang kaya yang meminta bantuan untuk merompak rumah mereka bagi membolehkan mereka lari daripada membayar hutang (dialog sebenarnya lari dari bayar income tax, perhatikan gerak bibir Sharif Dol dan P.Ramlee) dan seorang lagi orang kaya meminta agar 40 penyamun menculiknya kerana tidak tahan dengan perangai isteri yang suka meminta dibelikan barangan sama seperti apa yang jiran-jirannya peroleh. Kumpulan 40 penyamun ini dilihat menjadi tempat aduan umum, khususnya golongan kaya.



P.Ramlee juga seolah-olah cuba menunjukkan Kumpulan 40 Penyamun ini turut terlibat di dalam urusan ekonomi melalui jawapan Chief apabila ditanya tentang perniagaan yang dijalankan oleh kekasihnya.

"Kanda meniaga import. Kanda tak pernah eksport. Lain orang eksport. Kanda Import."

Secara nyatanya, import bemaksud membawa sesuatu barang atau perkhdimatan itu masuk ke dalam negara dan memang benar, 40 penyamun menjalankan perniagaan import kerana mereka membawa masuk barang ke dalam gua persembunyian mereka. Semasa 40 penyamun berjaya menangkap Kasim Baba yang sedang leka mencuri di dalam gua, Chief telah memanggil salah seorang penyamun yang berpakaian seperti hakim dan menanyakan tentang hukuman yang sesuai dijatuhkan terhadap Kasim Baba. Nampaknya 40 penyamun ini turut memiliki sistem kehakimannya sendiri. Hakim berkenaan dengan yakin menjatuhkan hukuman bunuh walaupun perbicaraan tidak langsung dijalankan. Mereka juga turut mengumumkan cuti umum khas sempena menghormati kematian Kasim Baba dan ini dilakukan selaras dengan permintaan terakhir Kasim Baba.



Di dalam filem ini juga ada terdapat watak lelaki Cina yang dikenali sebagai Apek. Lelaki ini yang telah membantu menjahit mayat Kasim Baba dan peniaga ini ketika berbual dengan Sarjan kelihatan cukup gembira dan berbangga mendapat kerakyatan di Kota Baghdad. Apabila ditanya dia menjawab sudah 80 tahun tinggal di negeri ini namun umurnya baru 50 tahun. Tetapi menurut Apek bapanya telah tinggal di sini sudah 30 tahun jadi menunjukkan dan merasakan dirinya ialah sebahagian daripada negeri ini. Dia juga menganggap dirinya memiliki hak yang sama dengan warga tempatan lain di negeri ini ketika meleraikan pengeseran di antara pelanggan (warga tempatan) di hadapan kedai kasut miliknya.

"Tak usah gaduh. Gua pun local citizenship."

Sebelum dan selepas mencapai kemerdekaan, isu kerakyatan jus soli menjadi isu penting dan P.Ramlee menonjolkan isu berkenaan di dalam filem ini dengan cukup cemerlang. Beliau meletakkan bagaimana seorang Cina yang telah lama menetap kelihatan telah menyesuaikan diri dengan masyarakat setempat sehingga dapat membuka perniagaan sendiri.  


Pada babak penghujung filem ini Chief menyamar sebagai saudagar yang sudah bertaubat dan berpura-pura menjadi saudagar minyak. Namun niatnya untuk mengahacurkan keluarga Ali Baba. Sebagai seorang yang telah bertaubat Chief mengenakan jubah dan berkopiah. Penyamaran sebegini adalah berkesam kerana manusia akan tersentuh hati jika pakaian yang dipakai itu terkait dengan soal agama. Ketika berpelukan dapat dilihat bahagian belakang badan Ali Baba menghadap kamera dan Chief memperlihatkan mukanya yang jahat. Ini sebenarnya memberikan petanda bahawa sesuatu yang buruk bakal berlaku kepada belakang badan. Ternyata permainan petanda seperti itu amat menarik di dalam filem ini dan yang menjadi mangsa tikaman belakang badan ialah Chief yang ditusuk pisau oleh Marjina. Tikaman dari belakang oleh Marjina juga memberikan maksud sebenar bidalan 'tikam belakang' yang sering disebut orang. Chief yang cuba menikam belakang telah berjaya ditikam terlebih dahulu.


Inilah yang dimaksudkan dengan parodi kehidupan P.Ramlee meletakkan kehidupan kita seolah-olah ditadbir oleh 40 penyamun. Manakala 40 penyamun ini pula diandaikan seperti sebuah kerajaan. Memiliki disiplin dan organisasi yang elok, menyusun pergerakan dengan baik dan memiliki aturan pentadbiran yang sistematik walaupun hakikatnya penyamun, persis sebuah kerajaan yang dapat kita lihat di mana-mana di seluruh dunia pada hari ini. Parodi sebegini merupakan satu parodi yang bijak. Sindiran dan kritikan yang dikeluarkan memerlukan proses penghadaman yang bersesuaian untuk kita fahami maksud dan tujuannya. Ali Baba Bujang Lapok berada pada kelasnya yang tersendiri. 


9 Pulau Eksotik Pilihan Pelancong Asing Di Malaysia

1. PULAU MABUL

Bolehlah dikatakan, Pulau Mabul adalah satu lokasi wajib pergi walaupun sekali dalam seumur hidup. Ia merupakan syurga yang membawa anda menyelami kehidupan Bajau Laut sejurus sahaja bertolak dari jeti Semporna. Gah dek kecantikannya, Mabul bukan sahaja telah menjadi terkenal kerana kedudukannya yang berhampiran Sipadan, bahkan menjadi tumpuan para penyelam dari seluruh negara yang tidak yang melepaskan peluang untuk melihat batu karang terbaik di dunia. Pulau Mabul juga menjadi persinggahan buat mereka yang ingin ke Pulau Sipadan tiada resort dibuka di sana. Hanya 120 orang sahaja yang dibenarkan melawat Pulau Sipadan dalam masa sehari. Ia adalah sebagai satu usaha untuk menjaga dan memelihara kecantikan pulau tersebut. Lokasi inapan ialah Mabul Beach Resort, Scuba Jeti Sipadan, Sipadan Water Village, Seaventures Big Resort, Mabul Water Bungalow Resort, Mabul Resort dan Divers Mabul Resort.

    

2. PULAU RAWA

Merupakan pulau terumbu karang yang terletak di sebelah Pantai Timur Johor, iaitu 16 kn dengan menaiki bot dari jeti Mersing. Pulau ini tidak terlalu besar tetapi menawarkan kawasan pantai yang bersih dan air laut yang berwarna kebiruan. Jika berhajat datang ke sini, saya mencadangkan menginap di Rawa Island Resort yang menyediakan kemudahan lengkap seperti berkayak dan aktiviti snorkeling. Saksikan juga pelbagai kehidupan marin dalam air yang dapat dilihat dengan begitu banyak di sini.

  

3. PULAU MAMUTIK

Pulau Mamutik terletak di Kota Kinabalu, kira-kira setengah jam perjalanan dari Jesselton Point (dahulunya Terminal Feri Lembaga Pelabuhan Sabah). Pulau Mamutik memiliki beberapa tarikan lain di Taman Laut Tunku Abdul Rahman seperti Pulau Gaya, Pulau Sapi, Pulau Manukan dan Pulau Sulug. Sewa yang dikenakan bagi setiap bot yang mampu memuatkan kira-kira empat hingga enam orang adalah antara RM100 dan RM200. Pulau Mamutik sering dianggap kurang popular berbanding Pulau Sapi dan Pulau Manukan di kalangan pelancong dek kerana kekurangan prasarana. Pun begitu, ia adalah lokasi yang lebih ideal buat mereka yang ingin  bersantai dengan kurang kelibat manusia di sekeliling. Kafe-kafe kecil yang terdapat di sini juga pasti mampu memberikan kelainan buat anda untuk merasai makanan BBQ laut yang segar berlatarkan keindahan pulau.


4. PULAU PERHENTIAN BESAR

Semestinya memiliki saiz lebih besar daripada Pulau Perhentian Kecil, Perhentian Besaradalah lokasi sesuai untuk menatap keindahan lautan sekeliling sambil membaca novel, berjemur atau sekadar menikmati makanan ringan tepi pantai. Ia menawarkan bukan sekadar pakej snorkeling, malah aktiviti merentas hutan turut disediakan. Penginapan yang disediakan di sini juga lebih banyak berbanding dengan apa yang ditawarkan di Perhentian Kecil. Antara yang boleh dipilih adalah Perhentian Island Resort, Bubbles Dive Resort, Tuna Bay Island Resort, Coral View Resort, Arwana Eco Resort dan banyak lagi.


5. PULAU SUSU DARA, SERINGGI (PERHENTIAN KECIL) 

Kebiasaanya, mereka yang menginap di Pulau Perhentian pasti tidak akan melepaskan peluang untuk bersnorkelingdi Pulau Susu Dara. Terletak berhampiran dengan pulau ikoik perlancongan negeri Terengganu, pulau ini terdiri daripada beberapa gugusan pulau kecil iaitu Pulau Susu Dara, Pulau Susu Dara Kecil dan Pulau Tokong. Perairan birunya cukup jernih sehingga anda mampu melihat ke dasar lautan, kelibat ikan-ikan bermain serta keindahan batu karang yang berwarna-warni. Justeru, maka tidak haianlah jika lokasi ini sering menjadi port tumpuan snorkeling dan selam skuba.

Buat sesetengah pelancong, pastinya Pulau Seringgi (juga dikenali dengan nama Pulau Serenggeh) jarang sekali kita dengar. Pun begitu, buat agensi perlancongan, Pulau Seringgi pasti anda diselitkan dalam pakej satu hari bersnorkeling di pulau ini dan Pulau Rawa. Seperti Pulau Susu Dara, ia merupakan syurga buat para pencinta lautan untuk menghabiskan masa pecutian indah mereka di Pulau Perhentian. Pada kebiasaannya, aktiviti di Pulau Seringgi diadakan pada waktu pagi sebelum bergerak ke lokasi snorkeling yang seterusnya. Buat mereka yang ingin menanam minat snorkeling di kalangan anak-anak, di sinilah lokasi yang sesuai kerana pasti dengan kemunculan ikan Nemo bakal mencari tumpuan mereka untuk bersnorkeling di sini.

Lokasi Selera iaitu terdapat beberapa pilihan lokasi selera buat anda pilih. Kebanyakannya terletak di Coral Bay seperti Ewan's Cafe, Matahari Restoran, Shari La, Senja, Eat Maya,Amelia Cafe, Coral Bay dan Mama Kitchen atau anda boleh memilih untuk berbabeku bersama teman-teman.

Lokasi Inapan ialah Matahari Chalet, Mira Chalet, Moonlight Chalet, Petani Beach Chalet, Rajawali Island Resort, Tanjung Langan Chalet, Simfoni Chalet, Cempaka Chalet, Coral Bay Chalet, DJ Chalet, D'Laggon Chalet, East West Chalet, Impaini Tropical Resort, Long Beach Inn, Senja Bay Resort, Oh La La Chalet, Mohsin Chalets Aur Beach Chalet, Bubu Long Beach Resort dan Butterfly Resort. 


6. PULAU LAYANG-LAYANG

Pulau buatan manusia yang dianggap syurga buat para penyelam skuba. Terletak kira-kira 300km di sebelah barat laut Kota Kinabalu. Pulau Layang-Layang bukan pulau tropika yang dipenuhi pokok-pook seperti pulau lain. Asalnya ia adalah pangkalan marin yang kini dibuka untuk para pelancong melakukan aktiviti selam skuba. Tiada pokok kelapa, pasir memutih atau pepohon rendang di sini. Namun, di sekeliling anda adalah air laut berwarna biru kehijauan yang sungguh cantik. Semestinya ia merupakan destinasi impian buat kaki selam kerana terdapat 12 lokasi menyelam di sekeliling pulau.


7. PULAU SAPI

Merupakan salah sebuah pulau di antara lima buah pulau di Taman Marin Tunku Abdul Rahman, kira-kira 15 minit menaiki bot dari Kota Kinabalu. Dikatakan sebagai antara pulau tercantik di Sabah. Anda boleh datang ke sini sama ada dari jeti Jesselton atau Sutera Harbour. Saya mencadangkan supaya anda menempah pakej lawatan sehari ke sini untuk mani-manda di air lautnya yang jernih dan berwarna kebiruan. Pakej setengah hari di sini biasanya menawarkan sekali sesi makan tengahari jadi ia lebih memudahkan. 


8. PULAU GEMIA

Pulau berbatu yang terletak hanya beberapa ratus meter dari Pulau Kapas di Terengganu. Amat sesuai untuk anda yang datang berblan madu atau bersama teman rapat untuk melihat keindahan lautan untuk sekelilingnya. Berbanding Pulau Kapas, lokasi ini agak tersembunyi dan sesuai untuk mereka yang tidak gemar kawasan pulau yang padat dengan manusia. Hanya terdapat satu resort di sini iaitu Gem Island Resort. Kebanyakan bilik di sini menyediakan ruang balkoni yang memaparkan permandangan laut yang indah. Anda mesti cuba sesi rawatan spa di sini yang cukup terkenal di kalangan pelancong serta aktiviti kayak dan snorkelingkeliling Pulau Gemia. 


9. PULAU TENGGOL

Pulau Tenggol terletak di 14 batu nautika di luar pantai perkampungan nelayan yang tenang di Kuala Dungun, Terengganu. Untuk ke sini, perjalanan mengambil masa kira-kira sejam dari Jeti Kuala Dungun. Terkenal di selatan Taman Laut Terengganu, Pulau Tenggol memperlihatkan beberapa lokasi snorkeling dan selam skuba yang menarik seperti Pulau Nyireh, Tokong Timur, Tokong Burung dan Tokong Talang dan Tokong Laut. Pulau ini turut menyediakan kemudahan buat para tetamunya untuk menjalankan aktiviti snorkeling, menyelam skuba, merentas hutan atau bersantai berhamparkan hanya berjemur pantai pasir putih di bawah sinaran matahari. Tenggol Island Beach Resort dan Tenggol Island Beach Resort & Spa merupakan dua resort yang beroperasi di sini.

Info Menarik ialah Pulau Tenggol menjadi laluan migrasi jerung paus yang biasanya bermula dari Ogos hingga Oktober setiap tahun. Ia dinanti-nantikan oleh para penyelam kerana tidak banyak tempat di dunia di mana jerung paus tinggal lebih lama di satu tempat yang tertentu.    




Sinopsis Dan Pengajaran Filem Seniman Bujang Lapok








MALAY FILM PRODUCTION LTD. 
MEMPERSEMBAHKAN AZIZ SATTAR S.SHAMSUDDIN P.RAMLEE SENIMAN BUJANG LAPOK (THE NITWIT MOVIE STAR) SALOMA SHARIFF DOL AHMAD NISFU LENG HUSSAIN KEMAT HASSAN M.RAFEE BABJAN ZAINON FIJI IBRAHIM HASSAN MOHD ZAIN H.M.BUSRA AHMAD.C AINI JASMIN JUNE HARTINAH ZAINUDDIN NYONG ISMAIL
PELAKON UNDANGAN: AHMAD MAHMOOD HASHIMAH YON S.KADARISMAN DAYANG SOFIA KUSWADINATA K.FATIMAH MUSTARJO MARIAM SRI RAHAYU
JALAN CERITA: H.M.ROHAIZAD
JALAN BAHASA: ROHAILEE
LAGU: MENCECEH BUJANG LAPOK, GELORA, SENANDUNG KASEH CIPTAAN P.RAMLEE
EMBON MENITIK: CIPTAAN ALLAHYARHAM AHMAD PATEK
GURINDAM: S.SUDARMARJI
ARRAGEMENTS: P.RAMLEE
ORKESTRA: P.RAMLEE ORKESTRA
PENYANYI-PENYANYI: SALOMA P.RAMLEE AZIZ SATTAR S.SHAMSUDDIN DAN PANCHA SITARA
TEKNIK FOTOGRAFI: A.BAKAR.ALI
RAKAMAN SUARA: KAMAL MUSTAFA
EDITING; H.R.NARAYANA
DIRECTOR: MUSTAFA YASSIN
RAKAMAN AKHIR: KAM SHIN BOON
LABORATORIAN: CHOW CHENG KOK
PEMBANTU-PEMBANTU TERAJU: S.SUDARMARJI
KAMERA: YA'AKOB MAHMOOD
RAKAMAN: AHMAD SURADI
EDITING: LEE THIAM YIAK
MUSIC: KASSIM MASDORE
CONTINUITY: KASSIM MASDORE
STUDIO MANAGER: KWEK CHIP JIAN
TERAJU UTAMA: P.RAMLEE

Tahun Diedarkan: 1961 (Julai)
Masa Tayangan: 1 Jam 45 Minit

RINGKASAN CERITA

Tiga Bujang Lapok (Ramlee, Sudin dan Aziz) menganggur dan ketika sedang minum di sebuah gerai datang lori promosi filem "Panji Semerang" (dengan iringan muzik filem "Bridge On The River Kwai") berhampiran gerai tempat mereka minum. Ketika lori tersebut berhenti kerana tayar meletup dan pancit Sudin mengambil kesempatan bertanya dengan mereka yang bertugas di mana boleh mereka bermohon untuk menjadi orang wayang atau pelakon filem. Sudin diberitahu pergi ke Jalan Ampas. Dengan tidak berlengah lagi mereka menaiki beca pergi ke Jalan Ampas. Mereka bertiga hampir putus asa kerana telatah-telatah yang ditunjukkan oleh beberapa orang petugas di situ dan juga sikap mereka. Bagaimanapun setelah ditegur oleh Jaga katanya: "Oii.. panggil orang macam tak ada nama." Barulah mereka bersemangat kembali dan Jaga tersebut mencadangkan mereka pergi menemui Manager Kemat Hassan.

Pemohonan Ramlee, Sudin dan Aziz untuk menjadi bintang filem telah dicemuh oleh Ali Fiji yang kebetulan berada di situ. Katanya: "Ini macam punya muka mahu jadi  'film star', ka...." Tetapi cemuhan tersebut telah dibalas oleh Jaga. Bidasnya: "Lu pun satu la....., bu orang minta kerja lu macam-macam cakap. Apa macam lu punya banga mahu maju." Manager Kemat Hassan mengarahkan Pengarah Ahmad Nisfu jalankan 'screen test' terhadap mereka bertiga yang pada ketika itu sedang mengarahkan satu adegan lakonan S.Kadarisman dan Hashimah Yon. Dan disebabkan tidak tahu peraturan penggambaran filem keadaan semasa penggambaran menjadi kecoh apabila Sudin bertindak memarahkan S.Kadarisman kerana mahu memancung Hashimah Yon kerana makanan yang mahu dimakannya tidak ditaruh belacan. Perbuatan Sudin dan juga Aiz yang masuk campur kemudian membuatkan Pengarah Ahmad Nisfu naik marah dan menghalau mereka keluar. Bagaimanapun Ahmad C. memberitahu Pengarah Ahmad Nisfu mereka datang untuk menjalankan 'screen test' atas arahan Manager Kemat Hassan.

Sungguhpun, 'screen test' dijalankan boleh membuatkan Pengarah Ahmad Nisfu jadi gila lain yang disuruh lain yang dibuat. Namun mereka berjaya menambat hati Manager Kemat Hassan dan dengan itu jadilah mereka anak wayang dan digelar "Seniman Bujang Lapok". Sementara itu, di rumah tempat mereka menyewa Ramlee sedang berkasih-kasihan dengan Salmah yang bekerja sebagai jururawat yang juga dicintai oleh Shariff Dol yang seringkali mengusiknya. Dalam pada itu, mereka sering terganggu ketika menghafal skrip. Ada penyewa beristeri dua tidak bertimbang rasa dengan membuka radio kuat-kuat dan kemudian bergaduh pula dengan isteri pertamanya. Aa pula penyewa menghidupkan enjin motorsikalnya dengan bunyi yang membisingkan suasana. Ada pula penyewa berlatih meniup trompet dengan kuat hingga memekakkan jiran-jiran sebelah yang mana semuanya itu terpaksa diselesaikan oleh Ramlee, Sudin dan Aziz dengan cara baik mahupun kekerasan.

Ketika membuat penggambaran filem "Bujang Lapok Dalam Negeri Baghdad" Ramlee, Sudin dan Aziz terus datang membuatkan Pengarah Ahmad Nisfu naik berang kerana membuat macam-macam kesalahan hingga menyebabkan dia diserang sakit jantung hingga terpaksa dirawat di hospital. Wajah Ramlee, Sudin dan Aziz sangat-sangat menghantuinya hinggakan ketika mereka datang ke hospital melawatnya (bila terpandang saja wajah mereka) Pengarah Ahmad Nisfu pengsan semula. Apabila pulang ke rumah didapati oleh mereka Salmah bersedih yang menyebabkan Ramlee runsing. Rupa-rupanya kesedihan itu disebabkan ada orang datang meminangnya untuk samseng Kampung Dusun - Shariff Dol yang selama ini sering mengganggu Salmah. Kerana marahkan Ramlee membuat pertemuan dengan Salmah, Shariff memberi amaran kepada Ramlee katanya: "Aku akan pecahkan muka kau." Cabar mencabar berlaku yang mana akhirnya mereka bergaduh yang mana Ramlee tewas dan jatuh pengsan. Selepas itu, Shariff dan ibunya datang meminang Salmah dan telah dipersetujui ibu Salmah.

Ramlee masih mahu berusaha merebut Salmah daripada tangan Shariff Dol tetapi dia perlukan 200 ringgit untuk tujuan tersebut. Untuk menolong Ramlee, Sudin (dengan menggunakan batu akik yang yang kononnya hikmat) pergi bertemu dengan Manager Kemat Hassan untuk meminjam wang. bagaimana pun setelah bertemu dengan manager tersebut Sudin hanya memperoleh 5 ringgit sahaja. Salmah terus-terang menyatakan kepada ibunya dia tidak mahu berkahwin dengan Shariff yang dianggap oleh ibunya orang kaya. Setelah Salmah menerangkan keadaan sebenar yang Shariff selama ini sering mengacaunya, ibu salmah marah lalu dia memulangkan gambar dan wang yang diterimanya sebagai tanda putus tunang. Shariff marah dan memberi amaran katanya: "Jangan menyesal" Kemudian Ramlee dan Salmah merancang untuk berkahwin dengan menggunakan wang 800 ringgit kepunyaan Salmah untuk masuk meminang. Tetapi malangnya, apabila Ramlee dan Salmah pulang mereka dapati rumah sewa tempat mereka menginap terbakar dan menurut Salmah pembakaran tersebut dilakukan oleh Shariff yang marah kerana Salmah memutuskan pertunangan dengannya.

Ketika Ramlee sedang mengenangkan nasib badannya, dia terjumpa dompet kepunyaan Shariff lantas Ramlee pergi ke Kampung Dusun bertemu Shariff untuk membuat perhitungan. Di rumahnya, Shariff Samseng sedang berjudi dan mengaku membakar rumah sewa mereka tetapi dia tidak takut kerana tidak ada bukti untuk membawanya ke balai polis. Pergaduhan antara Ramlee dan Shariff berlaku dan oleh kerana tidak tahan dengan penangan Ramlee di samping menunjukkan dompetnya yang tercicir akhirnya Shariff Dol rela dirinya diserahkan kepada polis. Ramlee dan Salmah dapat juga berkahwin kerana wang Salmah tidak menjadi korban api disebabkan sebelum kejadian berlaku ibu Salmah telah memasukkannya ke dalam pejabat pos. Bagi Aziz dia tidak kecewa kerana mata airnya - Dayang Sofia, datang memanggilnya manakala Sudin pula didatangi tunangnya - Zaiton. Ayu (adik Zaiton) tetap dengan perangai lamanya membuat tuntutan 20 sen daripada Sudin sebagai menutup rahsia.

PENGAJARAN

Seniman Bujang Lapok (1961) terhasil selepas beberapa tahun Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957. Terdapat dua perkara yang cuba ditonjolkan dalam babak pembukaan filem ini. Pertama, syot sulung untuk filem ialah patung Stamford Raffles yang boleh ditafsirkan sebagai mewakili perjajahan kuasa asing dan seterusnya beberapa syot poster-poster gergasi di pawagam-pawagam utama di Singapura yang memaparkan filem-filem asing. Ini menunjukkan bahawa walaupun negara sudah merdeka, tapi pemikiran asing tetap wujud dan mempengaruhi masyarakat.

Keduanya ialah filem-filem asing mendapat tempat dan promosi utama di pawagam-pawagam besar. Sedangkan pula filem-filem tempatan terpaksa melakukan promosi secara kendiri dengan membawakan filem mereka menggunakan kereta buruk yang tayarnya pancit. Lebih menarik, Panji Semerang (juga dikeluarkan pada 1961) merupakan filem terbitan Shaw Brothers tetapi terpaksa dipromosikan dengan cara seolah-olah ia sebuah wayang pacak. Walhal filem-filem asing (di dalam babak berkenaan dipaparkan poster gergasi filem The Great Imposter dan Cimarron) mendapat tempat utama di pawagam-pawagam milik Shaw Brothers.



P.Ramlee telah menyindir Shaw Brothers secara terbuka tanpa disedari. Jelas sekali babak pembukaan filem ini memberikan gambaran penuh mengenai apa yang mahu ditonjolkan P.Ramlee di dalam Seniman Bujang Lapok. Filem sinikal tentang nasib industri filem Melayu yang dikawal kuasa asing dan dijadikan medan mengaut untung yang menindas pekerja-pekerja filem. Hal tentang sindiran terhadap nasib filem Melayu ini turut disentuh oleh Amir Muhammad dalam bukunya 120 Malay Movies (Matahari Books, Julai 2010).  

Selain daripada menyindir Shaw Brothers, babak pembukaan ini juga merupakan satu sindiran kepada penonton filem Melayu. Ini kerana semasa kereta yang melakukan kerja-kerja promosi filem Panji Semerang melalui kawasan bandar, tidak ada penduduk bandar yang tertarik dengan kereta dan promosi berkenaan. Tetapi apabila kereta berkenaan memasuki kawasan kampung, kelibatan penduduk kampung memberikan sambutan hangat kepada promosi filem berkenaan. P.Ramlee menonjolkan di sini bahawa masyarakat bandar lebih gemar memberi perhatian kepada filem-filem Barat, manakala filem-filem tempatan mendapat sambutan hangat dalam kalangan masyarakat di kampung. Filem tempatan boleh meletup di kampung seperti meletup dengan kuatnya tayar kereta yang membuat promosi filem Panji Semerang itu.



"Apa encik-encik ini semua kontrak muzik orang mati kah?"

Cukup tajam persoalan yang dibangkitkan Sudin apabila dia tidak menyedari yan lori pancit tayar itu sedang melakukan kerja-kerja promosi sebuah filem Melayu.

Di dalam Seniman Bujang Lapok, beberapa kali P.Ramlee merujuk kepada golongan asing yang mengawal industri filem Melayu. Khususnya tentang pengaruh Shaw Brothers. Misalnya, ketika babak Salmah cuba menghulurkan wang kepada Ramlee, Ramlee menolaknya.

"Tak payah saya bilang, bapa saya baru kirim dari Hong Kong."



Babak Ramlee, Aziz, dan Sudin menaiki beca dan dikenakan caj 30 sen juga sebenarnya menyindir Shaw Brothers. Pada sekitar tahun 1960an sudah wujud krisis dan pergeseran di antara tenaga kerja di Shaw Brothers termasuk para pelakon dan krew dengan pihak pengurusan studio. Pergeseran ini terjadi akibat masalah pembayaran gaji yang disifatkan oleh tenaga kerja sebagai tidak mencukupi dan rendah, berbanding dengan jumlah filem yang perlu mereka hasilkan. Dialog menunjukkan yang mengikut perjanjian, Bujang Lapok perlu membayar kepada tukang beca sebanyak 30 sen tetapi mereka hanya membayar sebanyak 25 sen dan tidak sepadan dengan kepayahan tukang beca mengayuh. Ini sama dengan situasi menindasan pengurusan studio yang dirasakan oleh tenaga kerja di studio. Dialog yang paling mencengkam ialah apabila tukang beca menyebut terpaksa membikin union (kesatuan sekerja) jika ada ramai lagi pelanggan seperti ini (yang tidak mahu membayar tambang secukupnya). Ini menggambarkan bahawa tenaga kerja di studio akan melakukan protes jika penindasan (soal pembayaran gaji) masih berlaku.

Penindasan terhadap pekerja filem dipaparkan di dalam dua babak. Pertama semasa Manager Kemat Hassan memarahi pekerja melalui telefon untuk membawa pulang lori yang pancit tayar.

"Hello. Ha? Okay. Kau bawa balik lori tu sekarang juga! Ya sekarang juga! Kalau lori tu tak boleh jalan, kau pikullah!"

Kedua apabila Manager Kemat Hassan memarahi pekerja juga melalui telefon kerana pekerja berkenaan tidak datang kerja.

"Hey! kau ini apa ha? Kau nak keja ka nak main-main? Semalam kau bilang kau sakit gigi, ini hari kau bilang kau sakit perut. Jangan-jangan esok kau sakit nak mampus pula!"

"Apa boleh buat tuan, saya demam. Bukannya saya panggil itu demam tuan ya."

"Haa! Kau ini memang ada-ada sahajalah. Kepala otak kau berjambul!"

(ketukan pintu)

"Masuk!"

"Tuan, telefon ini kecil, macam mana saya nak masuk tuan."

"Hey! Aku bukan cakap dengan kaulah. Takkan aku nak suruh kau masuk dalam telefon ini. Kau ingat aku nak mampus macam kau ke? Bodoh! Jikalau esok kau tak datang kerja, aku sack sama kau!"

Lebih memberikan nilai ialah Bujang Lapok hanya masuk ke pejabat Manager Kemat Hassan sebanyak dua kali sahaja di dalam filem ini dan kedua-duanya dimulakan dengan babak Manager Kemat Hassan memarahi pekerja studio melalui telefon.

Semasa Ramlee, Aziz dan Sudin sampai di Malay Film Poduction (studio milik Shaw Brothes) untuk mencuba nasib menjadi pelakon filem, ketiga-tiga mereka ternampak satu tajuk filem yang dipapakan pada papan kenyataan di luar pagar studio. Tajuk filem itu ialah 'Yatim Tua dan Setan Angkat Dulang'. Dipercayai P.Ramlee menyindir filem-filem keluaran syarikat pesaing Shaw Brothers waktu itu iaitu Cathay Keris. Pada tahun 1961, Cathay Keris juga mengeluarkan dua filem iaitu Yatim Mustapha (diarahkan oleh BN Rao) dan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang diarahkan oleh KM Basker).

Babak kemudiannya pula kita diperlihatkan bahawa pengarah yang mengarangkan filem 'Yatim Tua dan Setan Angkat Dulang' ini ialah Director Ahmad Nisfu. Pemilihan Ahmad Nisfu juga mempunyai kaitan dan sindiran. Wajah Ahmad Nisfu yang kelihatan iras seorang asal India adalah parodi kepada pengarah kedua-dua filem Cathay Keris tadi yang juga berasal dari India. Simbolik pengaruh India dalam filem-filem Melayu dipaparkan P.Ramlee dengan cukup bersahaja dan sinikal.

Turut dipaparkan P.Ramlee ialah campur tangan pengurusan di dalam soal kreativiti dan pemilihan pelakon oleh seseorang pengarah. Misalnya semasa screen test yang dilakukan terhadap Ramlee, Aziz dan Sudin, ternyata ketiga-tiga mereka tidak menepati kriteria yang dimahukan oleh Director Ahmad Nisfu. Namun mereka tetap diterima sebagai pelakon kerana Manager Kemat Hassan mahukan mereka.

Sindiran turut dilemparkan P.Ramlee terhadap gaya penceritaan filem-filem Melayu pada ketika itu yang kadangkala berlebih-lebihan dan menyuntik emosi yang tidak sepadan serta memiliki tema yang terlalu remeh. Ini dapat dilihat apabila Sudin menyuarakan rasa tidak puas hati disebabkan watak S.Kadarisman mahu memancung isterinya hanya kerana memasak sayur asam yang tidak dicampur belacan. Sikap pelakon juga ditonjolkan P.Ramlee di dalam filem ini misalnya watak Aziz semasa screen test dipaparkan sebagai seorang pelakon yang memiliki ciri-ciri over acting dan memilih. Ini dapat dilihat apabila dia mengubah dialog asal kepada satu peringkat yang tidak diperlukan dan sebelum itu dia memohon untuk diberikan hanya menjalani screen test sahaja. Watak Ramlee dan Sudin ketika screen test juga menunjukkan pelakon yang tidak tahu berlakon.

P.Ramlee dan sindiran terhadap golongan feudal sememangnya tidak dapat dipisahkan. Di dalam setiap filem arahan beliau, pasti akan ada babak yang menyentuh soal ini. Seniman Bujang Lapok juga tidak terkecuali.

"Hey Ramlee! Siapa kau?"

"Aku King!"

"King apa?"

"King Kong!"

"Hey Ramlee!"

"Ya"

"Kau tahu aku siapa?"

"Belum tau! Siapa kau?"

"Akulah keturunan Raja!"

"Raja mana?"

"Raja Kapur!"

"Hai Raja Kapur!"

"Ya!"

"Kenapa muka kau macam tepung gomak?"

"Hey apa dah gomak?"

Satu lagi babak yang menyentuh mengenai golongan ini boleh dikesan semasa Bujang Lapok sudah diterima sebagai pelakon dan melakonkan filem pertama mereka.

"Betapa senang beta punya hati, betalah yang digelarkan Setan Aminurrashid!"

"Cut! Bukan setan, syaitan. Sultan?"

Babak Doktor lakonan Ahmad Mahmud dalam Seniman Bujang Lapok yang merawat Direktor Ahmad Nisfu, ialah satu babak transisi penting dalam filem ini. Sebaik sahaja Direktor pengsan selepas melihat Bujang Lapok membawa bunga, Doktor terus marah kepada Bujang Lapok dan mengatakan mereka sebagai muka pembawa penyakit (sumpahan). Ini sebenarnya satu gambaran P.Ramlee terhadap bomoh dalam masyarakat Melayu. Bomoh bukan sahaja boleh mengubati, tetapi boleh memberikan sumpahan. Ternyata selepas disumpah, sebaik sahaja pulang dari klinik, Bujang Lapok malang sampai ke hujung Sharif Dol masuk meminang Salmah, Ramlee dipukul Sharif Dol, Sudin ditipu penjual batu yang kononnya hikmat dan malang paling besar bagi Bujang Lapok ialah apabila rumah yang mereka alami terbakar.

Seperkara lagi yang menarik selepas Seniman Bujang Lapok, P.Ramlee membikin Ibu Mertuaku (1962) dan seolah-olah dalam Seniman Bujang Lapok, P.Ramlee sudah memberikan gambaran awal yang Ahmad Mahmud akan memegang watak yang sama dalam Ibu Mertuaku, seorang doktor yang sombong dan memiliki kuasa mengubat dan memusnah.

Selain daripada unsur-unsur berkaitan industri perfileman Melayu, terdapat beberapa isu yang disentuh secara sepintas oleh P.Ramlee di dalam filem ini. Misalnya sikap berhutang dalam kalangan masyarakat. Ramlee, Aziz dan Sudin minum kopi di sebuah warung yang diberi nama Kedai Kita. Mentang-mentang kedai bernama Kedai Kita, lantas Ramlee,Aziz dan Sudin menjadikan kedai itu seperti milik mereka apabila beredar tanpa membayar harga kopi yang diminum. Namun, Wak yang menjaga warung berkenaan meminta mereka membayar harga kopi berkenaan.

"Nah, Wak, lain kali bila kita orang minum dekat sini, janganlah minta duit. Kira sahaja tak boleh!"

(Ketawa) "Kira sahaja ya? Ini kedai kopi kau ingat bapa kau ada kongsi dengan aku ya?"

Begitu juga dengan sikap Ramlee yang mahu berkahwin tetapi tidak ada wang. Sudin yang cuba membantu dengan meminjam daripada Manager Kemat Hassan tetapi gagal dan akhirnya Ramlee berkahwin dengan wang yang diberi pinjam oleh Salmah. Satu lagi perkara lucu yang ditonjolksn P. Ramlee mengenai masyarakat di dalam filem ini ialah paranoid yang muncul khususnya dalam kalangan orang Melayu terhadap babi. Ini dilihatkan di dalam babak semasa Ramlee sedang mengintip Salmah dan ditegur jirannya.

"Apa tu Encik Ramlee"

"Ish! Melekat dekat lampu pula. Alamak! Haa! Diam. Diam. Diam. Diam. Hmm. Ini kau ya!" (sambil menampar pipi jiran yang menegurnya)

"Apa itu Encik Ramlee?"

"Kutu Babi!"

"Kutu Babi? Allah! Batal air sembahyang saya."

Satu lagi perkara menarik di dalam filem ini ialah teguran yang dibuat P.Ramlee mengenai sikap masyarakat yang tidak berbudi bahasa. Ini ditonjolkan menerusi babak Sudin bertanya kepada seorang pengawal keselamatan, Mr singh mengenai cara-cara memohon pekerjaan di studio filem berkenaan.

"Hoi! Sini wayang gambar pusing ke? Ha? Oh! Lu pun tersampuk ka? Eh! Sudahlah mari kita balikla, sini dia orang semua banyak anginlah"

"Ini nama sahaja orang Melayu, bikin adat pun tak tahu. Orang punya dekat panggil hoi! Hoi! Hoi! Saya ini apa? Batu ke? Kayu ke?"

"Alamak Benggali itu bahasakan kita."

"Memang betul dia cakap. Kau itu mana ada bahasa, panggil orang hoi. Hoi! Hoi! Bahsa menunjukkan bangsa tau."

Selain budi bahasa, masalah berdengki, khususnya sesama bangsa juga dipaparkan. Ini apabila selesai Bujang Lapok masuk ke dalam kawasan studio, muncul seorang lelaki bertanyakan kepada Mr.Singh mengenai Bujang Lapok.

"Singh, itu tiga orang apa dia mahu?"

"Dia mahu minta kerjalah"

"Ini macam muka mahu jadi film star ka?"

"Lu pun satulah!Baru orang mau minta kerja, lu macam-macam cakap. Apa macam lu punya bangsa mau maju?"

"Alamak Singh, lu bahasa sama gua nampaknya ni Singh!"

"Bukan bahasa, lu punya nasib lu makan, dia punya nasib dia makan, apa salah lu makan sama-sama."

P.Ramlee juga mengemukakan sindiran terhadap golongan yang sering menggunakan alasan agama untuk menutup dan melindungi kepentingan diri sendiri. Ini dapat dikesan pada babak semasa Bujang Lapok cuba menenangkan pergaduhan suami isteri.

"Allah! sumpah Tina. Perempuan ini bukan aku simpan, bini aku nombor dua Tina. Bukan orang lain, madu kau juga Tina."

"Oh. Bini kau nombor dua ya? Kalau dulu aku tak mahu kahwin dengan kau nak bunuh diri. Sekarang dalam diam dah buat kira ya. Jantan tak guna! Nak mampus! Sepatutnya kau ditembak dengan senapang gajah."

"Allah! Sabar Tina. Sabar. Kita orang Islam. Menurut undang-undang Islam boleh kahwin sampai empat sayang. Ini baru dua, lagi dua nampak akan datang Tina. Entah next change ka, entah coming soon ka."

"Oh! Pasal nak berbini, ikut undang-undang Islam ya? Pasal sembahyang, puasa kenapa tak mahu ikut undang-undang Islam? Ha?"

P.Ramlee sering mengaitkan setiap babak-babak di dalam filemnya dengan baik dan ini menampakkan satu jalinan yang kemas dan menarik. Misalnya sebelum Bujang Lapok masuk ke pejabat Manager Kemat Hassan, Manager berkenaan pada ketika itu sedang memarahi pekerjanya untuk membawa lori yang pancit tayar pulang ke studio dan kita ketahui lebih awal bahawa Bujang Lapok menjadi saksi kepada insiden tayar pancit itu. Selepas telefon diletakkan, Bujang Lapok pun masuk ke berjumpa Manager Kemat Hassan.

Sebenarnya ialah semasa insiden jiran-jiran Bujang Lapok yang bising di tengah-tengah malam. Pertamanya selepas Bujang Lapok menyelesaikan masalah pergaduhan suami isteri, kelihatan watak seorang lelaki berbadan besar, lakonan H.M.Busra memasuki bilik Fatimah, watak isteri kedua dalam pergaduhan tadi. H.M.Busra mengakui dia tersalah bilik. Selepas babak itu, jalan cerita beralih ke babak lelaki yang membuat bising menggunakan motorsikalnya. Selepas itu kita kembali ke babak H.M.Busra bermain trompet dan membuat bising sehingga dikerjakan oleh Bujang Lapok. Usai mengerjakan H.M.Busra, Aziz menegur lelaki motorsikal tadi yang sedang berusaha gigh menurunkan motorsikalnya menggunakan galah. Di situ P.Ramlee menjalinkan babak berkenaan secara berselang-seli. Walaupun ditonjolkan H.M.Busra dahulu, tetapi babak seterusnya bukan melibatkan beliau, tetapi terus kepada babak lelaki motorsikal berkenaan, dan selepas lelaki motorsikal, kembali ke lelaki berbadan besar dan penutupnya kembali ke lelaki motorsikal.

Begitu juga dengan dua babak berikut ini. Pertama menunjukkan Aziz cuba memikat seorang gadis di dalam bas yang kemudian kita ketahui melalui apa yang Aziz ceritakan, gadis tersebut merupakan seorang bisu. Kedua pula Ramlee terbaring dan termenung memikirkan tiada wang untuk berkahwin. Kemudian bila mereka tidur, berlau pula dua insiden. Pertama, polis datang mencari isteri Pak Mat Tempe untuk memaklumkan Pak Mat Tempe ada di hospital kerana terlibat dalam kemalangan, namun isteri Pak Mat Tempe seorang yang pekak dan ini menyebabkan Sudin terpaksa bercakap kuat dengannya. Ini ada kaitan dengan babak Aziz di dalam bas. Kedua pula pergaduhan sepasang suami isteri India hanya gara-gara tahi anak kecil yang terkena ke muka si suami. Ini pula ada kaitan dengan babak Ramlee terbaring dan termenung.

 P.Ramlee berjaya mengikat empat babak ini sebagai satu kaitan. Pertama memberikan petanda akibat kepada Aziz yang sebelum ini memikat seorang gadis bisu dan kedua memberikan petanda akibat kepada Ramlee yang terlalu ingin berkahwin.

Seterusnya kita dapat melihat babak semasa Sudin membuang batu yang kononnya hikmat itu ke longkang dan syot ketika itu menunjukkan batu itu dibuang dan selepas itu, babak berikutnya memaparkan Sharif Dol juga dibuang kerana pertunangannya dengan Salmah telah diputuskan. Seniman Bujang Lapok juga ialah filem tentang nilai wang, 30 sen untuk tiga cawan kopi, 30 sen untuk berpuluh-puluh akhbar lama, 40 sen untuk beberapa botol kosong, 10 riggit untuk batu hikmat, 30 sen untuk menggunakan beca, 1 riggit untuk menggunakan teksi, 20 riggit untuk belanja anak-beranak dan 200 riggit untuk berkahwin.

ULASAN & KRITIKAN

Kejayaan "Bujang Lapok", "Pendekar Bujang Lapok" dan "Ali Baba Bujang Lapok" yang bukan sahaja merupakan komedi yang menghiburkan tetapi juga memberi pendapatan (kewangan) yang agak lumayan kepada MFP. Dengan itu, P.Ramlee terus diberi 'green light' untuk menyambung siri komedinya itu. Cerita filem ini dihasilkan oleh H.M.Rohaizad dengan dialog oleh RohaiLee (H.M.Rohaizad dan P.Ramlee), mengisahkan tiga bujang lapok (Ramlee, Aziz dan Sudin) terlibat pula dengan dunia perfileman. Biasanya setiap filem P.Ramlee mengandungi sindiran dan tauladan. Oleh itu, filem ini tidak lari dan ke situ juga tujuannya. Banyak perkara ditonjolkan dalam filem ini yang bukan sahaja dalam masyarakat dunia filem, filem Melayu khususnya tetapi juga manusia yang duduk di rumah sewa yang mempunyai berbagai ragam dan kerenah.

Dari segi persembahan, filem ini tetap melucukan. Peranan pelakon-pelakonnya juga tidak mengecewakan. Ramlee, Aziz dan Sudin ketika berada di tempat shooting ketika Ahmad Nisfu mengarah dengan bintang undangannya Hashimah Yon dan S.Kadarisman dibuat dengan begitu lucu sekali. Peristiwa-peristiwa di rumah sewa di mana Mohd Rafee terkejut apabila motorsikalnya terbang ke atas bumbung, dan ketika H.M.Busra diikat oleh Ramlee, Aziz dan Sudin kerana memekakkan telinga dengan tiupan trumpetnya juga sangat melucukan. Pendek kata, setiap adegan yang dikemukakan oleh P.Ramlee pasti membuat kita sebagai penonton terketawa kerana kelucuannya. Pada keseluruhan, filem ini merupakan sebuah filem komedi yang baik di samping mengandungi lagu-lagu yang menghiburkan terutama Gelora.

IRAMA & LAGU

  1.  Menceceh Bujang Lapok (P.Ramlee, Aziz Sattar, S.Shamsuddin & Pancha Sitara)
  2. Gelora (P.Ramlee & Saloma)
  3. Senandung Kaseh (P.Ramlee & Saloma)
  4. Embon Menitik (Saloma) Ciptaan & Gubahan: (Embon Menitik ciptaan Ahmad Patek) P.Ramlee. Lirik: S.Sudarmarji Muzik Iringan: P.Ramlee Orkestra
  5. Menceceh Bujang Lapok diilhamkan P.Ramlee daripada lagu begitu popular nyanyian Harry Belafonte, The Banana Boat Song (Day-0). Malah perkataan 'menceceh' terdapat juga dalam lirik lagu nyanyian Harry Belafonte itu.

FAKTA & ANGKA

  1. Filem pertama Saloma diambil berlakon sebagai heroine. Sebelumnya Saloma hanya menyanyikan lagu-lagu yang terdapat dalam filem arahan P.Ramlee seperti "Penarek Becha", "Semerah Padi", "Panca Delima" dan "Sumpah Orang Minyak".
  2. Nama Saloma yang sebenar Salmah Ismail tetapi ditukar kepada Saloma berdasarkan peranan Rita Hayworth (Salome) dalam filem "Salome" (1953) yang turut dibintangi Steward Granger. Ada juga yang kata berdasarkan "Salome, When She Dance" (1951) lakonan Yvonne De Carlo.
  3. Filem keempat dan terakhir yang mengisahkan kehidupan Bujang Lapok yang diperanankan oleh P.Ramlee, Aziz Sattar dan S.Shamsuddin. Sebelumnya "Bujang Lapok", "Pendekar Bujang Lapok" dan "Ali Baba Bujang Lapok".
  4. P.Ramlee ingin menyambungnya di MFS tetapi kerana menghadapi berbagai masalah (terutama mendatangkan Aziz Sattar dan S.Shamsuddin ke Kuala Lumpur) terpaksalah P.Ramlee mengambil A.R.Tompel dan Ibrahim Din sebagai pasangannya dalam siri komedi baru - "Do Re Mi".
  5. P.Ramlee juga merancang meneruskan siri Bujang Lapoknya ini dalam bidang luas (ShawScope) dan berwarnawarni bertajuk "Bujang Lapok Ke Hong Kong" sekiranya beliau menjdi pengarah filem di studio Shaw Brothers Hong Kong.
  6. Filem pertama P.Ramlee mengambil Ahmad Mahmood berlakon berperanan sebagai doktor.
  7. Filem ini telah dihantar ke Festival Filem Asia Pasifik Ke-9 di Korea Selatan (1962) bersama "Lubalang Daik" yang diarahkan Jamil Sulong. Bagaimanapun gagal mencapai sebarang kemenangan. Tajuk asal filem ini "Bujang Lapok Jadi Bintang".
  8. Adegan shooting di mana S.Kadarisman mahu memancung Hashimah Yon dan kemudian diganggu oleh Sudin dan Aziz diilhamkan P.Ramlee dari filem Charlie Chaplin - "A Film Of Johnnie".
  9. Menurut Aziz Sattar, pemilihan Saloma sebagai Salmah dalam filem ini diluar jangkaan. Ini kerana Rose Yatimah dan Siti Hawa Majid telah lulus 'screen test'. Oleh kerana Rose Yatimah sudah membintangi "Pendekar Bujang Lapok", tentulah Siti Hawa Majid memegang karekter tersebut. Bagaimanapun, tiba-tiba saja Saloma menjadi pilihan P.Ramlee. Siti Hawa Majid juga telah di 'screen test' untuk "Sumpah Orang Minyak" tetapi gagal. Hingga sekarang Siti Hawa Majid tidak pernah berlakon filem (ada karekter), begitu pun juga dia berjaya dalam bidang penyiaran.