PERCERAIAN BERLAKU DI MACPHERSON ROAD
Noorizan
berkahwin dengan bapa saya keana cintanya yang tidak dapat
disembunyikan, sementara bapa saya pula menerimanya kerana beliau sedang
kehausan cinta, dan beranggapan perkahwinan ini akan berkekalan.
Noorizan adalah bekas wanita yang terlatih dengan adat sopan keluarga
diraja, mungkin kerana ini bapa saya menganggap yang Noorizan adalah
wanita yang akan setia kepadanya untuk selama-lamanya.
Kami
berpindah dari Yarrow Garden Siglap, ke rumah yang baru di MacPherson
Road. Di rumah ini, bapa saya semakin terasa yang dirinya seolah-olah
terkongkong. Noorizan bertindak di luar keselesaan bapa saya. Mungkin
niatnya baik untuk menjaga "status" bapa saya sebagai seorang seniman
agung hingga dia lupa yang seniman juga perlukan kebebasan. Seniman
perlu idea yang bebas dan seniman juga tidak boleh dikongkong hingga
merosakkan daya pemikiran.
Jodoh
dan maut adalah di tangan Tuhan, tiada siapa yang dapat menghalangnya.
Begitulah apa yang berlaku di antara bapa saya dan Noorizan. Keretakan
rumah tangga bapa saya sedikit demi sedikit menjadi bertambah besar
sejak dia pulang dari satu festival filem yang berlangsung di luar
negeri. Suasana dan keadaan rumah kami sudah tidak terurus,
berbagai-bagai tuduhan berlaku. Kami anak-anak tidak turut campur, dan
saya dapat melihat bagaimana bapa saya mula tidur bersendirian,
kadang-kadang di bawah dan kadang-kadang di atas. Mereka tidak bercakap
semesra dahulu. Harapan bapa saya akhirnya hancur berkecai setelah
berlaku perkara-perkara yang di luar dugaan. Bapa saya masih bertenang
dan menjalankan tugas hariannya dengan tersenyum walaupun jiwanya
menangis.
Saya
pernah mendengar kononnya Noorizan cemburukan P.Ramlee dengan Saloma
kerana Saloma sering berganding suara dengan bapa saya ketika rakaman.
Saya tidak tahu setakat mana kebenarannya atau adakah ia sengaja
diaada-adakan. Saya dapat mengagak, mungkin bapa saya menanti kata-kata
akhir dari Noorizan, "Ceraikanlah I". Saat itu akhirnya berlaku juga
apabila Noorizan melafazkan kata-kata itu di hadapan bapa saya, dan bapa
saya terus mengambil keputusan menceraikan Noorizan dengan rela hati.
Walaupun sudah bercerai, namun mereka masih bercakap menerusi telefon,
malah setelah kami berpindah ke Kuala Lumpur, bapa sanggup memberi
peranan kepada Noorizan berlakon sebagai permaisuri Pasir Berdengong di
dalam filem Laksamana Do Re Mi, arahannya yang terakhir sebelum dia
meninggal dunia. Itu juga mungkin merupakan satu pertemuan yang terakhir
di antara mereka.
Rumah
di MacPherson Road itu telah menjadi agak tidak tenteram, dan tidak
terurus seperti dahulu. Saya juga kini agak bebas dan tidak lagi perlu
membuat kerja seperti dahulu. Apa sahaja yang saya pinta dari bapa, saya
akan dapat, lebih-lebih lagi wang saku sekolah. Pembantu kami Abang
Ngah masih bertugas sepenuhnya, dan bapa saya meletakkan sepenuh
kepercayaan kepadanya untuk menguruskan rumah dan anak-anak.
SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee
SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee
Tiada ulasan:
Catat Ulasan