IBUKU JUNAIDAH MEMBAWA PEGUAM KE JALAN AMPAS
Pada
suatu hari di sebelah tengah hari, bapa pulang dari studio. Pada kali
ini kepulangannya agak ganjil. Kebetulan nenek dan saya berada di
Singapura. Bapa berdiam diri dan nampak air mukanya kelihatan muram.
Memang ada sesuatu yang difikirkannya. Nenek terus bertanya kerana ingin
tahu apakah yang menyebabkan ayah kelihatan runsing. Dengan tegas bapa
menjawab,"Jun berada di studio bersama seorang peguam untuk mengambil
Nasir," Nenek berdiam diri dan turut bersimpati dengan bapa. Pak Cik
saya Sheikh Ali dan ibu tiri saya juga diam penuh simpati. Saya hanya
menangis, kerana tidak mahu berpisah dengan ayah dan ibu tiri saya. Saya
bertambah takut kerana saya tidak begitu mesra dan rapat dengan ibu
kandung saya Junaidah. Keadaan itu tidak dapat dielakkan kerana
perpisahan antara ibu dan bapa terjadi semasa saya terlalu kecil dan
ngsung tidak berkesempatan mengenali ibu. Saya tidak dapat membayangkan
bagaimana kalau saya dibawa ke Indonesia. Saya tidak mempunyai sesiapa
di sana dan tentu sekali suasananya agak berlainan. Hati saya semakin
sedih bercampur takut. Saya memeluk nenek saya, dan nenek cuba
mententeramkan saya, sambil memeluk saya, sempat dia memujuk agar jangan
takut dan jangan menangis, semuanya adalah takdir, katanya.
Ayah
saya berdiri di hadapan ibunya dan berkata," Kalau ini semua adalah
takdir, maka dengan rela hati Ram lepaskan Nasir, Ram tidak akan melawan
takdir," Walaupun ketika itu saya masih kecil, tetapi saya masih ingat
dan terbayang suasana sedih bercampur takut. Akhirnya saya dibawa oleh
ayah ke Jalan Amoas. Dengan menaiki keretanya yang dipandunya sendiri,
kami terus ke studio. Di dalam keretabapa bertanya saya,"Kalau orang itu
tanya, Nasir nak ikut Jun atau bapa, Nasir nak jawap apa?" Saya
jawab,"Tak tahu, tapi saya tak mahu ikut Jun." Bapa tersenyum puas.
Apabila kereta sampai di persimpangan Jalan Ampas di Balestier Road,
bapa memberhentikan keretanya. Kami keluar dan bapa memimpin tangan
sayamembawa ke studio Jalan Ampas. Kata-kata bapa itu diulang
berkali-kali sehingga sampai di sebuah kedai kopi berhadapan dengan
studio No 8, (Mungkin kedai kopi Lam atau kedai kopi Siput saya tak
ingat).
Setibanya
di kedai itu, ayah terus masuk ke pintu stusio. Saya ditinggalkan di
kedai kopi itu. Dengan tidak disangka-sangka rupanya ibu saya Junaidah
memang sudah menanti kedatangan saya. Dengan pantas dia memeluk dan
terus menangis, sambil dia memperkenalkan dirinya dengan berkata, "Ini
emak, emak kandung kau sendiri Junaidah. Emak sangat rindu pada kau,"
Hati saya tidak dapat menerima keadaan itu, kerana saya tidak pernah
berpeluang, mengenali dan mendampinginya.
Saya
lihat seorang berbangsa India ada bersama, dan saya diajukan soalan
yang sama dengan apa yang ayah sebutkan sebelumnya. Saya tetap dengan
jawapan yang saya berikan kepada ayah. Saya tidak mahu mengikut ibu.
Setelah berkali-kali dipujuk ibu dan peguam India itu, saya tetap dengan
pendirian saya. Akhirnya mereka gagal untuk mendapatkan persetujuan
saya. Ramai yang menyaksikan kejadian itu.
Akhirnya
saya meminta diri untuk pergi bertemu ayah di dalam studio. Ibu dan
peguam serta beberapa orang di studio hanya memandang ke arah saya.
Airmata ibu kelihatan berlinang dan dia tidak dapat menahan sebak
hatinya. Saya dibawa oleh seorang Benggali penjaga studio menuju ke
bilik ayah. Dia sedang menanti kedatangan saya. Bermula dari saat
itulah, ibu saya Junaidah tidak lagi datang untuk bertemu atau mahu
mengambil saya, dan saya berasa lega dapat hidup seperti biasa dan
kembali ke Pulau Pinang. Tidak lama selepas itu, saya berpindah balik ke
Singapura dan hidup bersama ayah dan ibu tiri saya. Saya sedikitpun
tidak merasa kesal atau terkilan, kerana usia saya masih muda dan belum
kenal erti hidup sebenarnya.
SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee
Tiada ulasan:
Catat Ulasan