TETAMU YANG TIDAK DIUNDANG
Setelah
bapa saya bercerai dengan Nooizan, dia semakin ligat dengan
kerja-kerjanya dan sering pulang lewat malam. Setelah 'shooting', dia
masih boleh bersembang dan berseronok-seronok dengan krew unitnya dan
kadang-kadang berlatih dengan kumpulannya, Panca Sitara. Kami di rumah
juga menjadi semakin bebas, seperti kata peribahasa "Kucing tiada, tikus
bermaharajalela." Saya pernah juga terdengar kononnya bapa saya sering
bersama Saloma, tetapi saya tidak kenal betul dengan Saloma, cuma
kadang-kadang apabila kami diajak menonton 'preview' di studio,
ternampak Saloma. Dia hanya senyum biasa kepada saya.
Pada
suatu hari sedang saya bermain-main di ruang tamu, pembantu rumah Abang
Ngah memanggi saya, kerana ada seseorang yang ingin bertemu dengan
saya. Saya terus keluar dan ternampak sebuah kereta "Sport" berhenti di
hadapan pintu pagar rumah. Seorang wanita keluar dan terus melambai
memanggil saya. Saya agak hairan dan tidak terfikir wanita itu adalah
Saloma. Saya terus menuju ke keretanya dan dia menyebut nama saya,"Ini
Nasirkah?" dan saya menganggukkan kepala. Wanita itu menyuruh saya
menukar pakaian dan mengikutnya. Saya agak 'panik' kerana saya tidak
kenal betul dengannya. Bapa saya tidak ada di rumah, dan saya harus
meminta izinnya dahulu.
Saya
memberitahunya, "Maaf makcik, saya tak boleh pergi kerana bapa tak ada
rumah, nanti dia marah," Saloma menjawab," Jangan takut, mak cik dah
beritahu bapa kamu tadi." Abang Ngah pula menyuruh saya agar segera
menukar pakaian dan mengikut saja mak cik tersebut. Abang Ngah
memberitahu bahawa mak cik itu adalah Saloma yang selalu menyanyi bersama
bapa saya. Sebenarnya saya sudah dapat mengagak bahawa mak cik itu
adalah Saloma, cuma saya berpura-pura tidak mengenalinya. Saya juga
faham dengan tujuan sebenar mak cik Saloma yang kini mula berusaha
mendekati saya dan memancing hati saya agar dapat menerimanya sebagai
bakal ibu tiri saya yang kedua kelak. Namun akhirnya saya pun bersetuju
untuk mengikut Saloma keluar.
Saloma
membawa saya bersiar-siar ke lapangan terbang Paya Lebar. Dia
meneruskan perjalanannya ke tepi pantai Changi, dan terus ke kawasan
Bedok. Kemudian, entah ke mana lagi saya dah lupa. Di dalam kereta dia
sering bertanya bagaimana perasaan saya sekarang hidup tanpa emak tiri
sambil memuji-muji bapa saya. Dalam hati saya berkata,"makcik i ada
udang di sebalik batu." Saya hanya ketawa dan mengiakan saja
kata-katanya. Kira-kira hampir sejam setengah kami bersiar-siar,
akhirnya dia menghantar saya pulang ke rumah di MacPherson Road.
Pada
malam itu saya menceritakan kepada bapa segala-galanya yang terjadi dan
bagaimana makcik Saloma datang membawa saya bersiar-siar. Bapa saya
hanya tersenyum dan bertanya kepada saya,"Kau suka mak cik tu?" Saya
tidak menjawab dan hanya berdiam diri sahaja. Dalam hati kecil saya
berkata, "Tentu ada apa-apa, kalau tidak takkan bapa bertanya demikian".
Saya berdoa pada malam itu supaya bapa saya tidak berkahwin dengan mak
cik itu demi kebaikan kami sekeluarga. Saya takut untuk beribu tiri
sekali lagi dan saya juga sayangkan bapa dan benar-benar bimbang
sekiranya ia satu keputusan yang kurang wajar dan kelak akan menyebabkan
bapa saya kecewa lagi.
SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee
Tiada ulasan:
Catat Ulasan