GARA-GARA P.RAMLEE BERSIUL
Ada
satu peristiwa yang tidak dapat saya lupakan semasa bapa saya pulang
dari studio untuk makan tengahari. Ketika beliau masuk ke rumah wajahnya
riang sambil bersiul-siul. Bila ibu saya Junaidah terdengar siulan dan
melihat keriangan bapa, dengan serta merta ibu saya menjadi sangsi dan
mula menyindir bapa saya dengan berkata "Ah! Ini tentu dah jumpa
girlfriends!" Bapa tidak menjawab hanya memandang dengan serius. Di
sinilah bermulanya rasa cemburu ibu saya. Sebaliknya jika bapa saya
pulang dengan wajah yang sedih, ibu saya masih lagi menyakat dengan
katanya,"Ah, hari ini tak dapat jumpa girlfriends agaknya." Beginilah
yang sering berlaku, bapa saya sentiasa berada di dalam keadaan yang
serba salah.
Sifat
cemburu ibu saya memang diketahui oleh ramai teman-teman yang tinggal
di Boon Teck Road. Menurut cerita Pak Cik Kassim Masdor yang begitu
rapat dengan bapa, apabila semua yang tinggal di Boon Teck Road
dipindahkan ke sebuah rumah banglo di Katong, bapa saya sering keluar
bersiar-siar di tepi laut. Ketika itulah ibu saya akan meminta Pak Cik
Kassim yang masih muda ketika itu mengekori bapa saya dan Pak Cik Kassim
terpaksa membuat laporan kepada ibu saya samaada suaminya di tepi laut
bersendirian atau dengan teman wanita. Sifat cemburunya sampai ke tahap
yang agak keterlaluan.
Oleh
kerana itulah maka berlaku perpisahan sementara, dan kalau boleh
dijadikan bukti, terdapat sebuah lagu ciptaan bapa saya berjudul "Hujan
Di Tengah Hari" yang senikatanya ditulis oleh H.M.Rohaizad. Lagu ini
kalau diteliti liriknya, jelas menunjukkan bagaimana perasaan bapa saya
dan harapannya agar rumah tangganya tidak runtuh. Lagu ini dimuatkan di
dalam filem Perjodohan. Cuba teliti senikatanya yang saya perturunkan di
sini:
Hujan Di Tengah Hari
Sedih rasanya hati di dalam
Mengenangkan peristiwa masa yang telah silam
Di mana aku hidup bersama si dia
Tak pernah rasa aman bahagia
Perselisihan sering terjadi
Walaupun jauh dari nyata dan juga bukti
Namun begitu dia selalu terburu
Tegak melulu menurut nafsu
Andainya dia dapat mengubah
Tetapku terima
Mendirikan mahligai ria
Tapi tak berdaya
Ku sangka panas hingga ke petang
Rupanya hujan di tengah hari
Itulah
lagu yang besar kemungkinan dicipta setelah berlakunya perpisahan
antara ibu dan bapa saya. Perceraian yang begitu pahit telah dirasakan
oleh bapa saya, dan oleh kerana saya adalah anak tunggalnya, maka
berlaku pula pergeseran mengenai hak perjagaan saya. Oleh kerana bapa
saya berpegang kuat kepada prinsipnya, maka dia berjaya mendapatkan
anaknya nasir untuk bersamanya.
Setelah
bercerai, ibu saya mengikut rombongan bangsawan menjelajah ke seluruh
Tanah Melayu, sedangkan bapa saya sibuk dengan kerjanya, maka
kadang-kadang saya terpaksa dibawa ke lokasi penggambaran. Antara mereka
yang sering bergilir-gilir menjaga saya ialah Ahmad C, Kassim Masdor
dan Aziz Sattar, juga beberapa orang artis lain yang sentiasa memberi
perhatian kepada saya.
Sementara
ibu saya pula, setelah tamat bekerja dengan rombongan bangsawan, beliau
pulang ke Jakarta mengikut bapanya yang juga datuk saya D.Harris. Bapa
saya menjadi duda dan namanya semakin meningkat dan popularitinya juga
semakin terserlah. Bapa saya telah mencipta lagu serta berlakon dalam
banyak filem. Pendek kata pengarah-pengarah India ketika itu
berebut-rebut mengambil bapa saya berlakon, kerana setiap filem yang
dilakonkannya akan mendapat pungutan box office.
SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee
Tiada ulasan:
Catat Ulasan