AIR MATA DI KUALA LUMPUR
Satu
kisah yang tidak dapat dilupakan dalam hidup saya ialah tentang lagu
"Air Mata Di Kuala Lumpur", lagu hasil ciptaan bapa saya yang terakhir
sebelum beliau meninggal dunia buat selama-lamanya. Sewaktu hayatnya,
beliau pernah memberitahu Saloma yang beliau ingin membuat sebuah cerita
dengan judul "Air Mata Di Kuala Lumpur", tetapi beliau hanya sempat
mencipta lagu itu terlebih dahulu. Setelah dia pergi barulah kami
malahan masyarakat umum mengetahui isi hatinya tentang "Air Mata Di
Kuala Lumpur". Sekembalinya saya bersama Saloma membawa jenazah bapa
saya pulang ke rumah di No 22 Jalan Dedap, kelihatan ramai orang yang
mula berpusu-pusu untuk menziarahi Allahyarham bapa saya, bukan sahaja
orang Melayu, malah yang bukan Melayu pun ramai yang turut sama. Suasana
ketika itu amat kelam kabut, sehingga saya merasakan seolah-olah mereka
yang datang tidak percaya dengan kematian bapa saya. Takziah demi
takziah datang tidak berhenti-henti, derma daripada para dermawan juga
mencurah-curah datang, malah ada yang juga pengsan.
Para
pemimpin politik, pejuang seni dan mereka yang kenal rapat dengan bapa
saya turut datang untuk melihat wajah terakhir bapa saya. Selain
daripada para seniman seniwati veteran dan juga yang baru, semuanya
bermuram dan sedih, termasuk mereka yang datang dari Singapura,
antaranya Pak Cik Ahmad Daud dan Mak Cik Saadiah, Pak Cik Kassim Masdor
dan Sanisah Huri, dan tidak ketinggalan bekas guru tuisyen saya dan juga
murid bapa saya Cikgu Yusnof Ef dan isteri.
Setelah
semua siap dan jenazah telah siap dimandikan, maka dengan rasa terharu
dan pilu, diikuti oleh ratusan peminat yang datang mengunjungi rumah
saya, maka kami membawa jenazah bapa saya ke masjid Kampung Baru untuk
disembayangkan. Saloma dan keluarga yang lain turut mengiringinya, saya
dapat rasakan bagaimana pilunya Saloma untuk menabur "pacai" ke atas
jasad bapa saya. Sepanjang jalan ke arah masjid Kampung Baru ramai orang
beratur dan ada yang menadahkan tangan serta berdoa untuk bapa saya.
Sesampainya kami di perkarangan masjid begitu ramai yang menunggu.
ketika inilah saya dapat melihat wajah-wajah yang sedih dan ada pula
yang mengesat-ngesat air mata.
Akhirnya jenazah dibawa
masuk ke dalam masjid, kelihatan berdiri mengadap dengan jenazah selain
dari saya sendiri, ialah Pak Cik Ahmad Daud, Jins Shamsudin, Yusof Suria
dan Cikgu Yusnof Ef. Setelah disembayangkan maka jenazah dibawa terus
ke kawasan tanah perkuburan orang-orang Islam di Jalan Ampang.
Sesampainya kami di sana, wah! ramai betul yang menunggu, kami terpaksa
meminta jalan untuk membawa masuk jenazah ke tanah perkuburannya. Saya,
Saloma, ibu Saloma dan famili yang lain dapat duduk di bahagian hadapan
makamnya, sewaktu jenazah hendak dibawa masuk ke dalam liang lahad, di
waktu itulah hujan renyai-renyai pun turun, seolah-olah mengiringi
suasana tangisan di seluruh pelusuk tanah air. Betullah dengan apa yang
Allahyarham hasilkan sebelum kematiannya, lagu yang berjudul "Air Mata
Di Kuala Lumpur" memang benar dapat dilihat pada hari itu negara
seolah-olah menangis sama ada di atas kematian bapa saya. Di tanah
perkuburan ramai yang datang memberi salam takziah kepada saya dan
Saloma, dan saya sendiri tidak dapat melihat wajah-wajah mereka, kerana
di dalam keadaan yang sedih dan kelam kabut. Setelah selesai
pengkebumian bapa saya, maka kami sekeluarga terus pulang ke rumah,
semasa dalam perjalanan pulang kelihatan masih ramai orang berpusu-pusu
ke tanah perkuburannya, dan terdapat beberapa buah bas yang masih berada
di luar kawasan tanah perkuburan. Saloma yang begitu lemah dipapah oleh
sepupu saya ke keretanya, saya perhatikan Saloma nampak macam biasa
cuma beliau agak lemah dan tidak berdaya untuk berjalan.
Sesampainya
di rumah kami semasa membuat persediaan untuk kenduri tahlil, ramai
juga yang turut ke rumah. Setelah selesai kenduri oleh pak iman masjid,
Saloma mula membaca telegram yang tiba begitu banyaknya dari tokoh-tokoh
ternama termasuk menteri. Tidak lama kemudian, Pak Cik Ahmad Daud,
Saadiah, Kassim Masdor dan Cikgu Yusnof Ef datang menemui Saloma.
Setelah beberapa hari bapa kembali ke rahmatullah, satu malam sedang
saya duduk termenung dan mengimbas kembali saat-saat bahagia bersama
bapa dari sejak kecil dan saat-saat bahagia bersama bapa dari sejak
kecil dan saat-saat pertengkaran saya dengan bapa, air mata berlinangan,
saya tidak dapat menahan. Barulah saya faham bagaimana perasaan seorang
anak kandung apabila kehilangan bapa kandung yang disayangi. Saya
menyesal, tetapi seperti kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal
kemudian tidak berguna. Walau bagaimanapun saya terpaksa meneruskan
hidup sekeluarga, dan saya menjalankan tugas-tugas seharian, di samping
menjenguk Saloma dan adik angkat saya Sazali.
SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee