TIDAK MAHU BERSEKOLAH LAGI
Setelah
seminggu peristiwa itu berlalu, saya mengambil keputusan yang saya
terpaksa berterus terang dengan bapa. Salah satu daripada sifat bapa
ialah jangan berbohong dan bersikap tidak jujur. Sifat itu diamalkannya
sehingga ke akhir hayatnya. Dia lebih suka orang yang berterus terang.
Pada satu hari sekembalinya dari studio untuk makan tengah hari, dia
memanggil saya masuk ke biliknya. Saya terus masuk dan duduk di sebelah
mama untuk menjaga keselamatan saya supaya tidak dipukul lagi. Dia
bertanya sama ada saya mahu terus bersekolah lagi ataupun tidak. Saya
memberanikan diri dan terus memberitahunya perkara yang sebenar.,
"Daddy, Nasir tidak mahu sekolah lagi." Bapa tidak terkejut dan hanya
membalas kata-kata saya, "O.K fine, tapi you mesti ikut Daddy shooting,"
Kemudian dia tersenyum dan berkata, "Sakit lagi tak? Daddy minta maaf
sebab Daddy lost control semalam, O.K.?" Saya hanya diam, terfikirkan
kata-kata bapa mengenai "shooting".
Apabila
saya terdengar saja perkataan "shooting", badan saya terus lemah dan
mula menyesal. Memang bukan minat saya dengan hal studio dan "shooting",
lagi pun kalau saya terpaksa ikut dia selalu ke studio, macam mana saya
nak hisap rokok? Tiba-tiba mama Saloma bersuara dari belakang, "Kenapa
you nak berhentikan Nasir sekolah? Bapa saya menjawab bersahaja, O.K.lah
Sally (panggilan manja bapa saya kepada mama Saloma). Kalau dia tak
hendak sekolah, kita hantar ke bulan pun dia mesti tak belajar. Lagi pun
kalau dia tak sekolah, kuranglah sikit duit belanja I." Kata bapa saya
secara menyindir tetapi mungkin marah. Oleh kerana saya telah berterus
terang dan bapa saya pun menjawab dengan berterus terang, maka saya
terpaksa mengikut kemahuannya pergi ke studio buat beberapa waktu.
Apabila
tiba waktu untuk "shooting", saya pun terpaksa mengikut bapa ke studio.
Di Studio Merdeka, walaupun tidak begitu berminat dengan dunia
perfileman, saya berkesempatan untuk mempelajari banyak perkara dan ilmu
berkenaan "shooting" secara kebetulan. Umpamanya saya mengetahui selok
belok untuk membuat "effect", "dubbing" dan "editing" di dalam filem,
namun oleh kerana kurang minat pada diri saya, tidaklah saya berusaha
mendalami dan belajar teknik dan kemahiran tersebut dengan
bersungguh-sungguh. Pada pandangan saya, hanya bidang muzik yang
benar-benar hidup di jiwa saya dan ia jugalah satu-satunya persamaan
minat yang dapat saya kongsi dengan bapa.
SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee
Tiada ulasan:
Catat Ulasan