BERANGKAT KE KUALA LUMPUR
Pemindahan
kami tidaklah seperti pemindahan orang lain. Kami berangkat dengan
menaiki sebuah kereta Dodge yang dipandu oleh bapa saya sendiri. Pagi
hari yang kami hendak berangkat itu, Cikgu Mat Nor ada bersama. Dia
sempat membantu kami mengemas sama bilik bapa saya. Saya perhatikan, di
samping dia berkemas, ada juga dia terjumpa beberapa salinan skrip yang
tidak tersusun. Dia meminta izin bapa untuk menyimpannya, dan antaranya
ialah sehelai 'Letterhead' yang bertulis 'Perusahaan Filem P.Ramlee'.
'Letterhead' ini menunjukkan harapan bapa saya untuk menubuhkan sebuah
syarikat perfileman apabila tiba di Kuala Lumpur, tetapi sayang, hajat
dan cita-citanya tidak kesampaian, kerana orang-orang di sekelilingnya
tidak mahu lagi menghormati dan mempercayainya. Malah ada yang
menikamnya dari belakang. Ini adalah cerita yang saya dengar sendiri
apabila bapa saya menceritakannya pada saat-saat akhirnya kepada
beberapa teman termasuk muridnya Cikgu Mat Nor.
Pada
sebelah tengah hari kira-kira jam dua, kami pun berangjat dengan kereta
yang dipandu bapa, meninggalkan rumah kesayangan kami, kerana di rumah
itulah kami dibesarkan, bersekolah di hadapan rumah, dan mempunyai teman
serta kawan yang ramai. Bapa sedih, kerana sebelum dia menaiki kereta,
dia memandang ke sekeliling kawasan rumah dan berpesan kepada Kak
Joyah," Jaga rumah pak cik ni," (panggilan yang digunakan oleh Kak Joyah
bila dia memanggil bapa). Pada masa itu saya tidak risau sangat kerana
saya dan adik-adik akan pulang semula ke Singapura, kerana kami masih
bersekolah di Singapura buat sementara waktu.
Dari
rumah bapa, kami terus menuju ke studio Jalan Ampas. Di studio, ramai
kawan-kawan sudah menunggu. Mereka bersalam-salaman dengan bapa dan
Saloma, sambil bergambar beramai-ramai buat kenangan. Bapa turut
berjumpa kedua-dua pengurus studio Mr Lee Tung Ku dan Mr Kwek Chip Jian
untuk mengucapkan selamat tinggal. Kami kemudian meninggalkan studio
Jalan Ampas, studio yang telah mencipta nama bapa sehingga menjadi
seorang seniman besar dan nadi serta tulang belakang industri filem
Melayu. Filem yang terakhir diarahkan di studio itu ialah Tiga Abdul.
Dari studio kami terus menuju ke Kuala Lumpur.
SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee
Tiada ulasan:
Catat Ulasan