MASALAH BERMULA DI MACPHERSON ROAD
Berbagai-bagai
masalah mula timbul semasa kami tinggal di MacPherson Road kerana di
rumah inilah suasana rumah tangga bapa telah mula diganggu dan
dicemarkan oleh orang-orang yang sengaja membuat angkara dan cuba
mengadu-dumbakan suasana ceria dan harmoni keluarga kami. Walaupun
ketika itu saya masih belum matang, tetapi dari gerak geri mereka yang
sumbang sudah dapat saya faham, dan bapa saya adalah manusia yang
terlalu jujur, dia mudah percaya kepada orang, dan kadang-kadang dia
tidak hiraukan sangat cemuhan dan hasutan orang kepadanya, dia selalu
berpegang kepada takdir, kalau dah terjadi, itu takdir katanya.
Bapa
saya pernah menjadi tuan punya penerbitan sebuah majalah, namanya
Majalah Gelanggang Filem. Pada awalnya dia menyerahkan pengurusan
syarikat itu kepada rakannya iaitu saudara Rahman B. Pejabatnya ketika
itu terletak di Rangoon Road bersebelahan dengan kuil Buddha.
Kemudiannya Rahman B tidak dapat meneruskan tugasnya lagi, tempatnya
pula diganti oleh seseorang yang boleh dianggap penasihatnya iaitu Pak
Cik Abdullah Hussien (Sasterawan Negara),bapa saya memanggilnya "Cik
Lah". Beliau ialah seorang wartawan dan penulis terkenal, seorang
sasterawan dan pemikir khususnya mengenai bahasa dan sastera. Dia
dilantik sebagai ketua pengarang, di bawahnya terdapat beberapa orang
penulis antaranya Aimi Jarr, A.S.Amin, Masnawi dan M.Osman serta
beberapa yang lain. Pegawai pemasarannya ialah saudara Kamal. Saya masih
ingat jurugambarnya ialah saudara Zainal. Majalah ini sangat laris dan
menjadi bahan bacaan ramai peminat filem khususnya. Mereka sering ke
rumah kami berbincang dengan bapa saya sehingga lewat malam. Pejabatnya
kemudian berpindah ke Tembeling Road, tidak jauh dengan rumah Hamidah
gadis Arab yang menjadi pujaan bapa saya ketika itu.
Setelah
beberapa lama Cik Lah memimpin Gelanggang Filem, tiba-tiba Cik Lah
terpaksa berpindah ke Kuala Lumpur untuk meneruskan kerjayanya di sana.
Waktu inilah saya dapati bapa saya agak sedih dan susah hati, kerana
orang yang dipercayainya selama ini akan meninggalkannya. Walau
bagaimanapun, dia tidak dapat menahannya, kerana itu adalah rezeki Cik
Lah. Akhirnya tempat beliau diserahkan kepada pak cik saya Ahmad Rejab
atau lebih terkenal dengan panggilan Ahmad Joko berasal dari Pulau
Pinang. Beliau ialah seorang pemuzik dan merupakan peniup saxophone.
Sementara pengarang-pengarangya ialah Aimi Jarr, A.S. Amin, Masnawi dan
lain-lain.
Pak
cik saya ini tidaklah sehebat Cik Lah, kerana beliau bukan pengarang
dan bukan pula "Businessman", dia hanya menjalankan tugas sebagai
pengurus pejabat. Mulai dari saat inilah timbul beberapa masalah di
dalam Gelanggang Filem. Saya mendapat tahu daripada bapa saya, setelah
diberitahu oleh pak cik saya yang syarikat semakin teruk menanggung
hutang, Bagaimana boleh terjadi, majalah laku, duit tak ada, bapa saya
sudah mula bosan dan sering merungut di rumah.
Saya
masih teringat satu peristiwa Aimi Jarr datang ke rumah saya di
MacPherson Road pada sebelah malam bersama Cikgu Yusnor. Ketika itu bapa
saya bersama Kassim Masdor dan beberapa orang lain sedang berbincang
tentang lagu-lagu Panca Sitara. Apabila Aimi Jarr sampai, bapa saya
terus bertanya Aimi Jarr mengapa dia meletakkan gambar Cliff Richard
dengan tajuk "Cliff Richard bercium dengan Sarah Abdullah" di muka
hadapan. Mengikut kata bapa saya, kita terpaksa menarik balik keluaran
hari itu, kerana seorang peguam kawan bapa saya dari Johor, menasihatkan
dia supaya gambar dan kata kata itu diganti dengan gambar lain. Jika
tidak pihak yang berkenaan boleh menyaman malu kepada Gelanggang Filem.
Akhirnya apa yang saya tahu, keluaran itu diganti.
SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee
Tiada ulasan:
Catat Ulasan