REAKSI CIKGU TUISYEN
Pada
mulanya beliau agak gementar, walaupun dia sudah mesra dengan bapa,
tapi dia mungkin bertambah takut kerana dia mengajar anak "P.Ramlee".
Bapa sering mengingatkan cikgu itu dengan katanya, "Mat Nor ajar mereka
betul-betul, kalau dia orang main-main beritahu abang, biar abang bantai
mereka." Akhirnya kami belajar dengan Cikgu Mat Nor dan hubungan kami
semakin hari semakin mesra, makcikku, yang kami panggil Kak Joyah dan
suaminya abang Mat (Ahmad Joko atau Ahmad Rejab) yang turut tinggal
bersama kami juga mesra dengan Cikgu Mat Nor. Lama kelamaan kami sudah
menjadi sebagai satu keluarga, bersenda gurau ketika bapa belum pulang,
dan kadang-kadang kami semua makan bersama dan pernah juga pergi ke
kedai gambar dan bergambar seperti sebuah keluarga. Makcik mempunyai dua
orang anak Hussien dan Zakiah. Zakiah digelar oleh bapa dengan nama
Zazaloma. Akhirnya Zazaloma turut dipelihara bapa sehinggalah kami
berpindah ke Kuala Lumpur.
Cikgu
Mat Nor memang sangat hormat dengan bapa. Bila berhadapan dengan
bapa,"Pijak semut pun tak mati". Orangnya peramah dan sentiasa memberi
kami nasihat. Kadang-kadang seperti dia mengajar kami, bapa masuk ke
bilik, bukan kami yang takut, tetapi Cikgu Mat Nor yang kami napak
gementar.
Ketika
kami belajar di rumah sebelum bapa pulang, Cikgu Mat Nor akan memberi
kerja rumah dan menyemak kerja-kerja yang kami buat. Di antara kesemua
adik beradik kami, Allahyarham Armalilah (anak Saloma, adik beradik tiri
kami) yang selalu ditegur oleh cikgu, kerana tulisan Armali yang tidak
tersusun dan tidak begitu kemas. Walaupun cikgu sering memarahinya,
namun Armali tidak pernah ambil hati, dia hanya mengangguk dan ketawa
sahaja. Kadang-kadang saya boleh baca air muka Cikgu Mat Noor, dia
seolah-olah geram dan fed up dengan kami, tetapi oleh kerana kami semua
anak P.Ramlee, terpaksalah dia buat macam tak ada apa-apa, tersengeh
sahaja. bapa pernah bertanya kepadanya, "Apa macam budak-budak ini?
Kalau mereka tu nakal, kau rembat dia!" Cikgu Mat Nor tersenyum dan
berkata, "Tak ada apa-apa bang! Dia orang semua hormat saya." Begitulah
cerita guru tuisyen kami. Walaupun dia seorang yang lucu dan suka
bergurau, tapi bila dia berhadapan dengan bapa saya dia mati kutu.
SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee
Tiada ulasan:
Catat Ulasan