BERTEMU SEMULA DENGAN NORMAH
Setelah
kejadian itu, saya meneruskan kerjaya saya sebagai pemain muzik. Saya
sering ke merata pelusuk tanah air, kebetulan pada satu masa saya
bersama Booty Boys bermain di satu Fun Fair di kawasan Pekan negeri
Pahang. Kami menginap di sebuah hotel. Dengan tidak disangka-sangka pada
satu malam Kak Normah yang meninggalkan rumah tempoh hari, tiba-tiba
muncul di hotel, tempat penginapan saya. Saya amat terkejut dan semacam
bermimpi, kerana wajah Kak Normah yang begitu cantik, berkulit putih dan
halus seperti anak Jepun, tiba-tiba bertukar wajah sebagai seorang yang
tidak terurus dengan wajahnya agak hitam dan kusut masai. Dia terus
menangis dan memeluk saya sambil menceritakan kisah sebenarnya yang
berlaku ke atas dirinya sejak dia meninggalkan rumah.
Kisahnya
sungguh sedih, saya membawanya minum di Coffee House di situ, dan Kak
Normah menceritakan kisah seterusnya. Setelah dia mengikut Abang Ngah ke
Terengganu hidup mereka agak terseksa. Dia terpaksa membuat keropok dan
menjualnya untuk menyara hidupnya dan seorang anak yang ditinggalkan
sendirian oleh suaminya. Apabila saya mempelawanya untuk pulang ke Kuala
Lumpur, dia mulanya hanya mendiamkan diri dan tunduk menangis tanpa
jawapan, kemudian dia terus meninggalkan saya. Harapan saya hampa.
Selang
beberapa hari, ketika kami berkemas-kemas untuk berangkat ke Raub bagi
meneruskan persembahan kami, tiba-tiba Kak Normah muncul sekali lagi dan
kali ini wajahnya agak ceria. Dia terus memberitahu saya yang dia telah
mengambil keputusan untuk mengikut saya pulang ke Kuala Lumpur dengan
syarat dia tidak mahu tinggal bersama kami lagi, tetapi dia ingin
tinggal bersama-sama ibu angkat yang disayangi iaitu Noorizan. Apabila
saya bertanya tentang Abang Ngah kini berada di Kelantan kerana ada
urusan. Saya tidak hiraukan sangat pasal Abang Ngah, cuma yang saya
harap agar Normah pulang ke Kuala Lumpur dan biarlah dia tinggal
bersama-sama Noorizan. Pada mulanya, Noorizan amat marah terhadap
Normah, tetapi saya cuba memujuk Noorizan, akhirnya Noorizan bersetuju
menerimanya. Apa yang saya dengar selepas itu, Kak Normah telah mendapat
pekerjaan dan berkahwin lagi, dan sejak dari berita itu, saya tidak
lagi bertemu dengan Kak Normah sehingga kini, dan begitu juga dengan
adik angkat saya Betty. Cuma saya berharap mudah-mudahan jika
kedua-duanya masih hidup dan terbaca apa yang saya ceritakan di dalam
buku ini, segeralah menghubungi saya, kerana saya sangat rindu pada
mereka berdua.
SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee
Tiada ulasan:
Catat Ulasan