DI KUALA LUMPUR
Setibanya
kami di Kuala Lumpur, bapa kami membawa kami terus ke sebuah hotel
berdekatan dengan Dataran Merdeka. Hotel itu terletak di Jalan Tangsi
dan kalau tak salah saya hotel tersebut dikenali sebagai Penisular
Hotel. Akhirnya kami berpindah ke sebuah rumah banglo di Jalan Bunga
Kantan Setapak, Taman Furlong (kini kawasan itu diberi nama Taman
P.Ramlee). Mungkin rumah ini juga dikhaskan untuk bapa saya oleh Shaw
Brothers. Kami adik beradik amat gembira kerana mendapat rumah baharu
dalam suasana bandar. Bapa saya yang ketika itu sudah bertugas di Studio
Merdeka agak ceria. Perjalanan ke tempat kerja tidak mengambil masa
yang lama kerana Studio Merdeka terletak di Hulu Klang. Beliau sering
memandu keretanya sendiri ke studio. Saya bersekolah di Gombak dan
kemudiannya saya dipindahkan pula ke High School di Air Panas Setapak.
Semasa di Kuala Lumpur minat saya dalam muzik sudah mula saya rasakan,
dan saya mula bercampur dengan kumpulan tiga guitar. Mulai dari sinilah
saya sudah tidak berminat lagi dengan sekolah, dan sering ponteng kerana
sibuk bermain muzik. Kami seronok kerana kumpulan kami sering diundang
ke majlis-majlis kahwin dan hari jadi, walaupun pendapatan tidak
lumayan, tetapi kepuasan cukup saya rasakan. Bapa saya sudah mula resah
dan khuatir kalau-kalau saya tidak dapat melanjutkan pelajaran saya.
Kadang-kadang
saya terpaksa berbohong dengan bapa yang saya ke sekolah, tetapi
sebenarnya saya bersama kawan-kawan membuat latihan muzik. Bapa saya
bertambah runsing dan khuatir bahawa saya akan terpengaruh dengan
anasir-anasir yang tidak baik. Bagi diri saya sendiri, ingatan bahawa
saya adalah anak seniman besar P.Ramlee menjadikan saya bertekad untuk
menjaga nama baik bapa saya dan menjauhi perkara-perkara yang kelak
menconteng arang ke mukanya.
SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee
Tiada ulasan:
Catat Ulasan