KEGEMARAN DAN HOBI BAPA
Walaupun
bapa saya terkenal sebagai pelakon, pemuzik dan pengarah, tetapi ada
dua kegemaran atau hobinya. Kegemaran ini agak istimewa iaitu yang
pertamanya dia suka menggunting rambut dan perkara yang kedua, dia juga
memasak di dapur. Tetapi semasa di Singapura, pelakon dan pelawak Ahmad C
yang menjadi tukang gunting bapa saya. Bapa saya hanya menggunting
rambut anak-anaknya dan kadang-kadang anak-anak buah. Rambut saya habis
dibelasahnya, hendak bersuara tidak boleh, jadi terpaksalah ikut apa
sahaja gaya yang dia suka.Kadang-kadang sampai nampak kulit kepala dan
dalam hati saya berkata, bukanlah lebih baik dibotakkan sahaja. Pernah
dia menggunting rambut saya dari jam empat petang sampai ke waktu
Maghrib sehinggakan saya menangis.
Satu
lagi hobi bapa saya ialah memasak. Setiap hari minggu kalau tidak ada
apa-apa program, dia akan sibuk di dapur. Pada satu hari saya bertanya
ibu tiri saya Saloma sama ada daddy keluar ke hari ini, jadi boleh saya
berehat, tetapi kalau dia ada rumah saya terpaksa keluar sebelum dia
bangun. Kenapa saya hendak lekas-lekas keluar, kerana hari itu dia akan
memasak di dapur, dan masakannya pula pelik-pelik. Antara nama-nama
masakan yang diberinya ialah masakan kari Bugis, lemak London, kari ikan
kering Itali, Soto Semerah Padi dan banyak lagi nama-nama masakannya
yang luar biasa dan pelik-pelik belaka. Malah semasa di Singapura di
studio Jalan Ampas, apabila petang mamak mee akan datang dengan basikal
tolaknya menjual mee goreng. Mamak tu dah faham, kalau bapa saya hendak
makan mee goreng dia akan menyerahkan segala-galanya kepada bapa saya,
dan bapa saya yang akan menggoreng sendiri.
Kalau
dia memasak di rumah, tidak ada orang yang boleh mengganggu dan turut
campur di dapur. Setelah selesai, dia menyuruh kami mengambil pinggan
atau mangkuk masing-masing sambil beratur dan dia akan meletakkan mee
itu ke dalam pinggan kami. Kemudian semua duduk berkeliling bersama dia
makan di ruang rumah, ketika inilah dia akan bertanya "Sedap tak? kalau
tak sedap pun mesti bilang sedap" sebenarnya memang tak sedap. Yang
ganjilnya kalau kita kata sedap, dia akan tambah lagi ke pinggan kita,
Aduh! kadang-kadang saya rasa macam terseksa dalam tahanan.
SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee
Tiada ulasan:
Catat Ulasan