BAPA MENANGIS
Bapa
saya sering berduka, perasannya tidak pernah diluahkan kepada sesiapa
pun, kadang-kadang dia duduk termenung dan saya dapat melihat kedua
matanya bergenang dengan air mata seolah-olah ada sesuatu yang terpendam
di hatinya. Pada satu malam, ketika Mama tidak ada di rumah, kerana
bekerja sebagai penyanyi di kelab malam di Bangkok, saya pernah
bertanya, "Tidakkah Daddy merasa sunyi bila Mama tidak ada?" Dia
menjawab, "Terlalu sunyi." Saya dapat rasakan kesunyian yang Daddy
alami. Jadi kami terus berbual, perbualan itu khusus mengenai diri saya
dengan beliau. Saya tak menyangka yang perbualan itu membuatkan dia
lebih bersedih.
Sewaktu
saya duduk di sebelahnya, saya bertanya dengan jujur dan bersahaja,
"Daddy! Kalaulah Daddy tak ada di dunia ini lagi, ke mana Nasir nak
pergi?" Daddy hanya mendiamkan diri tanpa menjawab sepatah pun, dia
hanya merenung muka saya dengan wajahnya yang murung. Saya bertanya
lagi, "Kenapa Nasir tak ada adik beradik lain, kalau ada kan bagus". Dia
masih diam, hanya air matanya yang mula berlinang. Saya terus
memeluknya. Kemudian baru dia bersuara,"Nasir jangan bimbang, Daddy akan
hidup seribu tahun lagi Daddy". Dia hanya memendekkan perbualan dengan
berkata," Sudahlah! Sekarang Nasir pergi salin pakaian, jom kita pergi
makan mee goreng". Saya pun terus pergi mandi, dan setelah itu kami
terus ke sebuah warung di Jalan Pekeliling. Sesampainya kami di situ,
Mamak mee itu memang sudah tahu kesukaan bapa saya.
SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee
Tiada ulasan:
Catat Ulasan