KENANGAN ABADI
Kehilangan
bapa saya amat sukar dicari ganti, kemasyhurannya pula belum dapat
ditandingi oleh sesiapa, Allahyarham P.Ramlee masih kekal sebagai
seniman nombor satu Malaysia. Saya tidak dapat mengikis ingatan saya
terhadap bapa saya, bahkan semasa menyambut hari raya saya amat sedih
sekali, walau pun pahit, saya terpaksa menerima kenyataan dan ketentuan
Tuhan. Saya masih terkilan, kerana dia tidak sempat meninggalkan apa-apa
pesan kepada saya, kerana dia merupakan seorang yang suka menyimpan
rahsia kesakitannya. Sepanjang hayatnya beliau tidak pernah menceritakan
tentang penyakitnya, malah demam dan pening tidak dihiraukan. Saya
masih ingat doktor yang merawatnya iaitu Dr Kok Tai Yan. Sewaktu kami
bertanyakan apakah penyakit bapa saya, dia menjawab bahawa bapa minta
ianya dirahsiakan, jadi kami terpaksa akur. Satu perkara yang tidak
dapat saya lupakan iaitu ketika menjelangnya hari raya, dia menyuruh
saya mengecat rumah, dengan upahnya RM50, tidak termasuk duit baju dan
duit hari raya. Saloma memasak sendiri untuk juadah hari raya, dan
kadang-kadang ibunya datang dari Singapura membantunya.
Satu
lagi sifat bapa saya yang saya perhatikan, pernah pada satu ketika dia
sedang makan di ruang tamu, dia ternampak mamak pemotong rumput lalu di
hadapan rumah, dengan serta merta bapa saya memanggil mamak itu masuk
dan makan sama, dia tidak merasa gah atau bangga dengan nama besarnya,
malah dia sentiasa bermurah hati dan tidak lokek. Allahyarham kalau
balik dari jauh dia akan memanggil saya, "Mr Boy" atau "Come here my
boy", sehingga ke hari ini terngiang-ngiang di telinga saya panggilan
itu. Berkenaan bayaran royalti lagu-lagunya pula, saya tidak lupa
berkongsi dengan adik-adik saya oleh kerana kami pernah tinggal
sebumbung dan pemberian tersebut biasanya adalah atas budi bicara saya.
SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee
Tiada ulasan:
Catat Ulasan