ROMBONGAN DRAMA DARI SINGAPURA
Setelah
beberapa lama Cikgu Mat Nor menghilangkan diri, tiba-tiba pada satu
malam beliau datang bersama satu rombongan drama dari Singapura. Dalam
rombongan tersebut terdapat Pak Cik Mustafah Yassin pengarah seni dari
studio Jalan Ampas dan Pak Cik Kassim Masdor seorang komposer juga murid
bapa saya dalam bidang muzik. Malam itu rombongan drama dari Singapura
itu membuat latihan di hadapan bapa saya, dengan judul ceritanya "Senja
Merah" tulisan wartawan di Singapura Shukor Harun dan diarahkan oleh
cikgu saya Cikgu Mat Nor atau Yusnor Ef. Walau pun saya tidak terlibat,
namun saya masih ingat bagaimana bapa saya memperbaiki beberapa lakonan
yang dilakonkan oleh pelakon-pelakon pentas itu. Bapa saya juga amat
gembira kerana dapat bertemu teman lamanya Pak Cik Mustafah Yassin.
Mula-mula kami tiba di Kuala Lumpur, ada juga beberapa filem arahan bapa
saya yang saya turut berlakon, ianya adalah kerana didesak oleh bapa
saya.
Sejak
itu ramai pengarah filem yang memanggil saya untuk mengambil bahagian
kecil-kecilan di dalam filem mereka. Ada satu ketika selepas saya
shooting sebuah filem bukan arahan bapa saya, Chief Extra yang biasanya
membayar wang kepada pelakon extra setelah shooting selesai, tetapi pada
hari itu saya dibayar separuh sahaja, chief extra telah memotong gaji
saya. Ketika pulang, di dalam kereta bapa saya bertanya "Dah dapat duit
shooting?". "Sudah," saya jawab. "Berapa?" tanya bapa lagi, "Separuh
sahaja, kerana chief extra potong". Bapa saya dengan tidak berkata
apa-apa, dia terus membelok kereta dan kembali ke studio, sesampainya di
studio, kebetulan chief extra masih berada di situ, bapa saya terus
memanggil chief extra dan berkata "Oi! Hai duit anak aku pun kau nak
potong?" Chief extra tadi dengan gugup terus berkata, "Sorry boss!
Sorry!" dan terus dia mengembalikan duit yang sebahagian lagi itu kepada
saya. Saya hanya ketawa sahaja. Dalam hati saya berkata, "Nasib baik
bapa aku tanya, kalau tidak lesap disapu oleh chief extra".
SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee
Tiada ulasan:
Catat Ulasan