BAPAKU CEMAS DAN GEMBIRA
Sewaktu
isteri pertama saya hendak melahirkan anak kami yang pertama di
hospital, saya cekalkan hati menelefon bapa saya dan memberitahu yang
isteri saya hendak bersalin, saya agakkan tentu sekali dia akan marah
dan tidak mahu mengambil tahu lagi. Rupa-rupanya apabila saya kembali ke
hospital hendak melihat isteri saya, saya terkejut melihat bapa saya
sudah berada di bilik hospital, keadaannya seperti cacing kepanasan,
sekejap ke kiri sekejap ke kanan, dan kadang-kadang dia berjumpa doktor
bertanya bila cucunya akan tiba. Di sini saya nampak yang bapa saya
tidak sabar-sabar untuk menyambut cucunya yang pertama. Ini ternyata
sewaktu doktor keluar dan memberitahunya yang dia sudah mendapat cucu
perempuan, dengan tidak menghiraukan saya dan yang lain, dia terus
menuju ke bilik untuk menemui cucunya. Dia mengambil dan mendukungnya,
kemudian dia meminta izin doktor untuk diazankannya. P.Ramlee telah
mengazankan sendiri cucu pertamanya. Saya melihat air matanya berlinang
dan memandang ke arah saya dengan berkata, "Bawa cucu aku balik ke
rumah."
Apabila
saya pulang dan membawa anak saya ke rumahnya, dia sempat mendukung dan
mengagah-agah cucunya. Mungkin dalam hatinya berkata, "Inilah cucuku
yang pertama," dan saya nampak air mukanya tenang dan ceria, maklumlah
meminang cucu pertama. Nama anak-anak saya bersama isteri pertama saya
ialah Gurlina, kedua Gurnawan dan yang ketiga Gurnarisaska. Isteri saya
yang kedua bernama Rashidah Jaafar. Kami mempunyai dua orang anak
perempaun, iaitu Natasha dan Najua. Manakala isteri saya yang ketiga dan
sehingga kini masih lagi bersama saya bernama Suria Bakar. Hasil
perkahwinan kami, saya dikurniakan dengan dua orang anak lelaki, iaitu
Zakariah Nasir, dan yang keduanya Zaidee Nasir. Semua yang saya terima
ini adalah ketentuan Allah, walau bagaimanapun anak-anak ini adalah
cucu P.Ramlee, ini tidak dapat dinafikan.
SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee
Tiada ulasan:
Catat Ulasan