SURAT CINTA
Satu
peristiwa yang amat menakutkan dan menjadi satu kerunsingan saya ialah
apabila bapa saya bertukar menjadi seorang diktator. Kejadian ini
berlaku sekembalinya saya dari sekolah. Walaupun hari itu saya tidak
bersekolah kerana ponteng, tetapi saya berlagak seolah-olah baru pulang
sekolah. Setibanya saya di hadapan pintu pagar rumah, kelihatan kereta
bapa saya berada di situ.Saya agak panik dan tidak tahu apa yang hendak
dijawab kalau dia bertanya tentang saya, tetapi saya buat muka selamba
saja. Apabila saya masuk ke dalam, tiba-tiba dia menegur," Hello my son!
Penat ya, kasihan pergi makan dahulu." Saya sudah dapat agak sesuatu
akan berlaku ke atas diri saya dari tingkah laku bapa saya itu. Saya
yakin saya akan menerima padah pada malam itu. Saya terus ke dapur.
Semasa
saya sedang makan, saya cuba bertanyakan kepada pembantu rumah jika dia
tahu apa-apa mengenai perlakuan bapa saya pada malam itu, sama ada dia
ada marah dengan saya. Pembantu rumah menggelengkan kepala dan
berkata,"Saya tidak tahu apa-apa". Saya terus menambah nasi dan lauk,
namun fikiran saya melayang dan agak buntu. Setelah selesai makan, saya
terus ke bilik, fikiran masih gundah gulana, kerana belum tahu kisah
yang sebenarnya mengapa bapa saya agak berlainan hari itu. Sedang saya
menggelamun, tiba-tiba nama saya dipanggil. Saya tersentak saya bangun
dan dengan rasa takut terus keluar bertemu bapa. Bapa hanya tersenyum
sambil berkata," Ini ada surat, Daddy baru terima, ini mesti surat
cinta," dengan ketawa yang agak serius dia terus memberi surat itu
kepada saya dan berkata, "Nah! Baca kuat-kuat, Daddy nak dengar."
Saya
mengambil surat itu, seluruh tubuh saya menggigil, kerana sampul surat
itu datangnya dari sekolah. Saya terus membacanya perlahan-lahan. Bapa
saya menengking dengan berkata, "Baca kuat-kuat, aku nak dengar!" Dengan
bertambah gugup saya membacanya, "Adalah dimaklumkan, bahawa anak tuan
telah tidak hadir ke sekolah selama tiga minggu, dan dari itu pihak
sekolah telah membuat keputusan untuk..." belum sempat saya habiskan
bacaan surat itu, tiba-tiba saya rasa macam satu bom meletup di muka
saya, tetapi saya juga bijak, saya faham betul perangai bapa saya, dan
dengan serta merta saya pura-pura jatuh dan pengsan. Bapa saya yang agak
marah ketika itu, tiba-tiba terus meluru ke arah saya dan memeluk saya
dengan berkata," I am sorry son, I am sorry," dan saya terus hanya
mematikan diri. Inilah caranya bagi membuatkan bapa saya tidak memukul
saya terus dan melepaskan kemarahannya. Mama Saloma yang berada di dalam
terus bergegas menuju ke arah saya, sambil berkata, "Itulah you daddy
oi! Kalau pukul anak, macam pukul lembu, kasihan budak ini." Saya sedar,
namun masih pura-pura tidak sedar. Saya juga ingin tertawa dengan
keadaan yang berlaku tetapi terpaksa menahannya kerana bapa saya sedang
marah. Dengan penuh rasa kasih sayang, bapa sempat mengangkat dan
membawa saya masuk ke dalam bilik dan meletakkan saya di atas katil. Dia
meminta air segelas dari pembantu rumah dan membacakan ayat suci Al
Quran dan menyapukan air ke muka saya. Dengan itu, saya terpaksa membuat
seolah-olah saya baru sedarkan diri dan memandang mukanya dan dia hanya
tersenyum.
SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee
Tiada ulasan:
Catat Ulasan