BERPINDAH KE CEDAR AVENUE
Setelah
beberapa bulan perkahwinan antara bapa saya dengan mama Saloma,
akhirnya kami berpindah pula ke rumah baru di Cedar Avenue, berdekatan
dengan tanah perkuburan orang-orang Islam Bidadari. Rumah tersebut
adalah rumah teres yang disewakan oleh syarikat Shaw Brothers. Saya
masih menyepikan diri dan belum mahu menerima kenyataan sebenar bahawa
Saloma adalah isteri bapa saya yang ketiga dan ibu tiri saya yang baru.
Saya seolah-olah bermusuh dengan bapa. Hanya apabila saya perlukan wang
belanja, barulah Abang Ngah, pembantu rumah akan menyampaikan hasrat
saya kepada bapa. Bapa pula pernah mendenda saya dengan menyuruh saya
menulis sebanyak seribu kali kalimat yang berbunyi "I must love my
autie" Dengan perasaan marah dan geram saya terpaksa menghabiskan
tulisan itu dan ia masih tetap tidak mengubah pendirian dan perasaan
saya terhadap ibu tiri baru saya. Saya pernah dirotan sehingga
kadang-kadang berfikir untuk melarikan diri dari rumah. Keadaan ini
akhirnya telah mengubah diri saya tanpa saya sedari dan jadilah saya
seorang budak dan pelajar yang pendiam dan saya menumpukan kepada
pelajaran di sekolah dengan berusngguh-sungguh sehingga saya mendapat
markah terbaik.
Sekolah
saya, Sekolah Rendah Cedar terletak di hadapan rumah. Pada suatu hari
saya diminta oleh guru membawa wang sebanyak limapuluh riggit (ketika
itu belum dollars). Wang ini untuk yuran pasukan pengakap sekolah. Cikgu
memberi amaran jika wang itu lambat diterima, maka nama saya akan
digugurkan dari senarai pengakap sekolah. Saya merasa serba salah, jadi
saya cuba meminjam dari pembantu rumah Abang Ngah. Dia juga pada masa
itu sedang pokai, saya bertambah risau dan khuatir kalau-kalau saya akan
tersingkir daripada senarai pengakap di sekolah. Bapa saya pula ketika
itu berada di Pulau Pinang kerana satu persembahan di sana. Yang boleh
menolong waktu ialah mak cik Saloma sahaja. Sesudah berfikir panjang,
saya cekalkan hati terus mengetuk pintu biliknya. Dia membuka pintu
dengan tersenyum seolah-olah dalam hatinya berkata"Pandai kau cari aku"
Dengan mesra dia menyuruh saya masuk dan duduk di sebelahnya. Saya akur
sahaja. Soalan pertama yang ditanyakan kepada saya membuat saya
tergaman, "Kenapa Nasir tidak sukakan mama?" saya diam. "Tak apalah,
kalau Nasir tidak sukakan mama, mama tak kisah. Yang penting mama
sukakan Nasir dan bapa Nasir." Saya amat terharu mendengar kata-kata
beliau. Saya terus memeluknya menangis dan meminta maaf di atas kelakuan
saya selama ini. Saya dimaafkan dan dengan segera saya mengambil
kesempatan menyatakan hajat yang sebenarnya. lalu dia memberi wang yang
saya kehendaki. Saya bersyukur kerana akhirnya diterima menjadi ahli
pengakap di sekolah. Sejak dari hari itu, saya tidak lagi membenci mak
cik dan sejak hari itulah saya memanggilnya "Mama" dan bapa pula saya
panggil "Daddy".
Kehidupan
saya di Cedar Avenue amat berbeza dengan kehidupan di MacPherson Road.
Ibu tiri yang berpegang kerana disiplin sudah tidak ada lagi, maksud
saya Mama Noorizan sudah bercerai dengan bapa. Saya tidak payah mengikut
jadual harian yang tersusun. Kalau dulu saya terpaksa menyiram pokok
bunga, kopek petai tetapi bersama mama Saloma saya merasa bebas dan
tidak lagi merasa takut. Saya mula menghormatinya sebagai ibu. Cuma satu
yang saya risau ialah saya terpaksa mencuci pakaian sendiri. Walau
bagaimanapun pembantu rumah, abang Ngah tetap akan membantu, kerana dia
tahu umur seperti saya yang masih kecil ini tentulah cuciannya tidak
begitu sempurna.
Bapa
juga telah nampak perubahannya, dia merasakan dirinya seolah-olah
terlepas dari kurungan. Kadang-kadang dia balik jauh malam, dan
kadang-kadang pula pulang awal, tetapi kemudian keluar semula. Nampak
betul cerianya dan hari ke hari semakin ramai kawan-kawan yang datang
berkunjung ke rumah. Sehingga rombongan drama pentas pun berlatih di
rumah kami. Saya masih ingat cerita Kicap Emas dan Damaq, mereka
berlatih bersama bapa saya di rumah kami di Cedar Avenue.
Pelajaran
saya jarang sekali dihiraukannya, dan apa sahaja yang saya pinta saya
akan dapat, wang saku ketika itu sepuluh riggit untuk lima hari belanja.
Ini hanya untuk perbelanjaan sekolah, sedangkan pembelanjaan harian
lain perlu diberi berasingan. Waktu itu memang besar nilainya. Ketika
itu saya dalam darjah lima, dan saya mendapati pelajaran saya semakin
susah. Saya terpaksa belajar sendiri tanpa ada sesiapa tempat ntuk
dirujuk. Ini menganggu pembelajaran saya dan akhirnya saya kadang-kadang
tidak mendapat markah yang baik di dalam ujian dan peperiksaan di
sekolah. Bila keadaan ini berlaku, saya akan meminta Mama Saloma untuk
menandatangani buku laporan prestasi di sekolah, tetapi kalau saya
mendapat tempat kedua atau ketiga, maka bapalah yang akan menandatangani
buku laporan tersebut. Saya akan diberi hadiah dan bapa tidak pernah
memungkiri janji kerana apa yang dijanikannya akan ditunaikan. Begitulah
juga dengan karyanya di dalam dunia filem, beliau sentiasa memenuhi
kehendak penonton. Bapa sanggup berkorban apa sahaja demi kepentingan
seninya biarpun hidupnya tidak semewah dan segagah namanya.
SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee
Tiada ulasan:
Catat Ulasan