KEBAHAGIAAN DUDUK SEBUMBUNG
Sejak
saya dibawa pulang dari Pulau Pinang ke Singapura, hidup kami
sekeluarga boleh dikatakan ceria dan amat bahagia, saling faham memahami
antara satu sama lain. Bapa saya sentiasa sibuk dengan kerja-kerjanya
di studio, sementara ibu tiri yang pertama Noorizan pula sibuk dengan
kerja-kerja rumah dan mengamalkan disiplin yang amat ketat. Semasa
tinggal di Yarrow Garden Siglap Singapura, ibu tiri Noorizan memang
mengambil berat tentang urusan peribadi bapa. Cuma kalang-kala bapa saya
merasakan seperti dikongkong. Saya masih ingat beberapa adik beradik
angkat saya yang tinggal sebumbung dengan kami antaranya Kakak Normah,
adik saya Betty, dan Sazali. Sazali merupakan anak manja bapa saya,
kerana itulah kami tidak boleh menyakiti dan menyalahkan dia, walaupun
dia sering berkelakuan nakal. Ibu tiriku Noorizan juga amat menyayangi
kesemua anak-anak tirinya, malah dia tidak memilih kasih, semuanya
dilayan sama rata, walaupun bapa saya kadangkala bersikap pilih kasih
terhadap Sazali. Ketika kami tinggal di Yarrow Garden Siglap Singapura,
pemandu kereta Holden hijau bapa saya ialah bapa mertua Omar Suwita,
iaitu Wak Kimen namanya. Beliaulah yang membawa bapa saya dari rumah ke
studio Jalan Ampas di Jalan Balestier, dan selepas shooting sebelah
petang pak cik driver ini akan membawa bapa saya pulang ke rumah. Waktu
itu semua adik beradik saya masih kecil, jadi tidak banyak masalah yang
timbul.
Setelah
beberapa tahun di Yarrow Garden Siglap, akhirnya kami berpindah ke
MacPherson Road dan menduduki rumah teres dua tingkat. Di sini juga
kehidupan kami aman damai pada mulanya. Sewaktu menetap di situ bapa
saya mempunyai pemandu yang baru bernama Pak Hamdi dan isterinya Kak
Salmah. Mereka suami isteri tinggal dengan kami di sebuah bilik yang
disediakan terletak berhampiran dengan dapur. Pak Hamdi merupakan kawan
lama bapa saya. Menurut cerita daripada kawan-kawan bapa saya, Pak Hamdi
ini berketurunan orang Bawean, dan dia pernah menolong bapa saya ketika
sama-sama bujang dahulu semasa beliau menumpang tinggal di salah sebuah
pondok Bawean. Walaupun dia merupakan pemandu kami, tetapi bapa saya
tidak menganggapnya sebagai pemandu, malah sebagai kawan biasa. Mereka
sering bergurau, dan kadang-kadang Pak Hamdi juga pernah menasihati kami
semua termasuk bapa saya jika timbul satu-satu masalah. Selain daripada
menghantar bapa saya ke studio dan mengambilnya pulang dari studio, ada
ketikanya juga Pak Hamdi terpaksa bekerja malam, sekiranya bapa saya
mempunyai program sebelah malam.
SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee
Tiada ulasan:
Catat Ulasan