Sabtu, 15 Oktober 2016

9M MLL Malaysia Airlines Boeing 737-800

9M MLL

 Image result for 9m mll

Seriel Number 39322 LN: 3834
Type 737 - 8FZ
First Flight Date 31/10/2011
Delivery Date 14/11/2011
Engines 2 x CFMI CFM 56 - 7B26

9M MLK Malaysia Airlines Boeing 737-800

9M MLK

Image result for 9m mlk

Seriel Number 39321 LN: 3778
Type: 737 - 8FZ
First Flight Date: 15/09/2011
Delivery Date 22/09/2011
Engines: 2 x CFMI CFM56 - 7B26

9M MLJ Malaysia Airlines Boeing 737-800

9M MLJ

 Image result for 9m mlj

Seriel Number 39319 LN: 3564
Type 737 - 8FZ
First Flight Date 14/02/2011
Delivery Date 02/03/2011
Engines 2 x CFMI CFM 56 - 7B26

9M MLI Malaysia Airlines Boeing 737-800

9M MLI

Image result for 9m mli

Seriel Number 31793 LN: 3503
Type 737 - 8FZ
First Flight Date 12/12/2010
Delivery Date 22/12/2010
Engines 2 x CFMI CFM 56 - 7B26

9M MLH Malaysia Airlines Boeing 737-800

9M MLH

 Image result for 9m mlh

Seriel Number 31723 LN:: 3435
Type 737 - 8FZ
First Fligh Date 01/10/2010
Delivery Date 1510/2010
Test Registration N1786B
Engines 2 x CFMI CFM 56-7B26

Jumaat, 14 Oktober 2016

9M MLG Malaysia Airlines Boeing 737-800

9M MLG

 Image result for 9m-mlg

Seriel Number 31779 LN: 3395
Type 737 - 8FZ
First Flight Date 25/08/2010
Delivery Date 23/09/2010
Test Registration N1787B
Engines 2 x CFMI CFM 56 - 7B26

9M MLF Malaysia Airlines Boeing 737-800

9M MLF

Image result for 9m-mlf

Seriel Number 29657 LN: 3335
Type 737 - 8FZ
First Flight Date 01/07/2010
Delivery Date  24/07/2010
Test Registration N 1787B
Engines 2 x CFMI CFM 56 - 7B26

9M MLE Malaysia Airlines Boeing 737-800

9M MLE

 Image result for 9m mle

Seriel Number 35105 LN 2501
Type 737 - 8FH
First Flight Date 18/01/2008
Delivery Date 30/06/2010
Engines 2 x CFMI CFM 56 - 7B24

Bapaku P.Ramlee Bab 68 Penghargaan Kepada Pos Malaysia




PENGHARGAAN KEPADA POS MALAYSIA



Saya amat menghargai pihak Pos Malaysia kerana menjadikan bapa saya bukan sahaja diingati oleh peminat, malah sekali lagi menerima penghormatan daripada Kerajaan Malaysia. Cara Pos Malaysia saya junjung tinggi, apabila mereka meminta izin daripada saya, saya tidak boleh halang, memang P.Ramlee bapa saya, tetapi karyanya kepunyaan semua orang. Orang yang amat saya hargai ialah Tan Sri Ahmad Sarji yang mengesahkan bahawa P.Ramlee akan dijadikan sebagai seniman pertama mendapat penghormatan daripada kerajaan untuk diabadikan dalam bentuk setem. Setakat ini hanya beberapa orang individu sahaja yang pernah meminta izin saya untuk menulis buku tentang bapa saya dan saya tidak membantahnya. Namun terdapat juga buku yang sudah siap, dipasarkan dan banyak pula ceritanya, tetapi saya sendiri tidak ditemuramah, malah minta izin jauh sekali.



SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 67 Hati Saya Terguris




HATI SAYA TERGURIS



Manusia senang membuat silap, tetapi kesilapan itu boleh mengguris hati orang lain. Dalam satu majlis pelancaran buku tentang bapa saya, saya tidak dianggap sebagai VIP, saya tak kisah, tetapi malangnya saya ditempatkan dibahagian belakang dewan berdekatan dengan tandas. Saya rasa terhina, saya tidak minta mereka melayan saya dengan permaidani merah, kerana perbuatan penganjur yang tidak mengambil berat itu, maka saya rasakan ini adalah satu majlis yang agak kurang pekanya.



SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 66 Anak P.Ramlee Perlu Bersatu




ANAK P.RAMLEE PERLU BERSATU



Dalam satu majlis pelancaran TPRBP (Tabung P.Ramlee Bin Puteh) Tan Sri Ahmad Sarji Bin Abdul Hamid pernah berkata,"Adakah tidak adil jika anak-anak Seniman Agung tidak bersama-sama menjayakan usaha murni untuk memastikan karyanya dihargai." Beliau seterusnya menyeru agar anak-anak P.Ramlee sedia mencurahkan khidmat kepada mereka yang memerlukan dalam usaha memperkayakan khazanah Seniman Agung ini.




SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 65 Mengenai Royalti




MENGENAI ROYALTI



Ibu saya, Junaidah pernah berkata, jika Nasir ada masalah tentang royalti bapanya, iaitu sekadar untuk mengesahkan yang Nasir adalah anak kandung yang sah daripada P.Ramlee bersama Junaidah, beliau sanggup ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan peguam. Ibu saya pernah menasihati saya supaya menggunakan wang royalti itu sebaik mungkin, terutama dalam memperbaiki kehidupan rumah tangga saya.



SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 64 Hajat Tak Sampai




HAJAT TAK SAMPAI



Allahyarhamah ibu saya Junaidah pernah menyatakan dalam satu temuramah eksklusif bahawa beliau sebenarnya terkilan kerana banyak hajat dan impiannya masih belum terlaksana. Di antara impian beliau adalah harapannya untuk menetap di Malaysia dan mengunjungi rumah kelahiran P.Ramlee di Pulau Pinang, bertemu dan tinggal bersama saya anaknya. Malangnya dia meninggal dunia pada pagi Rabu selepas temuramah tersebut.

Menurut ibu saya, hidup sebumbung selama tiga tahun bersama bapa saya P.Ramlee pada tahun 50an membawa banyak kenangan pahit dan manis yang sukar dilupakan. Ibu saya pernah menyatakan kepada wartawan, bahawa beliau bersedia dan sangat berbesar hati jika dapat menghadiri majlis memperingati ulang tahun kelahiran atau pemergian Allahyarham P.Ramlee. Ibu saya pernah menziarahi pusara bapa saya di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Kadang-kadang tiada siapa pun tahu yang saya bersama ibu pernah menziarahi pusara Allahyarham, tetapi apabila ada orang yang melihatnya, kami pun terus beredar dari situ.



SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee  

Bapaku P.Ramlee Bab 63 Majlis Rasmi Di Istana Negara



MAJLIS RASMI DI ISTANA NEGARA



Saya sampai ke Istana Negara dalam keadaan yang agak kolot, seperti rusa masuk kampung, saya terus diarahkan ke Balairung Seri. Saya rasa gementar kerana itulah kali pertama saya menjejakkan kaki ke Istana Negara. Seorang pembaca berita di radio RTM ternampak saya, dia terkejut dan bertanya "Eh! You buat apa kat sini?" Pertanyaan itu seolah-olah macam saya datang untuk suka-suka, saya dengan rasa kesal terus menjawabnya,"Saya diundang khas,"dan dia pun terdiam. Setelah para jemputan dan penerima bintang duduk menantikan keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, saya ternampak Dato Seri Ahmad Sarji (ketika itu belum bergelar Tan Sri). Rupa-rupanya beliau juga menerima anugerah PMN membawa gelaran Tan Sri bersama dengan bapa saya. Apabila diumumkan nama bapa saya, saya dibawa oleh pengiring untuk mengadap Tuanku. Semasa bintang disematkan di dada saya, saya rasa amat terharu dan berlinang air mata, kerana di dalam hati kecil saya berkata, "Kalau bapa aku masih hidup, alangkah gembiranya beliau."

Setelah selesai, ramai pembesar-pembesar negara dan para tetatu datang menemui saya memberi ucapan tahniah di atas bintang yang diberi kepada bapa saya. Saya amat terharu dan gembira bercampur sdih, gembira kerana jasa bapa saya diakui oleh negara, sedih kerana beliau tidak dapat bersama-sama di dalam majlis yang gilang gemilang ini.

Satu lagi peristiwa yang saya anggap bersejarah kepada Allahyarham bapa saya apabila Universiti Malaysia menganugerahkannya dengan ijazah kehormat "Doktor Seni Persembahan" yang membawa gelaran Doktor Falsafah (Dr) pada hari konvokesyen 2005. Ijazah ini disampaikan Pro-Canselor UM, Tan Sri Abdul Malek Ahmad pada Majlis Konvokesyen 2005 di Dewan Tuanku Canselor. Saya menerimanya bagi pihak bapa saya dan turut serta bersama saya ialah Cikgu Yusnof Ef. Anugerah ini merupakan satu pengiktirafan dan simbol mengenang jasa oleh Universiti Malaya terhadap bapa saya yang terlalu banyak sumbangannya kepada dunia seni tanah air kita.



SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee







Bapaku P.Ramlee Bab 62 Satu Penganugerahan Yang Menyentuh Rasa




SATU PENGANUGERAHAN YANG MENYENTUH RASA



Tahun 1990 adalah satu tarikh yang tidak dapat saya lupakan. Allahyarham bapa saya, P.Ramlee telah dianugerahkan pingat yang tertinggi kepada seorang insan seni yang telah banyak mencurahkan keringatnya dalam menyemarakkan seni budaya bangsa, terutama dalam seni muzik dan seni filem. Pada tahun inilah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Sultan Azlan Syah telah sudi menganugerahkan Darjah Kebesaran PSM yang membawa gelaran Tan Sri kepada bapa saya Allahyarham P.Ramlee. Beliaulah satu-satunya orang seni yang dianugerahkan bintang yang tertinggi itu. Dalam hati kecil saya berkata, "Ya Allah! Bersyukur kepadaMu, walaupun ini adalah tanggung jawab yang berat seorang anak kepada Allahyarham ayahnya."



SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 61 Nasib Tuah Mendatang




NASIB TUAH MENDATANG



Ini adalah satu peristiwa yang datang tanpa dirancang dan semuanya adalah dengan kehendak yang maha berkuasa. Peristiwa ini menjadi satu kenangan manis bagi saya, isteri anak-anak. Ketika saya anak beranak mengahrungi lautan kesusahan dan kesempitan untuk menyara hidup anak isteri, tiba-tiba pada satu saat datang undangan untuk saya ke majlis makan malam yang agak berprestij kerana di dalam majlis itu terdapat ramai para jemputan orang-orang kenamaan, termasuk Tan Sri-Tan Sri, Dato-Dato dan tidak ketinggalan pemimpin negara seperti bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad. Saya pula duduk di meja makan bukan VIP, hanya bersama orang-orang biasa saja. Kebetulan juga meja kami berhampiran dengan laluan mereka yang pergi ke bilik air. Sedang kami asyik menjamu selera, Dato Seri Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketika itu tiba-tiba menghampiri saya. Dalam pertemuan ringkas yang tidak lebih sepuluh minit itu, beliau sempat bertanya khabar kepada saya, dan dengan gaya loghat Kedah, beliau bertanya, "Apa you buat sekarang?" dan saya dengan penuh hormat menjawab, "Tak buat apa-apa Dato', hanya berjualan buah-buah dan nasi lemak di tepi jalan berdekatan rumah saya, itu pun kadang-kadang DBKL datang melarangnya", Dato Seri Dr Mahathir dengan tersenyum berkata, "Tentulah, salah jual tepi jalan, tak ada lesen." Kemudian beliau berkata lagi, "Tak ada orag beritahu pun," dan saya hanya ketawa sahaja. Kemudian beliau pun beredar. Di dalam hati ini berkata, "Mudah-mudahan Dato Seri dapat memahami keadaan kehidupan saya kini."

Perkara itu berlalu hampir dua minggu tanpa sebarang berita, tindakan atau simpati dari mana-mana pihak. Tiba-tiba pada suatu hari saya dipanggil oleh YB Dato' Sheikh Fadzir, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Perlancongan ketika itu untuk ke Kementeriannya. Saya dengan tidak membuang masa, terus pergi menemuinya di pejabatnya. Bersyukur Alhamdulillah, rupa-rupanya ada pihak yang bersimpati dengan keadaan saya ketika itu. Akhirnya saya diberi satu jawatan khas di bawah Kementerian itu melalui Istana Budaya. Jawatan saya ialah sebagai Penyelaras Kombo Istana Budaya. Maka saya menerima dengan penuh senang hati dan bermulalah tugas saya di Istana Budaya. Sejak hari itu saya tidak pernah melupakan jasa baik Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Perlancongan Malaysia, Dato' Sheikh Fadzir, kerana kedua-dua mereka telah memberi saya satu nafas baru dalam melangkah ke arena yang baru untuk saya. Budi dan jasa mereka akan tersemat di hati sehingga ke akhir saya.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 60 Kenangan Abadi




KENANGAN ABADI



Kehilangan bapa saya amat sukar dicari ganti, kemasyhurannya pula belum dapat ditandingi oleh sesiapa, Allahyarham P.Ramlee masih kekal sebagai seniman nombor satu Malaysia. Saya tidak dapat mengikis ingatan saya terhadap bapa saya, bahkan semasa menyambut hari raya saya amat sedih sekali, walau pun pahit, saya terpaksa menerima kenyataan dan ketentuan Tuhan. Saya masih terkilan, kerana dia tidak sempat meninggalkan apa-apa pesan kepada saya, kerana dia merupakan seorang yang suka menyimpan rahsia kesakitannya. Sepanjang hayatnya beliau tidak pernah menceritakan tentang penyakitnya, malah demam dan pening tidak dihiraukan. Saya masih ingat doktor yang merawatnya iaitu Dr Kok Tai Yan. Sewaktu kami bertanyakan apakah penyakit bapa saya, dia menjawab bahawa bapa minta ianya dirahsiakan, jadi kami terpaksa akur. Satu perkara yang tidak dapat saya lupakan iaitu ketika menjelangnya hari raya, dia menyuruh saya mengecat rumah, dengan upahnya RM50, tidak termasuk duit baju dan duit hari raya. Saloma memasak sendiri untuk juadah hari raya, dan kadang-kadang ibunya datang dari Singapura membantunya.

Satu lagi sifat bapa saya yang saya perhatikan, pernah pada satu ketika dia sedang makan di ruang tamu, dia ternampak mamak pemotong rumput lalu di hadapan rumah, dengan serta merta bapa saya memanggil mamak itu masuk dan makan sama, dia tidak merasa gah atau bangga dengan nama besarnya, malah dia sentiasa bermurah hati dan tidak lokek. Allahyarham kalau balik dari jauh dia akan memanggil saya, "Mr Boy" atau "Come here my boy", sehingga ke hari ini terngiang-ngiang di telinga saya panggilan itu. Berkenaan bayaran royalti lagu-lagunya pula, saya tidak lupa berkongsi dengan adik-adik saya oleh kerana kami pernah tinggal sebumbung dan pemberian tersebut biasanya adalah atas budi bicara saya.



SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 59 Hidup Saya Setelah Bapa Pergi




HIDUP SAYA SETELAH BAPA PERGI



Nama bapa saya agak besar, karyanya amat banyak dan menjadi bakan kajian serta rujukan kepada mereka yang minat dan ingin menjadi karyawan filem, terutama penuntut-penuntut yang mengambil subjek muzik dan filem, tetapi anaknya hidup serba sederhana malah tiada mempunyai pekerjaan yang tetap. Saya tidak mempunyai saudara mara yang terdekat, seorang bapa saudara Sheikh Ali, abang seibu dengan bapa saya juga telah meninggal dunia. Ibu saudara kandung, Junainah, adik kepada ibu saya Junaidah, pula berjauhan di Singapura dan kami jarang sekali bertemu. Jadi saya menyara hidup bersama isteri ketiga dan anak-anak dengan bermain muzik sambilan, serta menjual atau menjaja nasi lemak dan juga buah-buahan di tepi jalan berdekatan dengan rumah. Itu pun kadang-kadang kena hambat dengan pegawai DBKL, maklumlah menjual tanpa lesen.



SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 58 Rumah Bapa




RUMAH BAPA


Suka saya jelaskan di sini tentang "Apa yang P.Ramlee miliki" Sepanjang hidupnya Allahyarham hanya tinggal di rumah yang disediakan oleh pihak Shaw Brothers, sejak dari Studio Jalan Ampas,membawa kepada Boon Teck Road, dan akhirnya berpindah ke Yarrow Garden di Siglap, kemudian  berpindah pula ke MacPherson Road. Setelah berpisah dengan Noorizan, maka kami berpindah pula ke rumah teres di Cedar Avenue sehinggalah akhirnya berpindah pula ke Kuala Lumpur. Sesampainya di Kuala Lumpur, kami menginap sementara di Peninsular Hotel (di belakang Bank Rakyat) sekarang ini. Setelah beberapa minggu, akhirnya pihak Shaws menyediakan pula sebuah rumah banglo di Jalan Bunga Kantan (Taman Furlong) sekarang sudah ditukar ke Taman P.Ramlee. Beberapa lama tinggal di situ, akhir sekali kami berpindah ke sebuah rumah banglo rendah tidak jauh dari Jalan Bunga Kantan, iaitu di Jalan Bunga Dedap sehinggalah hari-hari terakhir P.Ramlee dan sehingga kami terpisah semuanya.

P.Ramlee tidak mempunyai harta seperti rumah atau tanah yang setaraf dengan namanya yang besar, lebih-lebih lagi sekarang ini walaupun sudah bergelar Tan Sri. Tetapi saya bersyukur ke hadrat Ilahi, kerana sewaktu hidupnya, bapa saya tidak memikirkan apa akan jadi setelah dia tiada, ke mana hala tuju anak-anaknya, ini kerana dia adalah anak seni sejati yang memperhambakan diri kepada seni, bukan seperti sesetengah anak seni hari ini yang hidup kaya raya, mempunyai pengurus, dan penuh kemewahan. Walau bagaimanapun, saya harus berterima kasih kepada Allahyarham Salleh Ghani, kerana beliaulah yang  menggesa bapa saya agar memikirkan untuk membeli rumah sendiri. Pernah saya mendengar percakapan mereka, kata Salleh Ghani,"Ram,you tak hendak beli rumah sendiri ke? Beli rumah I sudahlah." Mungkin waktu itu beliau baru terfikir untuk memiliki rumah sendiri, maka dia bersetuju membeli rumah Salleh Ghani. Walaupun begitu, kami tidak tinggal di situ, uncle Ahmad Nawab yang menyewanya, kemudian diganti pula oleh Omar Nawab, ini semua sebelum dia meninggal dunia.

Setelah bapa saya meninggal dunia, Saloma hanya menetap di situ untuk seketika sahaja, kemudian Saloma berpindah ke Petaling Jaya, dan rumah itu didiami pula oleh Mimiloma. Setelah Mimiloma berpindah, rumah itu masih kosong. Setelah Saloma meninggal, saya bersama-sama isteri saya yang kedua tinggal di rumah tersebut, tetapi malangnya setelah saya bercerai  dengan isteri kedua, rumah itu kosong semula. Setelah saya berkahwin dengan isteri ketiga, iaitu isteri saya sekarang ini, maka barulah saya menetap semula di rumah tersebut bersama-sama dengan keluarga saya. Yang anehnya rumah itu masih atas nama "Federal Territory" Saya membuat keputusan untuk mengambil alih dan menukar nama ke atas nama saya, maka saya memanggil semua adik-adik angkat saya Sazali, Armali (anak Saloma bersama A.R.Tompel), Sabaruddin. Hal ini disaksikan oleh seorang peguam (perempuan) dan Dato Zakiah Hanom.

Timbul sedikit perasaan kurang senang antara mereka (adik beradik angkat saya). Mereka tidak bersetuju jika rumah itu ditukar atas nama saya seorang, tetapi pihak peguam memberitahu yang berhak ialah anak P.Ramlee, dan saya adalah satu-satunya anak kandung P.Ramlee. Akhirnya mereka akur dan sehingga ke hari ini rumah itu menjadi milik saya dan saya tidak lupa dengan adik-adik saya yang lain. Betul-betul macam filem Tiga Abdul yang diarahkan oleh bapa saya. Jadi inilah sahaja harta atau rumah peninggalan bapa saya, sebuah rumah deret bawah yang hanya mempunyai dua bilik bertempat di Jalan Sempadi daerah Setapak. Bukan rumah banglo atau semi-D. Walau bagaimanapun saya bersyukur kerana sungguhpun kecil itulah rumah kepunyaan P.Ramlee. Saya tidak berasa malu, walaupun nama bapa saya besar dalam dunia seni, tetapi rumah yang dimilikinya agak kecil dan tidak setanding dengan namanya, tetapi itulah rumah kepunyaan P.Ramlee. Setelah saya membuat sedikit pengubahsuaian dengan wang yang saya dapat daripada hasil royalti yang tidak seberapa, maka dapatlah saya anak beranak menumpang berteduh di dalam pondok peninggalan bapa saya P.Ramlee



SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 57 Kesugulan, Kehibaan Dan Keanehan Saloma



KESUGULAN, KEHIBAAN DAN KEANEHAN SALOMA
(SETELAH P.RAMLEE PERGI BUAT SELAMA-LAMANYA)


Setelah beberapa minggu bapa saya meninggal dunia, suasana rumah yang didiami oleh Saloma agak sugul. Saloma sendiri seolah-olah macam tidak percaya yang bapa saya telah pergi meninggalkannya, gaya dan gerak lakunya sebagai biasa, semacam P.Ramlee masih hidup, dan  kadang-kadang dia tersasul memanggil "Daddy". Apabila saya bertemunya, saya menasihatkan dia dan cuba memulihkan semula ingatannya yang suaminya telah meninggal dunia. Dia hanya ketawa sahaja seolah-olah percakapan saya itu dibuat-buat. Saya semakin risau dan merasa kasihan di atas apa yang berlaku ke atas dirinya.

Semenjak kematian bapa, saya sudah tidak tinggal bersama lagi dengan Saloma, dan akhirnya Saloma berpindah ke sebuah rumah teres di kawasan Jalan SS/2 Petaling Jaya. Hidup saya dan keluarga semakin susah dan kami tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap. Kami suami isteri hanya menjual nasi lemak dan berniaga buah-buahan di tepi jalan, kadang-kadang kami dikejar oleh pihak DBKL kerana menjual tanpa lesen. Saya masih teringat satu ketika saya betul-betul tidak mempunyai wang, saya terpaksa menelefon Mama Saloma meminta sedikit wang untuk dipinjam. Mama menyuruh saya menunggunya di kedai Ah Lek (Kedai inilah tempat bapa saya bermain mahjung). Apabila saya sampai, mama hanya memandang saya dan memanggil saya ke tepi, mama menunjukkan begnya dengan duit yang tinggal hanya RM40. Dengan suara yang amat perlahan mama berkata,"Nasir, ini sahaja yang mama ada, mama ambil 20 ringgit dan Nasir ambil 20 ringgit, jangan marah ya, mama betul-betul tiada duit." Saya cuba menolaknya, tetapi dia berkata," Ambillah, kita sama-sama kehilangan orang yang kita sayangi."




SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 56 Air Mata Di Kuala Lumpur



AIR MATA DI KUALA LUMPUR


Satu kisah yang tidak dapat dilupakan dalam hidup saya ialah tentang lagu "Air Mata Di Kuala Lumpur", lagu hasil ciptaan bapa saya yang terakhir sebelum beliau meninggal dunia buat selama-lamanya. Sewaktu hayatnya, beliau pernah memberitahu Saloma yang beliau ingin membuat sebuah cerita dengan judul "Air Mata Di Kuala Lumpur", tetapi beliau hanya sempat mencipta lagu itu terlebih dahulu. Setelah dia pergi barulah kami malahan masyarakat umum mengetahui isi hatinya tentang "Air Mata Di Kuala Lumpur". Sekembalinya saya bersama Saloma membawa jenazah bapa saya pulang ke rumah di No 22 Jalan Dedap, kelihatan ramai orang yang mula berpusu-pusu untuk menziarahi Allahyarham bapa saya, bukan sahaja orang Melayu, malah yang bukan Melayu pun ramai yang turut sama. Suasana ketika itu amat kelam kabut, sehingga saya merasakan seolah-olah mereka yang datang tidak percaya dengan kematian bapa saya. Takziah demi takziah datang tidak berhenti-henti, derma daripada para dermawan juga mencurah-curah datang, malah ada yang juga pengsan.

Para pemimpin politik, pejuang seni dan mereka yang kenal rapat dengan bapa saya turut datang untuk melihat wajah terakhir bapa saya. Selain daripada para seniman seniwati veteran dan juga yang baru, semuanya bermuram dan sedih, termasuk mereka yang datang dari Singapura, antaranya Pak Cik Ahmad Daud dan Mak Cik Saadiah, Pak Cik Kassim Masdor dan Sanisah Huri, dan tidak ketinggalan bekas guru tuisyen saya dan juga murid bapa saya Cikgu Yusnof Ef dan isteri.

Setelah semua siap dan jenazah telah siap dimandikan, maka dengan rasa terharu dan pilu, diikuti oleh ratusan peminat yang datang mengunjungi rumah saya, maka kami membawa jenazah bapa saya ke masjid Kampung Baru untuk disembayangkan. Saloma dan keluarga yang lain turut mengiringinya, saya dapat rasakan bagaimana pilunya Saloma untuk menabur "pacai" ke atas jasad bapa saya. Sepanjang jalan ke arah masjid Kampung Baru ramai orang beratur dan ada yang menadahkan tangan serta berdoa untuk bapa saya. Sesampainya kami di perkarangan masjid begitu ramai yang menunggu. ketika inilah saya dapat melihat wajah-wajah yang sedih dan ada pula yang mengesat-ngesat air mata.

Akhirnya jenazah dibawa masuk ke dalam masjid, kelihatan berdiri mengadap dengan jenazah selain dari saya sendiri, ialah Pak Cik Ahmad Daud, Jins Shamsudin, Yusof Suria dan Cikgu Yusnof Ef. Setelah disembayangkan maka jenazah dibawa terus ke kawasan tanah perkuburan orang-orang Islam di Jalan Ampang. Sesampainya kami di sana, wah! ramai betul yang menunggu, kami terpaksa meminta jalan untuk membawa masuk jenazah ke tanah perkuburannya. Saya, Saloma, ibu Saloma dan famili yang lain dapat duduk di bahagian hadapan makamnya, sewaktu jenazah hendak dibawa masuk ke dalam liang lahad, di waktu itulah hujan renyai-renyai pun turun, seolah-olah mengiringi suasana tangisan di seluruh pelusuk tanah air. Betullah dengan apa yang Allahyarham hasilkan sebelum kematiannya, lagu yang berjudul "Air Mata Di Kuala Lumpur" memang benar dapat dilihat pada hari itu negara seolah-olah menangis sama ada di atas kematian bapa saya. Di tanah perkuburan ramai yang datang memberi salam takziah kepada saya dan Saloma, dan saya sendiri tidak dapat melihat wajah-wajah mereka, kerana di dalam keadaan yang sedih dan kelam kabut. Setelah selesai pengkebumian bapa saya, maka kami sekeluarga terus pulang ke rumah, semasa dalam perjalanan pulang kelihatan masih ramai orang berpusu-pusu ke tanah perkuburannya, dan terdapat beberapa buah bas yang masih berada di luar kawasan tanah perkuburan. Saloma yang begitu lemah dipapah oleh sepupu saya ke keretanya, saya perhatikan Saloma nampak macam biasa cuma beliau agak lemah dan tidak berdaya untuk berjalan.

Sesampainya di rumah kami semasa membuat persediaan untuk kenduri tahlil, ramai juga yang turut ke rumah. Setelah selesai kenduri oleh pak iman masjid, Saloma mula membaca telegram yang tiba begitu banyaknya dari tokoh-tokoh ternama termasuk menteri. Tidak lama kemudian, Pak Cik Ahmad Daud, Saadiah, Kassim Masdor dan Cikgu Yusnof Ef datang menemui Saloma. Setelah beberapa hari bapa kembali ke rahmatullah, satu malam sedang saya duduk termenung dan mengimbas kembali saat-saat bahagia bersama bapa dari sejak kecil dan saat-saat bahagia bersama bapa dari sejak kecil dan saat-saat pertengkaran saya dengan bapa, air mata berlinangan, saya tidak dapat menahan. Barulah saya faham bagaimana perasaan seorang anak kandung apabila kehilangan bapa kandung yang disayangi. Saya menyesal, tetapi seperti kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Walau bagaimanapun saya terpaksa meneruskan hidup sekeluarga, dan saya menjalankan tugas-tugas seharian, di samping menjenguk Saloma dan adik angkat saya Sazali.



SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 55 Satu Kejutan

SATU KEJUTAN


Saya sudah lama tidak tinggal bersama bapa saya. Semenjak perkahwinan pertama, dan kedua, saya tinggal bersama keluarga saya sendiri, dan jarang sekali ke rumah bapa saya. Ini kerana kami tidak bersefahaman dan kemarahan bapa saya dengan perkahwinan saya yang pertama. Mungkin waktu itu saya membuat keputusan dengan agak tergesa-gesa dan tidak memikirkan tentang nasihat orang tua, saya menganggap itu adalah satu kesilapan saya sendiri. Sungguh pun tidak tinggal serumah, tetapi saya selalu bertanyakan khabar melalui ibu tiri saya Saloma.

Setelah bercerai, saya meneruskan kerjaya saya sebagai pemuzik di Hotel Merlin. Kerana saya merupakan pemuzik tetap di situ, maka saya diberi satu bilik untuk saya menetap sebagai tempat bermalam. Kira-kira selepas subuh sedang saya nyenyak tidur setelah bekerja jauh malam, tiba-tiba pintu bilik saya diketuk orang dengan kuatnya. Apabila saya membukanya, alangkah terkejutnya saya dengan kehadiran dua orang anggota polis dengan pakaian seragamnya tercegat di hadapan pintu bilik saya. Saya juga terpegun dan mempelawa mereka masuk ke bilik saya. Apabila mereka masuk, mereka terus berkata," Encik Nasir, bersabar, ini berita jangan terkejut, kami diarahkan supaya memberitahu Encik Nasir, bapa Encik Nasir sudah tiada, meninggal dunia.". Mereka mengulangi apa yang dicakapkan, kerana ketika itu saya dalam keadaan antara sedar dengan tidak, kerana terlalu mengantuk. Tidak lama selepas itu keadaan saya mula tenang dan jelas lalu saya terus bertanyakepada pegawai polis itu,"Di mana mayatnya sekarang?" Pegawai polis itu menjawab, "Sekarang berada di Hospital Besar Kuala Lumpur," Saya mengangguk dan mengucapkan terima kasih, dan pegawai polis itu terus beredar dari situ. Saya terus terduduk di atas katil dan serta merta berkecamuk di kepala saya berbagai-bagai kemungkinan yang terbayang, saya menangis, dan sebak, di dalam hati berkata,"Ya Allah, saya berdosa dengan papa, kenapalah saya tidak berjumpanya sebelum dia pergi."

Tiba-tiba telefon berdering, saya mengangkat dan menjawab panggilan itu. Rupa-rupanya Saloma dengan nada yang tenang memberitahu,"Nasir, Daddy sekarang berada di hospital kerana diserang sakit jantung, kita jumpa di hospital," Saya amat terharu dan faham dengan kata-kata mama. Dengan segera saya memakai baju dan terus ke Hospital Besar Kuala Lumpur. Setibanya di hosital, saya dapati orang ramai sudah membanjiri kawasan hospital tersebut, mungkin mereka telah mendengar berita tentang kematian bapa saya itu. saya terus menuju ke pintu besar, hospital dan mencari-cari mama, tiba-tiba saya didekati oleh seorang tua yang agak pelik kelakuannya terus memimpin saya ke rumah mayat. Dia tidak banyak bercakap, hanya menyuruh saya bersabar dan redha dengan apa yang berlaku, kerana Tuhan lebih sayang kepada Allahyarham bapa saya.

Setibanya di rumah mayat, alangkah sedihnya saya melihat mayat bapa saya terbujur di atas katil batu tanpa dialas kain dan bantal yang sempurna. Barulah saya sedar rupanya bapa saya telah meninggal dunia. Saya menangis sekuat-kuat hati dan terus memeluk mayat bapa saya. Dalam hati saya berkata," Aku kehilangan bapa, dosaku banyak kepadanya," Beberapa pegawai di bilik mayat hanya memerhati dan cuba menenangkan keadaan saya, begitu juga mama dan beberapa orang sahabat bapa saya.

Sebelum mayat dibawa pulang ke rumah, saya hanya duduk dalam keadaan tidak berdaya di sebelah mayat bapa saya. Waktu itu, saya hanya mampu menerima ucapan takziah daripada sesiapa yang datang. Seketika kemudian, seorang doktor datang berjumpa saya dengan membawa satu dokumen untuk saya tandatangani agar satu bedah siasat dapat dijalankan segera. Saya tidak berkata apa-apa hanya memandang kepada doktor itu, dia terus berkata, "Encik Nasir terpaksa tandatangani surat ini agar kami dapat menjalankan tugas bedah siasat dengan segera dan sempurna," Saya dengan serta merta menjawab," Tolonglah tuan doktor, saya tidak mahu mayat bapa saya teraniaya dibelah, saya mahu beliau kembali dengan sempurna," Disebabkan ketegasan saya, maka kerana itulah mayat bapa saya agak lewat dibawa pulang ke rumah. Di waktu yang sama kawan bapa saya yang berada di situ memarahi saya dengan berkata, "Kalau tidak dibedah siasat, maka wang insurans susah nak dapat," Dengan rasa marah dan geram terus saya menjawabnya," Go to hell with that bloody insurance!" semua yang berada di situ agak terkejut, tetapi mama yang berada di sisiku cuba menenangkan saya, "Sabar Nasir, don't lost yout temper," Akhirnya hampir setengah hari di hospital, barulah mayat bapa saya dibawa balik ke rumah dengan menaiki van hospital tanpa dibedah siasat.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 54 Nasihat Bapa Mengenai Mahjung



NASIHAT BAPA MENGENAI MAHJUNG


Bapaku juga gemar bermain "Dam" dan "Mahjung" untuk mengisi masa lapangnya. Semua ini bermula sejak di Jalan Ampas. Melalui pengalaman dan keseronokan pahit maungnya permainan mahjung, beliau telah dapat menghasilkan sebuah lagu berjudul "Kisah Mahjung" dan dimuatkannya di dalam filem arahan Diresh Ghose Dajal Suci. Lirik dan melodinya ditulis sendiri oleh beliau di mana banyak mengandungi kata-kata nasihat dan pengajaran:


KISAH MAHJUNG

Dengarlah kisah mahjung
Kisahnya sungguh triling
Satu meja empat orang
Duduk keliling

Buah mahjung dikacau
Bunyinya sungguh bising
Diatur dua-dua disusun-susun
Semacam dinding

Mahjungnya sangat banyak
Bermacam-macam warna
Ada buluh ada bola
Ada tulis cina

Buah dadu dibuang
Untuk mencari mata
Kalau dah dapat mata
Baru senang mahjung boleh mula

Main mahjung sangat bahaya
Dari malam sampai besok senja
Tak makan tak minum asyik belek sahaja
Sampai lupa hai rumahtangga
Masing-masing mnculik
Sangat laju dan panas
Dapat daun kotor
Buah mahjung dihempas pulas
Mulut merengut-rengut
Tangan memegang kipas
Mahjungnya sangat kotor
Dari rajin dah timbul malas

Kalau dia hendak berhenti
Mahjung dah kurang kaki mahu tak mahu kena tunggu
Sampai besok pagi

Kalau siapa yang sampai
Dia senyum ketawa
Orangnya yang tidak sampai
Muka masam mulai tumbuk meja

Main mahjung sangat bahaya
Dari malam sampai besok senja
Tak makan tak minum asyik belek sahaja
Sampai lupa hai rumahtangga


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee 

Bapaku P.Ramlee Bab 53 Zaman Kekecewaan Bapa



ZAMAN KEKECEWAAN BAPA



Bermula pada tahun-tahun tujuh puluhan kegemilangan filem Melayu yang diterbitkan oleh Studio Merdeka mulai pudar dan merosot. Keadaan ini disebabkan kerana saingan hebat filem-filem dari luar negara dan juga peranan televisyen yang begitu menonjol. Karyawan filem dari Studio Merdeka pula sudah kurang bertenaga. Dari tahun 1970, bapa saya telah merasakan yang dia sudah tidak diberi perhatian, tekanan hidup semakin meruncing, namanya tidak sebesar dahulu lagi, kecemerlangannya yang selama ini dirasakan semasa beliau di Studio Jalan Ampas Singapura sudah tidak lagi dipandang.

Tetapi dia masih mampu mengarahkan beberapa filem seperti Dr Rushdi, Gelora, Putus Sudah Kasih Sayang, Jangan Tinggal Daku dan yang terakhir Laksamana Do Re Mi. Ada ura-ura mengatakan beliau bersama beberapa orang menubuhkan PERFIMA. Isu ini telah menimbulkan banyak rungutan dan masalah, kerana rakan-rakan sudah mula mempersoalkan kewibawaannya. Kemudian pada tahun 1973 sebelum beliau meninggal dunia, beliau bersama H.M.Shah menubuhkan pula Rumpun Melayu.Namun ianya juga menemui kegagalan. Mulai dari saat inilah saya dapati beliau sering sahaja bermuram dan mengikut apa yang diceritakan oleh Saloma  kepada saya, Daddy sudah mula merasa tekanan yang amat sangat dan pernah dia menyampaikan hasratnya untuk menerbitkan filem sendiri, tetapi tidak ada sesiapa pun waktu itu  yang mengambil tahu.

Dari apa yang saya dapat tahu melalui teman rapatnya, Dato L.Krishnan pernah mempelawanya duduk di pejabatnya dan buatlah apa yang dia mahu buat, tetapi bapa saya hanya mengucapkan terima kasih. Sejak dari itulah hidup bapa saya agak susah dan tidak mempunyai income atau pendapatan yang lumayan, kalau dibandingkan dengan nama besar yang dimilikinya. Saloma terpaksa bekerja di kelab malam semula dan cuba mencari rezeki hanya untuk membantu bapa saya yang sedang dihimpit kesusahan itu. Tidak ada sesiapa yang tahu tentang kehancuran hati dan kesengsaraannya. Kami hanya makan ala kadar, pendek kata keluhan P.Ramlee di dalam hatinya sahaja. 



SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 52 Bapaku Cemas Dan Gembira




BAPAKU CEMAS DAN GEMBIRA



Sewaktu isteri pertama saya hendak melahirkan anak kami yang pertama di hospital, saya cekalkan hati menelefon bapa saya dan memberitahu yang isteri saya hendak bersalin, saya agakkan tentu sekali dia akan marah dan tidak mahu mengambil tahu lagi. Rupa-rupanya apabila saya kembali ke hospital hendak melihat isteri saya, saya terkejut melihat bapa saya sudah berada di bilik hospital, keadaannya seperti cacing kepanasan, sekejap ke kiri sekejap ke kanan, dan kadang-kadang dia berjumpa doktor bertanya bila cucunya akan tiba. Di sini saya nampak yang bapa saya tidak sabar-sabar untuk menyambut cucunya yang pertama. Ini ternyata sewaktu doktor keluar dan memberitahunya yang dia sudah mendapat cucu perempuan, dengan tidak menghiraukan saya dan yang lain, dia terus menuju ke bilik untuk menemui cucunya. Dia mengambil dan mendukungnya, kemudian dia meminta izin doktor untuk diazankannya. P.Ramlee telah mengazankan sendiri cucu pertamanya. Saya melihat air matanya berlinang dan memandang ke arah saya dengan berkata, "Bawa cucu aku balik ke rumah."

Apabila saya pulang dan membawa anak saya ke rumahnya, dia sempat mendukung dan mengagah-agah cucunya. Mungkin dalam hatinya berkata, "Inilah cucuku yang pertama," dan saya nampak air mukanya tenang dan ceria, maklumlah meminang cucu pertama. Nama anak-anak saya bersama isteri pertama saya ialah Gurlina, kedua Gurnawan dan yang ketiga Gurnarisaska. Isteri saya yang kedua bernama Rashidah Jaafar. Kami mempunyai dua orang anak perempaun, iaitu Natasha dan Najua. Manakala isteri saya yang ketiga dan sehingga kini masih lagi bersama saya bernama Suria Bakar. Hasil  perkahwinan kami, saya dikurniakan dengan dua orang anak lelaki, iaitu Zakariah Nasir, dan yang keduanya Zaidee Nasir. Semua yang saya terima ini adalah ketentuan Allah, walau bagaimanapun  anak-anak ini adalah cucu P.Ramlee, ini tidak dapat dinafikan.



SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee